Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, July 18, 2016

Imbau kembali di zaman TGNA: Kepimpinan PAS yang PRO UMNO perlu disingkir

PAS: Keperluan Muktamar  Khas  luar biasa?

Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT,  maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:
Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan  sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.  Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari  Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)
Dari sini,  jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.
ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada  di rumah salah seorang isterinya.  Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:
“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah At-Tahriim Ayat 1)
iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu.  Teguran Allah S.W.T. berbunyi:
 Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya.  Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa).  Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya.  Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)
Apa isunya?
Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya  boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16.  Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :
“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”
“Fungsi Dewan memantau kerajaan.  Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”
“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”
“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”
“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS.  Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”
“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan.  Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”
“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu.  Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”
“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan.  Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.” 

Pandangan Saya                                   
Atas pandangan inilah saya berfikir dan  terus berfikir.  Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?
Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah,  kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah .  Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang  Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil  mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah.  Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.  Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini.  Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah.  Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan  nak  bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG.  Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan.  Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah.  Apa ni?
Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini.  Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah;  senang cerita.  Biar tentu sah, nak ikut yang mana.  Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana.  Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan.  Mereka jelas.
Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi.  Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas.  Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat.  Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah.  Dan memang betul begitulah.                                                                                                                                                   
Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009
Muktamar Khas buang pemimpin bermasalah
SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan sebuah Muktamar Khas diadakan membincangkan kedudukan ‘dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman webnya http://www.blogtokguru.com. berkata, perlu ada perubahan dalam ‘pemain-pemain penting’ yang menduduki kerusi kepimpinan Pas di peringkat pusat.
Menurutnya, dengan adanya Muktamar Khas itu nanti, Pas boleh menentukan keputusan majoriti parti sama ada mahukan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO ataupun terus bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).
“Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah, bila Muktamar Khas nanti tak mahu tukar Presiden (Abdul Hadi) misalnya, maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat ‘belaloh’ (bercakaran pendapat).
“Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khas, senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana.
“Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini,” katanya.
Nik Aziz turut menegur beberapa pemimpin Pas terutamanya Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang kelihatan pro-UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.
“Tenggelam-tenggelam, timbul (isu kerajaan perpaduan), kemudian dihidupkan.
“Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni? Tidak boleh jadi ni, kita duk ‘ghok-ghak’ (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah, senang cerita,” katanya,
Beliau turut bersetuju dengan tulisan kolumnis Prof Dr Aziz Bari dalam akhbar ini keluaran 19 Oktober lalu yang membangkitkan mengenai isu berhubung beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah.
Nik Aziz berkata, Muktamar Khas itu juga boleh digunakan untuk membincang mengenai golongan atas pagar yang membuat ‘swing votes’ dan mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Sementara itu ketika ditemui di KOTA BHARU, Nik Aziz berkata, cadangan mengadakan Muktamar Khas kerana kecewa dengan sikap beberapa pemimpin parti itu yang pro-UMNO.
Menurutnya, beliau bertanggungjawab mengemukakan cadangan tersebut setelah melihat isu yang dianggap selesai pada Muktamar Pas sebelum ini dibangkitkan pihak-pihak tertentu.
“Itu pandangan saya, jika pimpinan pusat atau Dewan Harian boleh terima. Jika tidak terimalah tidak mengapa, saya tidak terkilan, tetapi hati saya lepas lah, saya tidak mahu Pas ini ditegur tetapi buat senyap. Presiden juga boleh ditegur,” katanya.
Abdul Hadi yang dihubungi di KUALA TERENGGANU pula enggan memberi sebarang ulasan dengan alasan tidak mengetahui perkara itu kerana masih belum membaca kenyataan tersebut.
“Saya akan menghubungi Nik Abdul Aziz untuk mendapatkan pengesahan tentang Muktamar Khas tersebut sebelum memberi sebarang kenyataan,” katanya.
Pas Selangor tolak cadangan Nik Aziz
SHAH ALAM – Muktamar Khas seperti dicadangkan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak perlu kerana parti itu tidak hadapi sebarang kemelut, kata Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahrir Mohd Shahir.
Menurutnya, dalam sejarah Pas, tidak pernah ada Muktamar Khas kerana parti itu sudah memiliki muktamar tahunan.
“Saya hairan kenapa Datuk Nik Aziz cadang Muktamar Khas diadakan, sedangkan tidak ada masalah setakat ini? Malah, isu untuk membincangkan ‘dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya timbul kerana saya melihat tiada masalah kalangan pemimpin yang dimaksudkan.
“Lagipun, ahli parti berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan sekarang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz diblognya yang menyifatkan penganjuran Muktamar Khas itu membolehkan majoriti ahli membuat keputusan sah sama ada mahu bekerjasama dengan UMNO atau terus bersama Pakatan Rakyat (PR).
Mengulas isu kerajaan perpaduan yang dibangkit Nik Aziz, Roslan berkata, isu itu lama selesai dan tiada sebab perlu dibangkitkan kembali.
Katanya, cadangan muktamar khas diadakan mungkin disebabkan ada ‘sesuatu’ yang Nik Aziz tidak puas hati
 Bernama (23/10/09): Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika cadangannya supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Luar Biasa boleh mencetuskan perpecahan di kalangan anggota partinya.
Katanya beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tanda tanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti.
Katanya, beliau bosan dengan gelagat beberapa pemimpin yang membangkitkan isu kerajaan perpaduan yang disifatkan sesekali timbul dan sesekali tenggelam.
“Ini untuk mengelakkan orang tertanya-tanya dan teraba-raba, dan tergantung tanpa diambil sesuatu tindakan.
“Sedangkan kita (PAS) sebuah parti Islam, maka saya kena buat sesuatu untuk menentukan kedudukan pemimpin, termasuk Presiden sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, dekat sini, Jumaat.
Beliau mengesahkan mengemukakan pandangan itu dalam laman blognya semalam, kerana kecewa dengan sikap beberapa pemiMpin yang sering menimbulkan masalah dalam parti kerana membangkitkan isu kerajaan perpaduan sedangkan PAS sudah membuat keputusan muktamad tidak akan bekerjasama dengan Umno atas dasar politik.
Ini kerana, katanya, ia telah diputuskan dalam Muktamar Agung parti itu tahun lepas.
Ditanya sama ada muktamar luar biasa itu boleh menimbulkan perpecahan di kalangan anggota parti, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan: “Nak pecah, pecah gi lah apa boleh buat. Saya tak suka orang tegur Presiden saya, kedudukan pemimpin (termasuk Presiden atau pemimpin lain) bergantung kepada keputusan muktamar.
Menurutnya cetusan cadangan supaya mengadakan muktamar biasa itu lahir daripada artikel penganalisis politik Aziz Bari dan teguran rombongan daripada Sabah dan Sarawak yang mempersoalkan beberapa kerat pemimpin PAS yang condong kepada Umno berikutan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.
“Saya sedih kerana ada pemimpin yang tidak menghormati keputusan muktamar agung itu, dan saya tidak suka orang tegur parti dan pemimpin saya, tanpa saya berbuat sesuatu, senyap,” katanya.
Menurutnya, soal untuk mengadakan muktamar luar biasa atau apa bentuk sekalipun ia terpulang kepada parti kerana baginya beliau sudah berpuas hati dapat menyuarakan perasaannya dalam menangani isu itu.
Towardsmardhatillah:  Saranan Tok Guru ini amat bernas. Sudah tiba masanya ahli-ahli perwakilan Muktamar memulihkan kembali situasi dan agenda karut-marut Kerajaan Perpaduan. Agenda ini sekejap timbul dan sekejap tenggelam langsung tidak menguntungkan PAS. Tak perlulah kita semua bersimpati dengan cerita linangan air mata Sayuti Omar (MSO) yang dipelihara oleh Musthapa Ali setelah beliau dapat tahu tentang saranan Tok Guru ini. Lebih baik Sayuti Omar mengalirkan air matanya kerana pernah menulis buku “Rahsia Hakikat Insan ” dan “Ilmu Mengenal Allah” demi menyebarkan ajaran sesat abangnya, Hj.Ahmad Laksamana.

CNP dari Steps Toward Mardhatillah

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa