Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, June 5, 2016

Ucapan yang membimbangkan ramai

KEBIMBANGAN DENGAN UCAPAN PENGGULUNGAN PRESIDEN PAS DALAM MUKTAMAR 2016 

Saya terpanggil untuk menulis dan meluahkan pandangan saya apabila membaca ucapan penggulungan Presiden Pas di Muktamar Pas 2016, yang bagi saya telah mencapai tahap melampau dan bakal membawa Pas kepada sebuah parti politik yang berideologi pelampau dan ekstrim. 

Arwah ayah saya, seorang ahli Pas tegar tetapi berjaya mendidik 9 orang anak-anak beliau serta menjadi seorang ikon Imam Rakyat yang disukai rakyat pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan pegangan politik, tidak pernah mengajar saya menjadikan parti Pas seperti sebuah agama. Saya tidak pernah dengar dari mulut beliau dalam mendidik saya, bahawa kalau keluar Pas sama seperti hilang aqidah. Apa yang menyedihkan saya hari ini, ianya keluar dari mulut seorang Presiden parti politik yang mahu perjuangkan Islam. 

Ucapan penggulungan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang, pada hari ini telah menjadikan parti politik Pas seperti telah mencapai tahap sebuah agama. Persepsi dan pemahaman sedemikian adalah berdasarkan ucapan dan penegasan beliau bahawa semua ahli mesti menumpahkan ketaatan kepada parti itu kerana ia seumpama akidah. 

"Kita perlu ada jati diri. Untuk berada dalam parti Islam Se-Malaysia kena ada akidah perjuangan. Jikalau kita tidak taat, hilang akidah kita," katanya dalam ucapan penggulungan muktamar ke-62 di sini pagi ini. 

Ucapan ini juga dikaitkan dengan tersingkir dan keluarnya sebahagian dari kepimpinan dan ahli-ahli Pas dari parti politik Pas dan membentuk sebuah parti politik baru bernama Parti Amanah Negara (Amanah). Secara berterusan, ahli-ahli Amanah ini dilabelkan sebagai pengkhianat walhal perbezaan pandangan politik yang mencetuskan penubuhan parti politik adalah satu perkara biasa dalam pentas politik negara demokrasi. 

Bagi Presiden Pas dan pengikut-pengikut beliau, ahli-ahli Amanah adalah pengkhianat. Begitu juga ahli-ahli yang tidak taat dan keluar parti, pemahaman mudahnya mereka telah hilang aqidahnya. 

Sebelum itu, seorang penulis Pas, Alang Ibn Shukrimun, telah menulis mengenai penyampaian Kuliah Jumaat Presiden Pas (digelar juga Ayah Chik), bertarikh 13 Mei 2016, yang bertajuk *PENGKHIANAT HUKUMNYA DIBUNUH*. 

Rumusan dari penulisan beliau, dalam peristiwa peperangan Ahzab, kaum Yahudi Bani Quraizhah yang memiliki persefahaman dengan Islam telah melakukan pengkhianatan. Mereka belot dengan menolong musuh-musuh menyerang umat Islam. Kaum Bani Quraizhah akhirnya dihukum bunuh. 

Berlapik dan berselindungkan dengan hujah-hujah sebeginilah, pimpinan Pas kini akan terus menerus melabelkan mereka yang meninggalkan Pas dan menyertai Amanah, sebagai pengkhianat, dan begitu mudah memutarbelitkan seerah Rasulullah untuk "justify" halalkan darah dan bunuh kepada "pengkhianat" ini. 

Saya merasakan perlu saya menulis dan menyerlahkan penulisan dan pandangan dari pemimpin dan ahli-ahli Pas ini yang bagi saya akan menimbulkan ketidak ketenteraman di kalangan rakyat yang mahu memilih pandangan dan organisasi politik yang berbeza atas dasar melaksanakan hak dan demokrasi rakyat merdeka. 

Saya bimbang, pandangan-pandangan sebeginilah, yang sesetengah ahli-ahli mereka yang taksub, akan memegangnya seperti sebuah fatwa, dan mengambil tindakan-tindakan yang melampau. 

Jika pandangan sebegini mengenai sesebuah keluarga dan adik-beradik besar, ia juga boleh menjurus kepada perpecahan keluarga dan terurainya silaturrahim dan kasih sayang apabila ahli keluarga yang berpegang kepada pandangan dan arahan pemimpin mereka, mereka akan terpengaruh untuk melabelkan ahli keluarga yang tidak bersama Pas sebagai pengkhianat. 

Ulama muktabar dunia Islam, Yusof Al Qaradhawi ada menyebut dlm kitab beliau yang bertajuk "ikhtilaf yg diharuskan syarak". Beliau telah menegur bahayanya pandangan melampau dan ekstrim ini 20 tahun yang lalu. 

Salah satu punca utama berlaku takfiri (mengkafirkan seseorg muslim lain) adalah apabila seseorang menganggap keluar dari sesebuah jamaah, maka sama seperti keluar dari islam dan jatuh aqidah. 

Yusof Al Qaradhawi telah menyebut dan menegur tentang perkara ini pada tahun 1996 lagi. Berdasar fenomena di negara2 arab dan indonesia. Lihatlah apa yang berlaku di negara-negara umat Islam sendiri apabila umat Islam yang ekstrim dan melampau sanggup saling berbunuh-bunuhan hanya kerana khilaf politik yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan aqidah sama sekali. 

Dalam muktamar yang sama juga, telah dilaporkan dari 1 juta ahli-ahli Pas, dua ratus ribu (200,000) ahli-ahli Pas telah berkurang, samada telah meninggal dunia dan keluar dari menjadi ahli Pas, termasuk mereka yang telah menyertai Amanah. 

ADAKAH 200,000 AHLI-AHLI PAS INI TELAH HILANG AQIDAH MEREKA? 

Bayangkan jika PAS memerintah Malaysia dengan ideologi Islam ala PAS... 

Semoga Allah swt selamatkan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini dari pemahaman-pemahaman yang melampau dan ekstrim lagi memudharatkan. 

Ahmad Jamal Shafie 
Ahli Amanah Serdang 
3 Jun 2016 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa