Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, February 14, 2017

Dakwaan Rashid dan sanggahan UMNO: Rasanya kedua-dua orang ini tak boleh pakai

Bekas pengerusi SPR dakwa Umno guna senarai undi naikkan keahlian

  | February 14, 2017
Rashid yang kini pemimpin PPBM mempertikaikan dakwaan Umno mempunyai 3 juta ahli.
PETALING JAYA: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa ketua bahagian Umno menggunakan nama daripada senarai pengundi untuk dijadikan ahli Umno supaya ahli parti berjumlah 3 juta.
Rashid, kini naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata ia dilakukan dengan tujuan menubuhkan cawangan Umno di serata negara.
“Belum tentu lagi betul ke tidak 3 juta… Yang saya tahu dulu, tak ada pun. Hanya sejuta sahaja.
“Yang lain semua ketua bahagian masukkan nama daripada senarai pengundi,” katanya pada satu forum PPBM di Alor Setar, Sabtu lalu.
Turut hadir ialah Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beberapa pemimpin PKR and DAP lain.
Rashid yang berkhidmat dengan SPR selama 27 tahun sebelum bersara sebagai pengerusinya, bagaimanapun tidak menerangkan lanjut, dan berkata perlu masa berjam-jam untuk menghuraikan apa yang diketahuinya.
Rashid yang pernah menyertai pertubuhan Perkasa, sebelum ini secara terbuka mengaku pernah membantu menyusun persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan tujuan mengekalkan kuasa Melayu.
“Kami lakukan secara sah dan teliti. Mereka yang kalah semasa pilihan raya umum lalu mendakwa kami melakukan kesalahan. Jika betul, mengapa Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?” Rashid dilaporkan berkata pada 2013.

Umno nafi dakwaan bekas ketua SPR palsu 3 juta ahli

  | February 14, 2017
Rahman Dahlan mahu bekas pengerusi SPR bertanya Dr Mahathir terlebih dahulu, dakwaan ketua bahagian Umno mengambil nama daripada daftar pemilih sebagai ahli.
PETALING JAYA: Percubaan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjatuhkan Umno dengan mendakwa beberapa pemimpin terdahulu parti itu memalsukan bilangan ahli, boleh memakan diri.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan menggesa bekas ketua SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang kini adalah naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berhubung dakwaan, bertanya kepada pengerusi parti itu sendiri terlebih dahulu .
“Ini kerana kebanyakan daripada 3 juta ahli Umno menyertai parti pada zaman (Tun) Dr Mahathir Mohamad, dan sebelumnya,” kata Rahman, merujuk kepada presiden Umno ke-4 dan paling lama berkhidmat.
“Sistem keahlian sekarang sama seperti zaman kepimpinan Dr Mahathir. Dan ramai ahli Umno menjadi ahli semasa zaman Dr Mahathir.
“Oleh itu, Rashid juga harus bertanya Dr Mahathir (mengenai dakwaan itu),” kata Rahman kepada FMT.
Bercakap pada seminar PPBM-DAP di Alor Star pada Sabtu, Rashid mempertikaikan 3 keahlian 3 juta ahli Umno, berkata pemimpin bahagian parti itu pada masa lalu, mengambil nama pengundi terus daripada daftar pemilih untuk menubuhkan cawangan di seluruh negara.
Beliau menambah banyak nama yang dipilih daripada daftar pemilih, tidak sedar mereka menjadi ahli Umno.
Rahman, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno, menolak dakwaan ini dengan mengatakan ia adalah “kerja” Rashid sebagai pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Umno.
“Hakikatnya Umno adalah parti politik terkuat berbanding mana-mana parti di negara ini dan secara konsisten memenangi pilihan raya.
“Bukan sahaja Umno mempunyai 3 juta ahli, kami juga mempunyai berjuta-juta lagi penyokong di luar sana. Itulah caranya bagaimana kita memenangi pilihan raya.”
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Aziz Kaprawi berkata hakikat Umno memenangi semua 13 pilihan raya umum, membuktikan ia disokong bukan sahaja 3 juta ahli berdaftar, tetapi juga pengundi akar umbi di seluruh negara.
Beliau turut menafikan dakwaan Rashid, mengatakan proses pengambilan dan pendaftaran ahli Umno dilakukan sendiri, bukannya dijalankan pihak lain.
“Kami mempunyai data, maklumat, statistik. Bagaimana Rashid lebih mengetahui mengenai parti atau proses pengambilan dan pelantikan, daripada pengurusan parti itu sendiri.
“Saya pemimpin Umno bahagian, dan saya tahu dakwaannya tidak benar. Jika kita memalsukan nombor dengan hanya mengambil nama daripada daftar pemilih, kita tidak akan mampu bertahan selama ini.
“Atau dapat memenangi pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, dengan majoriti lebih tinggi,” kata Aziz, yang juga ketua Umno Bahagian Seri Gading.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa