Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, July 28, 2016

Walaupun kalah pertarungan, Tun Dr Mahathir menang perang saraf

Benarkah Tun Dr Mahathir Menang Perang Saraf?
musram rakunman - Wednesday, 27 July 2016

Tidak dinafikan, bahawa kumpulan Anti Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohammad, sebenarnya menang perang saraf menggunakan 1MDB sehinggakan syarikat itu menjadi kemelut dan  kemudiannya  kemelut itu dipalitkan kepada Perdana Menteri.

Lebih 3 tahun lalu, jarang sekali rakyat yang mengetahui berkaitan 1MDB, walaupun masa itu, Dato Seri Anwar Ibrahim pernah bercakap mengenainya di Dewan Rakyat.

Tiga tahun lalu, tiada yang kenal siapa Jho Low, siapa Reza Aziz dan dua individu daripada Petrosaudi, termasuk seorang warga Swiss yang bernama Xavier Andre Justo.

Tiga tahun lalu, tiada ura-ura, bahawa Tan Sri Muhiyiddin Yassin atau Datuk Shafie Afdal, bercakap berkaitan 1MDB. 

Pada PRU-13 yang diadakan pada mei tahun 2013, isu 1MDB tidakpun menjadi bahan kempen pembangkang, ertinya, 1MDB pada masa itu belum lagi menjadi faktor yang boleh dijadikan sebagai pemancing undi atau sokongan.

Namun, apabila Tun Dr Mahathir pada Disember 2014, mengambil 1MDB sebagai maskot untuk mendesak DS Najib Razak meletakkan jawatan, maka makin rancaklah cerita berkaitan dengan syarikat itu. 

Laporan bertali arus Sarawak Reports, portal-portal pembangkang tempatan, serta media antarabangsa seperti The Wall Street Journal, New York Times, maka semakin banyak cerita berkaitan dengan syarikat itu. Penangkapan warga Swiss di Thailand, Xavier Andre Justo yang dikaitkan dengan syarikat itu, memperancak lagi, keinginan tahuan rakyat negara ini berkaitan dengan syarikat gergasi itu.

Tulisan-tulisan berkala Tun Dr Mahathir melalui blog beliau www.chedet.cc dengan berbagai dakwaan, termasuk kehilangan wang RM42 bilion yang dipinjam syarikat itu daripada berbagai pihak, menarik perhatian rakyat negara ini. 

Isu 1MDB semakin diminati, apabila berlaku pendedahan USD681milion wang didapati dimasukan ke akaun pribadi Perdana Menteri di AmBank menjelang PRU-13, kemudiannya wang itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri sebagai sumbangan daripada Timur Tengah.

Sebelum penedahan berkaitan sumbangan itu, memang Sarawak Reports, telah mendakwa, bahawa wang mendekati jumlah itu dipindahkan daripada akaun 1MDB kepada satu akaun di Swiss, Gold Star, dan mendakwa bahawa akaun itu kepunyaan Jho Low. Jho Low adalah kenalan keluarga DS Najib Razak, kerana “jutawan” itu kawan baik Reza Aziz, anak tiri Perdana Menteri.

Ekoran-ekoran tulisan-tulisan Tun Dr Mahathir di blog beliau berkaitan 1MDB, Datuk Salleh Tun Said, di mana masa itu sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, mula membela DS Najib Razak dan 1MDB melalui blog beliau www.sskeruak.blogspot.com.

Pada satu perjumpaan di Kota Belud tahun 2015, di situlah Perdana Menteri mengumumkan, bagaimana beliau teruja dengan sokongan Salleh khususnya tulisan-tulisan Timbalan Pengerusi Umno Sabah itu melalui blog. Melalui isyarat itu, ramai penganalis politik tempatan, khususnya daripada Kota Belud, sudah dapat mencium, bahawa Salleh akan di bawah masuk ke dalam kabinet Persekutuan. Benarlah juga, kurang daripada dua bulan, semasa rombakan kabinet pada julai 2015, Salleh dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Seingat penulis, sejak timbulnya isu 1MDB, hanya dua pemimpin yang kerap sekali membela 1MDB dan DS Najib Razak. Dua pemimpin itu, adalah Salleh dan Dato Rahman Dahalan. Dua pemimpin ini, memperuntukan masa untuk mengemukakan berbagai argumentasi, penjelasan, malah data yang berkaitan dengan syarikat gergasi itu. Walaupun dua pemimpin itu, kerap menangkis berbagai dakwaan berkaitan dengan syarikat itu, antara lain, bagaimana Rahman menyanggah kenyataan anggota kabinet khususnya Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Datuk Shafie Afdal yang berpura-pura tidak faham berkaitan dengan perjalanan syarikat tersebut. Para pemimpin lain, bersifat tunggu dan lihat, kerana dibenak masing-masing telah tertanam, bahawa dakwaan-dakwaan Sarawak Reports yang dibantu portal-portal pembangkang dan media luar negara, hanya berupa dakwaan semata-mata, dan cara itu, memang cara pembangkang untuk memalitkan isu-isu rekaan kepada kerajaan.

Pada awal tahun 2015, dengan pertimbangan berasaskan berbagai dakwaan berkaitan 1MDB, maka DS Najib Razak memutuskan, agar Ketua Audit Negara memeriksa syarikat tersebut. Ekoran keputusan itu, maka Peguam Negara masa itu ikut mengumumkan penubuhan Pasukan Khas yang melibatkan Bank Negara, PDRM, SPRM dan Pejabat Peguam Negara sebagai pusat urus setia menyiasat 1MDB. Rentetan itu juga jawatankuasa kira-kira Parlimen (PAC) juga turut sama menyiasat.

Umum mengetahui, selepas sahaja pasukan khas dibentuk, maka tidak semana-mana didedahkan kemasukan USD681milion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri di AmBank. Selain itu, didedahkan juga sejumlah wang SRC International (syarikat milik Kementerian kewangan yang diperbadankan) telah dimasukkan ke akaun Perdana Menteri. Umum mengetahui, para pengurus/individu yang mempunyai jawatan penting dalam SRC International, sehingga kini, missing In Action (MIA). 

Berjalanlah siasatan. SPRM mengesahkan, bahawa USD681milion memang derma daripada Timur Tengah. PAC Parlimen mengesahkan tiada salah laku berlaku pada 1MDB. Ketua Audit Negara membuat laporan, tiada wang 1MDB yang hilang. Peguam Negara yang baru, mengesahkan, DS Najib Razak tidak melakukan apa-apa salah guna kuasa. Siasatan terhadap 1MDB dihentikan. Titik.

Anti Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir serta dibantu pembangkang, dan seperti biasa media asing, dan tentunya Sarawak Reports, terus mengulang-ulang dakwaan mereka, sehinggalah pada 20 julai, apabila DOJ Amerika, melalui Peguam Negara, negara itu Loretta E Lynch, mengulangi seluruh dakwaan daripada kumpulan anti Najib. DOJ mengulangi, semacam “copy n paste” laporan-laporan Sarawak Reports. tulisan-tulisan Tun Dr Mahathir, serta tulisan-tulisan The Wall Street Journal (WSJ).

DOJ Amerika, mendakwa USD1bilion wang 1MDB dicuri oleh empat individu, salah seorang adalah anak tiri DS Najib Razak-Reza Aziz, seorang lagi “jutawan” daripada Pulau Pinang Jho Low, kawan rapat Reza dan dua rakyat arab. Dakwaan DOJ, bahawa wang USD1bilion digunakan selain membeli harta seperti rumah-rumah agam, jet, lukisan-lukisan mahal, malah sebahagian wang digunakan berjudi di kasino Las Vegas selain menerbitkan filem boxoffice “The Wolf Of Wall Street”.

Susulan itu, DOJ mencadangkan menyita semua harta yang disenaraikan, membekukan akaun-akaun yang berkaitan dengan para individu itu. Tindakan DOJ itu disambut oleh negara Singapura, apabila membekukan sejumlah wang kononnya dikaitkan dengan Jho Low.

Kini, melalui tindakan DOJ Amerika itu, mereka yang memang awal-awal lagi mahu DS Najib Razak digulingkan, membuat kesimpulan, bahawa panggilan “Malaysian Offcial 1” merujuk kepada DS Najib Razak. Memang, DOJ tidak secara langsung menyebut DS Najib Razak dalam laporan 136 muka surat itu, namun mereka memberi naratif seperti skrip yang dikemukakan oleh kumpulan anti najib, seolah-olah MO1, adalah DS Najib Razak.

Kumpulan anti najib, sudah bertindak sebagai penyiasat, hakim, pendakwa sekaligus, atas sebab itu, mereka mahu memaksa rakyat untuk bersetuju dengan mereka, bahawa DS Najib memang didapati bersalah. Tindakan mereka itu, tidak sama apabila Ketua Menteri Pulau Pinang- Lim Guan Eng yang nyata telah dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan rasuah, namun mereka, menganggapnya sebagai tindakan politik, dan Guan Eng tidak bersalahpun.

Kini, meskipun majoriti rakyat tidak terpengaruh dengan isu 1MDB, setidak-tidaknya ramai sudah turut bercakap mengenainya. Di laman-laman sosial, di majlis-majlis, termasuk di kampung-kampung, ramai sudah bercakap berkenaan dengan 1MDB, khususnya wang USD681milion atau RM2.6bilion. Berasaskan kepada keadaan itu, sebenarnya Tun Dr Mahathir menang perang saraf, walaupun kalah dalam pertarungan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa