Ayah Azhar mahu Amanah potong kepala PAS
Shukur berpendapat, mustahil untuk PAS memenangi PRK kali ini, apatah lagi memerintah negara ini tanpa DAP dan PKR.
SUNGAI BESAR: Veteran Umno, Datuk Abdul Shukur Siraj berharap anaknya, Azhar yang bertanding di PRK Sungai Besar atas tiket Amanah dapat menewaskan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.
“Saya suka dia (Azhar) bertanding, potong kepala PAS,” katanya ketika menerima kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail di kediamannya hari ini.
Shukur yang juga bekas ADUN Sungai Burong berpendapat, PAS selama ini sekadar bergantung kepada DAP serta PKR dan mustahil untuk parti Islam itu memenangi PRK kali ini, apatah lagi memerintah negara ini tanpa kedua-dua bekas sekutunya.
“PAS ini dia harap DAP dan PKR, kalau DAP dan PKR tidak sokong dia, dia habis,” katanya.
PAS sebelum ini bersama dalam satu pakatan bersama DAP dan PKR, namun Pakatan Rakyat itu terbubar pada 2015 menyusuli tindakan DAP memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, diikuti respon Dewan Ulama PAS memutuskan kerjasama dengan DAP tidak lama kemudian.
DAP, PKR dan Amanah kemudiannya membentuk Pakatan Harapan, namun mengekalkan kerjasama dengan PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
Warga emas berusia 81 tahun yang sudah enam bulan terlantar di katil kerana sakit tua sempat merumuskan politik dalam negara ini yang disifatkannya semakin bercelaru.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sempat melawat Shukur ketika turun berkempen di PRK Sungai Besar.
PRK Sungai Besar bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Azhar, Abdul Rani dan calon BN, Budiman Mohd Zohdi 18 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa