Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, July 18, 2016

Hadi jangka bukan Islam pilih syariah lepas pindaan Akta 355: Bahas pun belum, bila nak lulus? Dan apa kata Khalid Samad

Hadi jangka bukan Islam pilih syariah lepas pindaan Akta 355
Anne Muhammad  -  Hari ini 18 Jul. 2016, 11:18 tengahari


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangka selepas Akta 355 diperluaskan dan dilaksanakan, orang bukan Islam akan mula memilih syariah Islam kerana melihat undang-undang itu dijalankan secara adil.

Katanya, situasi itu sangat digeruni oleh mereka yang membantah rang undang-undang (RUU) ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

“Apabila bidang kuasa mahkamah syariah dilaksanakan, orang bukan Islam akan ada pilihan.

“Bila melihat undang-undang Islam lebih baik, secara automatik pada akhirnya orang bukan Islam akan memilih syariah Islam, ini yang ditakuti oleh puak-puak ini (menentang RUU 355),” katanya.

Hadi berkata demikian dalam ucapannya ketika majlis himpunan NGO-NGO Islam sempena Aidilfitri di Pusat Islam malam tadi.

Jelasnya sudah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di negara ini untuk menyokong RUU itu dalam usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah setanding mahkamah sivil.

“Tanggungjawab yang sangat penting pada hari ini adalah untuk meminda (Akta) 355 (mengenai) bidang kuasa mahkamah syariah.

“Kalau dia (orang Islam) tak nak naikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam,” tegasnya.

Hadi turut membidas sebilangan orang Islam yang menolak undang-undang persendirian yang dibawanya sebagai ‘sangat pelik’.

“Mahkamah syariah hanya berkait dengan orang Islam sahaja, tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam.

“Kenapa orang bukan Islam menentang, ini saya rasa pelik. Mengapa ada (orang) Islam menyokong bukan Islam, lagi pelik,” katanya.

Majlis malam tadi dihadiri seramai 400 orang dari pelbagai NGO Islam seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei, hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan sebelumnya.

RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, dilihat akan membolehkan Kelantan melaksanakan hudud sebahagiannya apabila mahkamah syariah kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali hukuman mati.

Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan

Dan ini pula kata Khalid Samad: 

Akta 355: Kenapa Hadi libatkan bukan Islam - Khalid
Zulaikha Zulkifli  -  Hari ini 18 Jul.2016, 7:03 malam
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad berkata, beliau berasa rasa hairan berhubung kenyataan Presiden PAS yang menjangka selepas Akta 355 dilaksanakan, orang bukan Islam akan memilih undang-undang syariah Islam.

Katanya, menurut usul persendirian berhubung akta tersebut, undang-undang berkenaan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Malah, menurut Khalid, usul tersebut juga bertujuan untuk meminda kedudukan mahkamah syariah dalam bidang kuasa berkaitan keluarga dan peribadi seseorang dan bukan melibatkan jenayah.

"Mulanya (usul Akta 355) hanya untuk orang Islam. Jadi, macam mana orang bukan Islam boleh memilihnya?

"Umumnya, dasar itu (usul) nak ubah kedudukan mahkamah syariah bahawa ia masih bidang kuasa umat Islam dalam perkara berkaitan keluarga dan peribadi. Bukan jenayah kerana ia masih di mahkamah sivil.

"Kedudukan mahkamah syariah di sisi Perlembagaan tak berubah kecuali usul (Hadi) bertujuan nak ubah. Sebab ada kawasan penguatkuasaan oleh mahkamah syariah dan ada kawasan penguatkuasaan oleh mahkamah sivil. Ia tak berubah. Ini mengikut usul itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibu negara ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan orang bukan Islam akan mula memilih syariah Islam kerana melihat undang-undang itu dijalankan secara adil selepas Akta 355 diperluaskan dan dilaksanakan.

Anggota Parlimen Marang itu juga berkata, situasi itu sangat turut digeruni oleh mereka yang membantah rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

Sehubungan itu, Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam turut mempersoalkan jangkaan Abdul Hadi berkenaan memandangkan PAS kini dilihat semakin dijauhi oleh masyarakat bukan Islam.

"Ramalan bahawa apabila diluluskan (Akta 355, orang bukan Islam pilih syariah Islam), itu benda pelik. Saya tak tahu dia dapat benda ini dari kajian mana.

"Dengan masyarakat bukan Islam pun sokongan pada PAS menguncup. Apa berlaku di Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas membuktikan PAS tak dapat sokongan bukan Islam.

"Sekarang orang bukan Islam lari dari PAS," katanya lagi.

Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan hari ini bertemu dengan Duta Besar Turki, Basak Turkoglu di Kedutaan Turki bagi menyatakan solidariti mereka kepada kerajaan dan rakyat negara berkenaan.

Antara pemimpin Harapan yang hadir ialah Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar serta Naib Presiden DAP, Teresa Kok.


Perjumpaan itu juga bagi menyatakan penolakan sebarang cubaan rampasan kuasa tanpa melalui saluran demokrasi.

2 comments:

  1. Tak ada jaminan bahawa undang2 yang cuba dibawa pas akan berlaku adil. Undang2 parti sendiri mereka gagal patuhi dan beri keadilan sewajarnya kepada ahli2 yang tertindas dengan pelbagai fitnah, umpat keji dan kecaman dari pemimpin sendiri. Malah mereka berlaku kejam atas nama menegakkan Islam.

    ReplyDelete
  2. Adil ke RUU355......sedang rasuah pun hj hadi tak lawan.........siapa yang kufur sekarang hadi?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa