Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, February 19, 2017

Benarkah Kit Siang terlibat dalam peristiwa berdarah 13 Mai?

Sabtu, 18 Februari 2017 
6 fakta tragedi 13 Mei yang disorok cybertrooper UMNO
Sudah hampir lima dekad sejak tragedi hitam 13 Mei 1969 meninggalkan kita, namun sehingga ke hari ini masih wujud pelbagai andaian tentang peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh tersebut, termasuk mengenai individu-individu yang bertanggungjawab menyebabkan rusuhan itu berlaku. 

Walaupun pihak polis, pasukan keselamatan mahupun kerajaan sendiri tidak dapat menentukan huru-hara itu berpunca dari siapa, nama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dituduh secara meluas sebagai pihak yang terlibat. 

Malah, Kit Siang dituduh menghasut orang ramai dengan laungan slogan-slogan rasis di jalan raya sekitar ibu kota pada hari itu. Hal ini disebar secara meluas di internet, terutamanya di blog-blog tentera siber UMNO.

Filem Tanda Putera yang ditayangkan pada tahun 2013 juga pernah menyelitkan babak Kit Siang ‘kencing’ di bawah tiang bendera Selangor semasa rusuhan 13 Mei. Namun, adegan itu akhirnya dipotong akibat bantahan pelbagai pihak yang mendakwa ia tidak wajar, meskipun pengarah filem berkenaan, Datin Paduka Shuhaimi Baba menyatakan adegan kencing dalam filem itu adalah rekaan beliau yang menggunakan ‘lesen kreatif’ untuk mengkhayalkan babak rusuhan kaum tersebut. 

Tindakan sesetengah pihak mengaitkan Kit Siang dengan tragedi 13 Mei inilah juga antara sebab utama DAP masih dipandang sebagai parti rasis yang kononnya mahu ‘melenyapkan’ orang Melayu dari bumi Malaysia, tidak kiralah berapa banyak dasar DAP selama ini yang membela kebajikan Melayu dan Islam seperti yang dapat dilihat di Pulau Pinang. 

Persoalannya, benarkah beliau terlibat dalam peristiwa berdarah tersebut? 

Kit Siang sebelum ini pernah menyatakan enam bukti beliau tidak ada kaitan dengan rusuhan kaum ataupun menjadi pencetus kepada tragedi 13 Mei 1969. 

1. Tidak bertanding di mana-mana kerusi di Kuala Lumpur atau Selangor Pada Pilihan Raya Umum 1969, Kit Siang tidak bertanding di mana-mana kerusi di kawasan Kuala Lumpur atau Selangor, sebaliknya bertanding bagi kerusi Parlimen Bandar Melaka. Jadi adalah tidak logik jika beliau menyertai perarakan kemenangan pilihan raya di kawasan ibu kota sehingga mencetuskan rusuhan. 

2. Tidak ada di Kuala Lumpur pada 11 sehingga 13 Mei 1969 Kit Siang tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969, sebaliknya berada di pusat pengiraan undi di Melaka sehingga awal pagi 11 Mei kerana menunggu keputusan pilihan raya. Pada sebelah petang, beliau kembali ke Petaling Jaya untuk sementara waktu sebelum pulang semula ke Melaka pada 12 Mei bagi mengucapkan terima kasih kepada para pengundi. 

Malah, sesi ‘terima kasih kepada pengundi’ pada petang dan malam 12 Mei yang diadakan itu berlangsung secara aman tanpa wujud sebarang rusuhan. Pada awal pagi 13 Mei pula, Kit Siang berlepas ke Sabah bagi membantu calon-calon pilihan raya di situ. Hal ini kerana hari mengundi Sabah dan Sarawak pada masa itu diadakan seminggu selepas keputusan pilihan raya diumumkan di Semenanjung. “Semasa saya berucap di rapat umum di Kota Kinabalu pada malam 13 Mei, barulah saya terima berita bahawa huru hara Mei 13 telah berlaku di Kuala Lumpur,” katanya. 

3. Jika bersalah, buat apa pulang ke Kuala Lumpur? Kit Siang pernah menegaskan bahawa jika beliau penyebab rusuhan pada 13 Mei, beliau pasti tidak akan pulang ke Kuala Lumpur kerana bimbang akan diapa-apakan pihak berkuasa yang masih mencari dalang di sebalik tragedi itu. Keberanian beliau untuk pulang semula ke Kuala Lumpur pada 17 Mei menunjukkan bahawa tuduhan melaungkan slogan anti-Melayu atau kencing di tiang bendera hanyalah fitnah yang direka semata-mata. 

4. Tidak pernah didakwa di mahkamah Kit Siang seorang ahli politik, dan sudah tentu ahli politik dikenali umum. Maka, jika benar beliau terlibat dengan rusuhan 13 Mei, beliau pasti akan dihadapkan di mahkamah kerana menjadi pencetus perkauman yang membahayakan keharmonian negara. Tidak mungkin Kit Siang akan dilepaskan begitu sahaja, malah masih gagah berdiri dalam arena politik negara selepas hampir lima dekad. 

5. Gesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Sejak 44 tahun lalu, Kit Siang berulang kali meminta agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kejadian 13 Mei supaya sebab dan dalang di sebalik peristiwa itu dapat dikenal pasti serta dihukum. Sedangkan, Kit Siang tahu, sebagai seorang ahli politik pembangkang, beliau tentu tidak akan terlepas begitu saja jika didapati bertanggungjawab ke atas rusuhan tersebut. Tetapi mengapa beliau tetap menggesa agar tragedi itu disiasat? 

6. Kemuka tiga cadangan kukuhkan perpaduan negara Kit Siang pernah menulis surat kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pada 5 Ogos 1969 bagi mengemukakan tiga cadangan untuk mengukuhkan perpaduan nasional selepas terjadinya rusuhan kaum 13 Mei. 

Beliau mencadangkan agar Parlimen bersidang dengan segera untuk membolehkan semua ahli parlimen menegaskan sokongan mereka terhadap konsep dan ideal toleransi, persefahaman dan kemajmukan kaum dan menafikan peluang Parti Komunis Malaya untuk mendapat keuntungan politik daripada kekacauan itu. Selain itu, beliau meminta penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat sebab terjadinya kekacauan 13 Mei, menangkap dan menghukum dalangnya serta meneliti semua masalah perkauman di Malaysia dengan tujuan merumuskan penyelesaian jangka panjang. 

Fitnah yang dilemparkan terhadap Kit Siang mengenai pembabitannya dalam tragedi 13 Mei ini mengingatkan kita bahawa internet telah menjadi medan penyebaran tuduhan-tuduhan palsu oleh pelbagai pihak, termasuklah pemimpin-pemimpin parti UMNO Barisan Nasional bagi meraih kepentingan parti. 

Amalan jijik ini mesti ditolak mentah-mentah oleh seluruh rakyat Malaysia, terutama dalam hal yang melibatkan kaum dan agama, supaya kita akan kekal bersatu-padu biarpun ada pihak yang sengaja mahu memecah-belahkannya demi mengekalkan kuasa. 

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN at 6:56:00 PTG 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa