Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, July 18, 2016

Gencatan senjata pembangkang: Seriuskah mereka?

Gencatan senjata pembangkang bakal terencat?
Posted on Sunday, July 17 @ 14:55:30 MYT by Abdullah
Oleh Abdul Rahman Malik

Adalah lunak didengar bahawa parti-parti pembangkang nampaknya menunjukkan sikap positif pada syor PAS supaya “gencatan senjata” dikuatkuasakan di kalangan mereka.

Ertinya, DAP tidak lagi akan menyerang dan mempertikaikan halatuju serta tindakan politik PAS dan begitulah sebaliknya. Begitu juga dengan PKR. Ia juga akan berhenti menegur dan mengkritik DAP dan PAS secara terbuka.

Amanah juga nampaknya akan mengurangkan serangannya terhadap PAS untuk menjawab tuduhan PAS yang agak serius selama ini yang menyimpulkan bahawa ia adalah parti yang dipimpin pejuang Islam yang berkhianat pada PAS.

Jika seruan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ini dipersetujui dan diterima pakai oleh ketiga-tiga parti Pakatan Harapan – PKR, DAP dan Amanah – tentu hasrat menghidupkan strategi satu lawan satu menentang Umno-BN akan jadi kenyataan.

Yang gerun tentu Umno-BN. Inisiatif pemimpin-pemimpin PAS seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Haji Idris Ahmad berpaksikan fokus menyerang Umno-BN dan bukan sesama sendiri.

Mungkin ini iktibar yang dirumuskan daripada pengalaman pahit Pilihanraya Negeri Sarawak dan dua pilihanraya kecil parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Mei dan Jun lalu.

Jika benar demikian maka rakyat Malaysia boleh menyaksikan pilihanraya raya umum yang cukup menarik dan mendebarkan dalam beberapa bulan yang akan datang.

Namun keberangkalian senario idaman itu berlaku mungkin banyak halangannya dan terencat adalah tinggi. Ketika Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan sokongan pada idea gencatan PAS itu, ada juga kerabat Pakatan Harapan (PH) yang sinis.
Amanah memandang seruan PAS supaya parti pembangkang memberi tumpuan kepada musuh sebenar dan bukannya bertelagah sesama sendiri, dengan kritis.

Pengarah Komunikasinya Khalid Samad menegaskan bahawa PAS yang sepatutnya menetapkan pendirian untuk tidak menyebabkan perpecahan yang berpunca daripada sikap tidak menentu bersabit pendekatan politik mereka.

Ujarnya sikap PAS yang kadang-kadang 'mesra' Umno-BN dan menyerang pembangkang terutamanya Amanah menjadikan pembangkang sukar menjalin kerjasama berkesan. 

"Kalau dia (PAS) nak begitu (gencatan senjata), biarlah istiqamah jangan bertukar-tukar. Sekejap kata kami (PH) lawan (PAS), kejap kata musuh. Sekejap kata Umno kawan, dan sekejap kata Umno musuh.

"Bagi kami, kami berada dalam satu pakatan, maknanya kami dari awal lagi sudah memahami bahawa kerjasama untuk lawan musuh yang satu. Yang tidak faham adalah PAS," katanya.

Isunya, adakah pendirian Khalid ini bersikap peribadi atau sebenarnya mencerminkan pendirian pimpinan Amanah? Ini perlu dipastikan kerana dalam komunikasi perlu ada mesej yang jelas.

Adakah kecurigaan Khalid terhadap PAS sebenarnya menular dalam Amanah? Bagaimanakah Amanah menilai soal keikhlasan PAS? Atau, adakah bagi Amanah penyertaan PAS tidak perlu dalam usaha menewaskan Umno-BN?

PAS nampaknya mula menghayati Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Sebab itu pemimpin-pemimpin PAS mengesyorkan supaya gencatan senjata ini.

Mengapa begitu pantas Khalid menimbulkan soal istiqamah PAS dalam menghidupkan strategi satu lawan satu pembangkang ini? Apakah Khalid bimbang jika syor PAS ini diterima DAP dan PKR, Amanah akan tersisih?

Strategi ini ‘satu lawan satu’ terbukti berkesan dalam PRU 2008 dan PRU 2013. Jika ia diulang-guna, apakah kehadiran Amanah akan dilihat berpotensi menggagalkan kerjasama menjatuhkan Umno-BN ini?

Selain faktor Amanah, kemunculan blok pembangkang Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) mungkin mengancam pelaksanaan gencatan senjata ini.

Ketetapan yang dibuat Saksama bahawa parti pembangkang dari Semenanjung seperti PAS, DAP, PKR, PAP serta Amanah dilarang meletakkan calon di Sabah dan Sarawak dan begitu sebaliknya, akan merencatkan tumpuan pembangkang.

Parti-parti pembangkang Semenanjung memang cukup ghairah untuk bertapak dan memerintah di Sabah dan Sarawak. Jika Saksama berjaya menyekat mereka, potensi menggantikan Umno-BN makin tipis.

Itu belum mengambil kira parti politik baru yang diura-ura akan ditubuhkan oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sudah tentu, Mahathir tidak mahu memimpin parti kerdil dan cil menempel pada PH atau Saksama.

Yang pasti, Mahathir mahu menjadi pemimpin pembangkang. Jika tidak, tentu tidak berbaloi niat
politiknya mahu menggulingkan presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, jiia beliau hanya berperanan kecil dalam blok pembangkang.

PAS mahu bersikap budiman. Tetapi PAS perlu insaf bahawa ia terkucil atau menarik diri daripada Pakatan Rakyat kerana tidak serasi dengan amalan dan budaya politik parti-parti pembangkang lain.

Adalah baik bagi PAS jika PKR dan DAP menyahut syor gencatan senjatanya. Bagaimanapun pertanyaan asas yang perlu diteliti PAS ialah, adakah mereka ini ikhlas?

Soalan tokoknya ialah, adakah enam parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak serta Dr Mahathir mahu turut menghayati politik budimannya?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa