Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, December 1, 2015

Khasiat keledek ungu

Semalam saya dan isteri ke Kuala Krai kerana majlis kawin anak kepada sepupu saya. Jalannya agak jem dan perlahan serta tak ada ruang untuk memotong. Jadi kami jalanlah dengan kereta bagaikan hanyut di sungai ketika banjir..........perlahan dan menjemukan.

Apabila ternampak gerai menjual buahan dan ubi saya berhenti..........dan kami beli Ubi Kayu, 'Ubi Keling' (panggilan orang kelantan kepada ubi kecil-kecil dan berkulit hitam serta di kedua hujungnya sedikit berbulu. Panggilan sebenar saya tak tahu) dan Keledek Ungu. (gambar di bawah) 
Bila beli Keledek Ungu ini, saya teringat yang saya pernah terbaca di satu blog yang menyatakan ubi jenis ini menjadi ubat dan penawar di samping kelazatannya.

Dalam saya meneroka web mencari khasiat ubi ini, saya menjumpainya dalam arkib utusan online seperti mana di bawah:

ARKIB : 12/05/2010
USIM komersial keledek ungu
Abdul Mubin Abdul Malek (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Dekan Penyelidikan & Inovasi USIM, Prof. Dr. Bahrom Sanugi di USIM, Nilai, baru-baru ini.

KHASIAT ubi keledek ungu jarang diketengahkan sedangkan makanan yang sering dihidangkan diwaktu petang itu mempunyai pelbagai khasiat seperti vitamin B, C dan E, zat mineral, beta karotin, protein dan kanji.
Ubi keledek atau nama saintifiknya Ipomoea dan tergolong dalam kumpulan Convolvulaceae boleh didapati dalam pelbagai warna seperti kuning, oren dan ungu.
Kandungan anthocyanin dalam ubi keledek mempunyai kelebihan termasuk melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan.
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mendapat tempat di pasaran komersial dan bakal diinovasikan kepada pelbagai produk seperti makanan, produk kecantikan dan sebagainya.
Menyedari hakikat itu, USIM menjalinkan kerjasama dengan Nutramedica Laboratories Sdn. Bhd. untuk pemindahan teknologi pengekstrakan Anthocyanin daripada ubi keledek ungu (Purple Sweetpotato, PSP).
Anthocyanin adalah salah satu antioksidan yang penting untuk kesihatan dalaman dan luaran bagi memerangi serangann pelbagai penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, kanser dan lain lain penyakit moden serta proses penuaan.
Penyelidikan USIM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan dan pasukannya menunjukkan bahawa anthocyanin daripada keledek ungu memberi warna merah kebiruan yang stabil apabila digunakan pada produk yang diproses menggunakan haba seperti penghasilan minuman dan makanan.
Ini berbeza dengan anthocyanin daripada sumber tumbuhan lain yang mudah rosak dan bertukar warna dari merah kecoklatan apabila diberi perlakuan haba.
Hasil kajian ini bukan sahaja untuk kebaikan USIM dan Nutramedica, tetapi juga kepada penanam ubi keledek terutamanya ubi keledek ungu.
Ubi keledek ungu bukan sahaja setakat hidangan ubi rebus atau kerepek desa atau kuih-muih, tetapi ia adalah satu produk yang mempunyai nilai tambah bertaraf dunia dan menyumbang kepada kesihatan manusia.
"Sebagai rakan industri Syarikat Nutrimedica Laboratorie Sdn. Bhd. kita percaya kedua-dua pihak akan terus bekerjasama menghasilkan pelbagai produk yang halal, bermutu tinggi lagi bermanfaat kepada pengguna," kata Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhammad Muda.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara USIM dengan Nutramedica Laboratories Sdn. Bhd. di universiti itu di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Nutramedica Laboratories Sdn. Bhd., Abdul Mubin Abdul Malek. Nutramedica Laboratories Sdn. Bhd. adalah pusat kajian kumpulan Syarikat Nutraherbs.
Di samping itu, syarikat berkenaan juga menjalankan aktiviti seperti khidmat perunding, formula produk dan perkara-perkara yang berkaitan dengan industri makanan dan kosmetik secara amnya.
Pada majlis itu, Nutramedica turut menyerahkan cek RM230,000 kepada USIM sebagai bayaran lesen pemindahan teknologi penyelidikan yang dihasilkan. - utusan online

1 comment:

  1. Selain dari panggilan ubi keling,sebelah utara panggil ubi kemili

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa