KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberitahu kepadanya dana politik berjumlah RM2.6 bilion itu dimasukkan ke akaun peribadinya atas kehendak penderma wang berkenaan.
"Saya tanya beliau kenapa dana itu masuk akaun sendiri? Dia jawab, sebab orang sana suruh buat begitu," katanya di hadapan penyokong-penyokong Umno pada program ceramah di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, malam tadi.
Ujar Muhyiddin lagi, Najib juga ada memberitahunya, beliau tidak mahu Umno terjejas sekiranya isu ini menyebabkan parti diheret ke mahkamah.
"Beliau kata duit itu bukan untuk 1MDB tapi untuk parti. Parti mana? Bukan PKR tapi Umno.
"Kalau dibawa ke mahkamah, urusan kewangan parti akan diheret ke pengetahuan umum," katanya.
Katanya lagi, beliau bimbang sekiranya Umno 'sangkut' sumber dana tidak mengikut peraturan.
"Minta dijauhkan. Tapi takut-takut ada sumber yang tidak betul," katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya dana itu benar untuk parti, Najib perlu mengembalikannya kepada parti.
Beliau turut mempertikaikan tindakan Najib yang tidak hadir sendiri ke Parlimen menjelaskan isu RM2.6 bilion itu.
Justeru itu, beliau menasihatkan Najib supaya berehat seketika bagi memberi laluan kepada siasatan dana yang didakwanya sebagai derma sebelum ini.
"Timbul persepsi apabila beliau tidak berehat. Bercutilah sampai kes ini selesai.
"Jika siasatan dapati perdana menteri tidak terlibat... kita minta-minta tidak terlibatlah, baliklah semula ke jawatannya.
"Tapi apa yang berlaku tidak begitu. Mungkin Perdana Menteri tak nak berehat. Saya sebut ini bukan ada niat jahat tapi ini yang rakyat nak," katanya.
Tambahnya, meskipun ramai yang memintanya supaya tidak menyentuh Najib, namun ramai juga yang meminta supaya beliau melakukan sesuatu untuk menyelamatkan negara.
Boleh percaya ke pada BEWAK ????
ReplyDelete