Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, July 27, 2016

Tak mungkinkah libasan ini akan mengena batang tengkok sendiri?

Laporan Polis Khairul Azwa bin Harun, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia – Suatu Tinjauan
27 Julai 2016 | ZULHAZMI SHARIFF
1MDB mengheret semakin banyak mangsa

No. Report : CHOWKIT/005870/16

Tarikh : 26/07/2016
Waktu : 1314 PM

SAYA KHAIRUL AZWAN BIN HARUN (NO. K/P : 761019-08-5697) SEMASA BERADA DI PEJABAT DI ALAMAT TINGKAT 28, MENARA DATO’ ONN, PWTC, KL MEMPUNYAI SEBAB-SEBAB UNTUK MEMPERCAYAI BAHAWA INDIVIDU-INDIVIDU YANG DINAMAKAN BERIKUT :

1) TAN SRI ABU KASSIM BIN MOHAMED (BEKAS PESURUHJAYA SPRM)
2) TAN SRI ZETTI AKHTAR AZIZ (BEKAS GABENOR BANK NEGARA)
3) TAN SRI ABDUL GANI PATAIL (BEKAS PEGUAM NEGARA)

ADA SECARA BERSEORANGAN DAN/ATAU BERSAMA TERLIBAT DALAM SATU KONSPIRASI UNTUK MENGGULINGKAN YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI DATO’ SERI NAJIB SERTA KERAJAAN MALAYSIA YANG SAH. MEKANISMA YANG DIGUNAKAN OLEH SESIAPA DI ANTARA MEREKA INI ADALAH SEPERTI BERIKUT :

1) MEMBERI MAKLUMAT SULIT DAN DOKUMEN KEPADA AGENSI-AGENSI DI AMERIKA SYARIKAT TERMASUK FBI
2) MAKLUMAT-MAKLUMAT DAN DOKUMEN-DOKUMEN INI TELAH DIBERIKAN KEPADA PIHAK ASING TANPA KELULUSAN YANG SAH OLEH PIHAK BERKUASA MALAYSIA YANG BERKENAAN TERMASUK JABATAN PEGUAM NEGARA
3) SEBAHAGIAN BESAR DARIPADA MAKLUMAT TERSEBUT ADALAH DIREKA, DIPALSUKAN SERTA DIPUTAR BELIT UNTUK MENCAPAI TUJUAN-TUJUAN JAHAT.

PERKARA YANG SAYA LAPORKAN DI SINI BUKANLAH DAKWAAN SEMATA-MATA TANPA ASAS DAN SAYA POHON SUPAYA PIHAK POLIS MENYIASAT PERKARA INI DENGAN SEGERA. SEKIAN LAPORAN SAYA.

ULASAN

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia Saudara Khairul Azwan telah membuat suatu laporan polis yang cukup serius pada 26/07/2016 yang mendakwa tiga (3) orang yang dinamakan sebagai memberikan maklumat sulit kepada agensi asing untuk menggulingkan Perdana Menteri dan juga Kerajaan Malaysia yang sah.

Atas laporan polis ini, pihak polis boleh membuka kertas siasatan di bawah Bahagian 6 Kanun Keseksaan iaitu Kesalahan terhadap Negara yang mana ianya adalah suatu kesalahan keselamatan yang akan dikendalikan melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA.

Ketiga-tiga penama yang dinamakan di dalam laporan polis tersebut boleh ditangkap dan ditahan oleh Polis di bawah SOSMA selama tidak lebih 29 hari bagi tujuan siasatan.

Laporan Polis Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga penama terlibat dalam suatu konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri dan juga Kerajaan Malaysia.

Ketiga-tiga penama didakwa telah memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI.

Dengan jelas disebutkan bahawa ketiga-tiga penama telah memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI yang mana maklumat dan dokumen tersebut diberikan tanpa kebenaran pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara.

Dokumen dan maklumat juga didakwa direka, dipalsukan serta diputar belit.

Siapa tiga penama tersebut?

Penama yang disebut di dalam laporan polis Khairul Azwan ialah :
a) Tan Sri Abu Kassim Mohamed (Bekas Pesuruhjaya SPRM)
b) Tan Sri Zetti Akhtar Aziz (Bekas Gabenor Bank Negara)
c) Tan Sri Abdul Gani Patail (Bekas Peguam Negara)

Ketiga-tiga penama ini merupakan ahli jawatankuasa siasatan khas berkaitan 1MDB yang telah ditubuhkan suatu ketika dulu sebelum ianya dibubarkan. Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Siasatan Khas ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Persoalan yang timbul daripada laporan polis tersebut ialah kenapa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak terlibat atau tidak dimasukkan bersama tiga yang lain sedangkan KPN juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Siasatan Khas 1MDB?

Jika diperhatikan tiga penama yang disebut, mereka semua ialah “bekas”. Bekas Pesuruhjaya SPRM, bekas Gabenor Bank Negara dan bekas Peguam Negara. Adakah jika Tan Sri Khalid Abu Bakar juga bekas Ketua Polis, nama beliau juga akan dimasukkan?

Menberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI

Ketiga-tiga penama tersebut dituduh terlibat dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia yang sah dengan memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI.

Laporan ini dibuat semestinya ekoran tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) mengumumkan tindakan mereka memfailkan tindakan untuk membekukan dan merampas aset di Amerika Syarikat milik orang-orang tertentu yang didakwa dimiliki dan/atau diperolehi melalui dana awam iaitu 1MDB. Laporan oleh DoJ jelas mengemukakan bukti-bukti dokumentasi bagaimana dana 1MDB diselewengkan.

Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga penama telah memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada FBI.

Persoalannya ialah :

a) Bagaimana Khairul Azwan tahu bahawa maklumat dan dokumen yang ada dalam pegangan FBI itu maklumat sulit kerajaan yang telah diberikan oleh tiga penama tersebut?

b) Bagaimana Khairul Azwan tahu ada maklumat sulit dan dokumen Kerajaan telah diserahkan kepada agensi asing termasuk FBI?

c) Bagaimana Kahirul Azwan tahu maklumat tersebut adalah maklumat sulit dan dokumen rahsia?

Siapa Kairul Azwan?

Khairul Azwan hanya Naib Ketua Pemuda Umno yang tiada sebarang jawatan di dalam Kerajaan mahu pun agensi Kerajaan atau pihak berkuasa Kerajaan. Jika Khairul Azwan yang hanya manusia biasa tanpa sebarang jawatan di dalam Kerajaan tahu rahsia Kerajaan, ini sudah pelik.

Kenapa Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Siasatan Khas 1MDB tidak tahu hal ini? Bukankah sepatutnya KPN lebih tahu? Adakah KPN sendiri mebocorkan maklumat ini kepada Khairul Azwan?

Maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara

Laporan Khairul Azwan menyatakan bahawa ketiga-tiga penama tersebut telah memberikan maklumat dan dokumen kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara. Hahhhh kelakar. Ironinya salah seorang yang dinamakan di dalam laporan polis Khairul ialah Tan Sri Abdul Gani Patai, bekas Peguam Negara.

Khairul Azwan mendakwa maklumat dan dokumen tersebut (jika benar ianya dokumen rahsia dan sulit) diserahkan kepada agensi asing tanpa kelulusan pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara. Persoalannya ialah dalam laporan polis Khairul tidak pula menyatakan BILA ketiga-tiga penama tersebut memberikan maklumat dan dokumen kepada agensi asing? BILA??

Jika maklumat diberikan ketika Abdul Gani masih Peguam Negara, maka tuduhan bahawa pemberian dokumen tanpa kebenaran Jabatan Peguam Negara adalah kelakar kerana Gani Patail adalah Peguam Negara. Jika Abdul Gani memberikan maklumat semasa beliau masih Peguam Negara, maka tuduhan tersebut kelakar.

Sebahagian besar daripada maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputarbelit untuk mencapai tujuan-tujuan jahat

Khairul mendakwa dalam laporan polisnya bahawa sebahagian besar maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan dan diputar belit.

Persoalannya ialah :
a) Bagaimana Khairul Azwan tahu maklumat tersebut direka, dipalsukan dan diputar belit?

b) Adakah Khairul mempunyai maklumat lain yang asli dan tulen sehingga mampu mendakwa maklumat yang ada pada FBI adalah palsu, rekaan dan putar belit?

c) Jika Khairul Azwan mempunyai dokumen dan/atau maklumat lain yang asli lagi tulen, bagaimana Khairul Azwan perolehi dokumen sulit lagi rahsia?

d) Jika Khairul Azwan mempunyai dokumen rahsia kerajaan, ianya merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan pihak polis harus mengambil tindakan terhadap Khairul Azwan.

Ambil perhatian bahawa Khairul Azwan di akhir laporan polisnya berkata “PERKARA YANG SAYA LAPORKAN DI SINI BUKANLAH DAKWAAN SEMATA-MATA TANPA ASAS”. Ini jelas bahawa Khairul Azwan mempunyai maklumat dan dokumen rahsia sulit Kerajaan yang beliau tidak sewajarnya ketahui dan perolehi.

Jelas bahawa Khairul Azwan terlebih dahulu melakukan kesalahan memiliki maklumat dan dokumen rahsia Kerajaan tanpa kebenaran yang sah yang merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Cadangan

Bagi meredakan sedikit kekeliruan, dicadangkan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang melepaskan Laporan Audit Negara berkaitan 1MDB daripada kekangan Akta Rahsia Rasmi. Tan Sri Ambrin dalam keterangannya di Mahkamah dalam perbicaraan terhadap YB Rafizi Ramli berkata beliau diberikuasa oleh Perdana Menteri mengklasifikasikan Laporan Audit berkaitan 1MDB sebagai rahsia rasmi atas alasan untuk tidak mahu ianya menggangu siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1MDB. Sekarang Laporan PAC sudah dibentangkan justeru tiada keperluan lagi Laporan Audit tersebut dirahsiakan.

Adalah lebih baik Laporan Audit tersebut diangkat sebagai dokumen awam seperti mana Laporan PAC.

Kesimpulan

a) Laporan polis Khairul Azwan membuka lebih banyak persoalan malah ianya juga memberikan gambaran jelas tentang apa yang sedang melanda Malaysia.

b) Dengan laporan polis Khairul Azwan, Malaysia ditunjukkan bahawa Malaysia Official No 1 yang disebut oleh DoJ ialah Perdana Menteri Malaysia. Jika bukan kenapa Khairul Azwan dakwa bahawa ketiga-tiga penama di dalam laporan polis beliau terlibat dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia?

c) Laporan Khairul Azwan menjelaskan bahawa maklumat dan dokumen yang selama ini didedahkan oleh The Wall Street Journal (WSJ), Sarawak Report (SR) dan terkini oleh FBI dan DoJ adalah benar justeru Khairul dakwa ianya palsu dan direka.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa