Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, July 24, 2016

Singkir Najib: Berani dan bersediakah Zahid serta KJ

GANDINGAN ZAHID DAN KJ MAMPU SINGKIRKAN NAJIB, TAPI.....
Sunday, 24 July 2016

Jika ditinjau secara mendalam ke lubuk hati sebahagian besar ahli dan pimpinan UMNO, mereka juga sebenarnya mulai bimbang dan celaru berikutan tindakan penyitaan oleh Jabatan Kehakiman AS terhadap harta dan aset yang dikaitkan dengan wang 1MDB yang dicuri.

Walaupun hanya Amerika dan Singapura yang sudah memulakan penyitaan setakat ini, harus jangan dilupa bahawa Switzerland, United Kingdom, Australia, Hong Kong, UAE dan Luxembourg turut membuka kertas siasatan yang sama berkaitan pengaliran wang yang diragui berkaitan 1MDB

Dengan itu, bayangkan untuk tempoh setahun dua akan datang, seluruh dunia sentiasa saja sarat dengan pelbagai berita serta pendedahan yang mengaibkan Malaysia berkaitan 1MDB.

Dalam masa yang sama, sudah tentu yang paling terbalit ialah Najib Razak berikutan 1MDB adalah syarikat yang ditubuhkannya, beliau pengerusi lembaga penasihatnya, artikel 117 M&A 1MDB mensyaratkan tandatangannya wajib diperolehi sebelum pelaburan atau urusniaga diluluskan, Jho Low adalah rakan keluarganya dan Riza Aziz adalah anak tirinya.

Maka, dalam semua keadaan itu, bagaimana Najib mampu memimpin UMNO dan BN ke arah kemenangan dalam PRU 14 nanti?

Kebimbangan paling utama bagi majoriti ahli dan pemimpin UMNO ialah kuasa dan kemenangan dalam pilihanraya. Rata-rata tidak melihat kemungkinan harapan lebih baik untuk mencapai kemenanngan kerana nampaknya isu berkaitan Najib dan 1MDB ini sudah memunjukkan tanda-tanda permulaan yang buruk buat UMNO dan BN.

Najib memang disedari mustahil akan berundur atau meletakkan jawatannya. Beliau tidak mungkin melakukannya bukan saja kerana bimbangkan kehidupannya akan berakhir di penjara, malah yang lebih  penting ialah disebabkan tidak mahu memberi trofi kemenangan lebih awal kepada Tun Mahathir Mohamad yang sentiasa mahu menyingkirkannya.

Najib barangkali lebih selesa membawa keseluruhan UMNO sama-sama tumbang bersamanya. Jika selepas itu ada proses pendakwaan, perbicaraan dan pemenjaraan, Najib tidak lagi keseorangan menghadapinya, sebaliknya akan ditemani sama oleh rakan-rakan seperdosaannya yang lain.

Dalam keadaan ini, bolehkah Najib disingkirkan atau relakah ahli serta pemimpin UMNO yang lain membiarkan saja parti itu kalah dalam PRU 14 nanti?

Setelah Muhyiddin Yassin dipecat dan Shafie Apdal keluar parti, mengikut struktur UMNO dan BN, hanya Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein saja yang boleh beratur menunggu giliran untuk menggantikan Najib.

Dalam keadaan Najib semakin lemah dan rakyat kian menyampah terhadapnya ketika ini, jika ada kalangan dalam UMNO yang memulakan gerakan memintanya berundur dan meletakkan Zahid sebagai pengganti, sambutannya pasti lebih positif dan mudah diterima.

Kali ini tindakan itu bukan disebabkan pemimpin dan ahli UMNO tidak lagi menyokong Najib, tetapi kerana suvival parti. Survival parti bermakna survivallah juga poket dan rezeki sebahagian besar pemimpn UMNO yang banyak bergantung kepada kontrak perniagaan secara runding terus atau disebabkan kekerapan mencium tangan mereka yang berkuasa.

Jika parti hilang kuasa, bukan saja ramai pemimpin UMNO yang berduka lara, malah tiada lagi kontraktor Cina yang boleh terus mereka pergunakan atas nama rakan kongsi, kutipan komisyen atau sebagainya.

Yang penting, siapa yang berani memulakannya. Zahid mungkin sedia menyambut jika ada yang memulakannya, tetapi tentu saja tidak sesuai untuk beliau yang memulakannya.

Hishamuddin juga tidak boleh diharapkan untuk memulakannya kerana hubungan kekeluargaannya dengan Najib.

Dalam konteks ini, mereka yang sesuai memulakan langkah untuk menyingkirkan Najib atas nama untuk menjamin kemenangan dalam pilihanraya ialah Pemuda UMNO. Pemuda UMNO ada kekuatan untuk melakukannya.

Lagi pun, dari segi wibawa dan keyakinan ramai, Khairy Jamaluddin jauh lebih baik meninggalkan Hishammuddin. Hishammuddin dianggap tidak banyak berbeza dengan Najib kerana kedua-duanya ada DNA yang sama.

Menyingkirkan Najib melalui asakan dalaman dan kemudian menonjolkan Zahid serta KJ sebagai gandingan baru menerajui parti dan kerajaan adalah sesuatu yang mudah diterima ramai.

Tidak dinafikan bahawa gandingan Zahid dengan KJ adalah pasangan paling ideal dan mantap untuk memimpin UMNO dan kerajaan bagi memulihkan kepercayaan dan memenangi PRU 14 akan datang. Zahid ada sokongan kuat dalam UMNO dan dalam kalangan Melayu luar bandar, manakala KJ punya tarikan di kalangan orang muda dan penduduk bandar.

Tetapi tentulah tidak semudah itu untuk Zahid dan KJ mencipta kemenangan kepada UMNO dan BN. Modal air liur, senyum dan badan sado tidak mencukupi untuk diganti dengan sokongan dan undi.

Oleh kerana buruknya imej Najib dan kerajaan adalah disebabkan skandal 1MDB, prasyarat yang perlu Zahid dan KJ penuhi juga ialah berkaitan 1MDB.

Jika selepas mengambil alih parti dan kerajaan, Zahid dan KJ berani memulakan langkah menyelesaikan keseluruhan isu berkaitan 1MDB, memulihkan semula institusi awam termasuk menukar Peguam Negara dan membawa ke muka pengadilan semua yang terlibat, tidak terkecuali Najib kiranya cukup bukti, sudah tentu sokongan rakyat akan melimpah ruah kepada mereka.

Kerjasama dengan semua negara yang sudah memulakan siasatan berkaitan 1MDB mesti terus diperkukuhkan agar tidak ada sesiapa, di dalam negara mahu pun di luar negara, saudara mara dan kaum kerabat yang bersubahat, terkecuali daripada menerima hukuman.

Peluang dan kesempatan memang sedang terbuka sekarang, cumanya,  berani dan bersediakan Zahid serta KJ ke arah itu? (SH 24/07/2016). - sumber asal

1 comment:

  1. Masalahnya keluar dari mulut regim buaya masuk ke mulut regim harimau

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa