Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, February 28, 2017

Siapa yang takut dengan DAP?

Pada 27 Februari 2017
oleh Wan Hamidi Hamid
Mengapa orang sertai parti politik? Ada yang memberi alasan demi perjuangan, demi Malaysia yang lebih baik, demi anak cucu, dan sebagainya. Jarang orang mengaku bahawa dia mahu kedudukan dan pangkat, dia mahu jadi ketua, dia mahu jadi wakil rakyat, dan macam-macam lagi.

Saya sendiri tidak pasti mengapa saya sertai parti politik. Mungkin pada asalnya kerana idealisme mahu mengubah dunia. Kemudian sedar diri sedikit dan mengecilkan skop untuk mengubah negara. Namun, sehingga hari ini masih sukar mencapai impian ini. Adakah kerana saya sudah dewasa, dan dengan itu perlu sinis dengan keadaan sekeliling?

Apa pun, saya berminat dengan politik perjuangan rakyat atas dasar keadilan sosial, hak saksama, kesetaraan gender, kebebasan bersuara dan berekspresi,  dan bukannya hal-hal perkauman atau agama. Minat ini dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Ditambah pula dengan pengalaman sebagai wartawan selama lebih 25 tahun membolehkan saya menyelami harapan dan impian dengan realiti masyarakat yang saya lihat sebagai sang pemerhati.

DAP sebagai pilihan

Atas gerak hati yang seperti itu, saya memilih DAP sebagai wadah politik. Namun, sebelum itu saya terlibat dengan usaha menubuhkan sebuah parti sosialis. Gagasan itu berjaya walaupun saya tidak lagi bersama rakan-rakan seperjuangan. Ada sedikit-sebanyak garis pemisahan kami, tentang ideologi, tentang strategi.

Selain asas idealisme yang saya sebutkan tadi, DAP menjadi pilihan saya kerana ia adalah sebuah wadah yang skema. Menurut definisi rakan-rakan saya yang lebih muda, skema mengingatkan saya kepada “mat belia” di zaman remaja saya. Ia mencerminkan sikap lurus, ikut peraturan dan jarang melencong. Tidak semestinya positif kerana kadang-kadang ia membawa maksud betul bendul atau naive.

Mungkin ada orang DAP tidak selesa dengan alasan saya. Bagi mereka DAP yang didaftarkan sebagai parti pelbagai kaum pada 18 Mac 1966 berjuang atas dasar Malaysia milik rakyat Malaysia. Tidak kisahlah, itu pandangan peribadi, dan saya juga menyokong asas perjuangan DAP itu. Impian yang kami kongsi bersama berasaskan prinsip kesaksamaan dalam kepelbagaian kaum serta tuntutan hak setara. Kami juga sedar kerana pendirian inilah DAP telah difitnah dengan teruk hingga ke hari ini.

Mengapa begitu? Jika majoriti rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, tidak lagi dimomokkan dengan perkauman, dengan “takut hilang kuasa” dan “takut diperintah oleh Cina”, sudah tentu ramai pemimpin politik akan menumpukan masa berdebat tentang bagaimana mahu memulihkan ekonomi negara, menambah pendapatan diri, meningkatkan ekonomi keluarga. Tak perlu bising lagi tentang kaum itu baik, kaum ini jahat, agama itu bagus, agama ini buruk.

Tetapi fitnah tetap dihamburkan. Kerana itulah ramai orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak masih ragu-ragu untuk bersama dengan DAP. Kononnya takut dengan Cina dan keCinaan dalam parti, tanpa mempedulikan konteks dan hujah. Bagi Melayu pula, masih ada yang menganggap menyertai DAP adalah satu dosa besar.

Dari segi amalan politiknya, pimpinan UMNO-BN telah menconteng wajah DAP kononnya ia ekstrem sedangkan pihak pemerintahlah yang semakin hilang kesederhanaannya – semakin tertutup ruang kebebasan, ruang bersuara; atas nama agama dan kaum.

Sebaliknya, realitinya menunjukkan DAP adalah antara parti yang sangat sederhana amalan dan perjuangannya. Ia memilih ideologi sosial demokrasi, iaitu fahaman yang berevolusi daripada sosialisme demokratik, iaitu sosialisme yang menolak komunisme kepada jalan Parlimen – menerima pasaran bebas tetapi membolehkan campur tangan kerajaan bagi memastikan hak pekerja dan pengguna serta warga sentiasa dilindungi dan diutamakan.

DAP juga menolak amalan yang mengutamakan sesuatu kaum, agama atau gender kerana menganggapnya sebagai diskriminasi. Itu yang dinamakan Malaysian Malaysia atau Malaysia milik rakyat Malaysia – bukan milik sekumpulan elit kleptokrat, bukan segelintir pemuka agama, bukan segolongan demagog kaum.

Melayu dan DAP

Sebagai penduduk majoriti Malaysia, penyertaan atau sokongan orang Melayu kepada mana-mana parti atau dasar politik memang penting. Mana-mana pihak yang mahu mendapat undi, perlu memperolehi sokongan orang Melayu, atas dasar jumlah mereka sebagai pengundi majoriti.  Itu hakikat politik Malaysia.

Tetapi penyertaan mengikut kaum dalam parti, tidak begitu penting sangat dalam mana-mana pertubuhan politik. Yang penting adalah komitmen dan kesungguhan memberi suara, tenaga dan kepakaran.

Sesiapa sahaja yang ingin bersama parti politik, termasuk DAP, perlu berada di atas landasan yang sama. Tidak kira apa gender, kaum, agama atau wilayahnya, selagi seseorang individu itu berpegang kepada prinsip-prinsip sosial demokrasi, pintu DAP sentiasa terbuka. Yang diperlukan adalah komitmen, bukannya warna kulit atau kepercayaan agama.

Hegemoni kaum dan agama menyebabkan masyarakat Malaysia menghadapi masalah bersolidariti, berkomunikasi, mempercayai antara satu sama lain. Hegemoni tersebut menyebabkan kita melihat banyak perkara melalui kanta kaum. Jarang kita lihat dari segi kelas seperti kelas pekerja, pertengahan, atasan/pemerintah. Seperti yang biasa kita dengar, ada orang marah kaum lain apabila melihat kaum itu kaya tetapi membisu apabila orang kaya dari kaum sendiri menindas sesama kaum.

Bagi saya, sama ada DAP mempunyai 100 ahli Melayu atau 1000,000 ahli Melayu, bukan warna kulit atau agamanya menjadi penentu kepada perubahan. Yang penting adalah komitmen setiap individu yang mempunyai kesanggupan, kecekalan, dan kerelaan berjuang demi keadilan sosial dan hak setara, demi Malaysia milik rakyat Malaysia.

Demi prinsip

Semua pemimpin politik akan mengaku diri mereka berprinsip. Hanya kita sebagai rakyat menjadi penentu sama ada benar atau tidak apa yang mereka canangkan. Namun untuk bersikap sinis terhadap prinsip juga tidak ke mana kerana ia seperti membiarkan regim yang bobrok kekal berkuasa. Oleh itu perlu ada satu keseimbangan di antara impian dan amalan.

Sebagai mangsa fitnah, DAP turut diancam dan ditekan oleh kuasa pemerintah. Sudah ramai pemimpin DAP ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan mungkin ada lagi yang akan dikenakan lagi tindakan di bawah undang-undang baru yang zalim dan tidak demokratik. Semua ini semata-mata prinsip DAP yang dianggap sebagai ancaman kepada status quo pemerintahan dan amalan politik yang berasaskan ketuanan kaum.

Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, sering diungkapkan bahawa DAP hanya mahu kepada prinsip yang berasaskan kepada kebebasan, hak asasi, keadilan sosial, hak serta peluang saksama tanpa mengira kaum, gender dan agama.

Ia hanya berminat dalam hal-hal duniawi seperti memastikan semua rakyat menikmati pendidikan bermutu tinggi, peluang dan agihan ekonomi yang lebih adil, gaji minimum yang munasabah, menentang korupsi, rasuah dan salahguna kuasa, dan menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil. Agama dan kepercayaan adalah hak individu yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara – Perlembagaan Persekutuan yang dipegang oleh DAP.

Tentunya jika idea DAP menjadi amalan, rakyat akan menolak politik kaum dan perkauman yang jelas tempang, tidak adil serta bersifat diskriminasi. Dan ini bermakna parti-parti berasaskan kaum menjadi tidak relevan lagi. Memanglah Malaysia tidak akan tiba-tiba menjadi bersih daripada segala keburukan, tetapi sekurang-kurangnya itu merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang sebenar.

Kepada orang yang masih membenci DAP kerana menelan fitnah, saya hanya mampu berharap agar mereka dapat berfikir sendiri, menolak segala fitnah dan pembohongan terhadap DAP, dan mula menilai DAP dari kacamata yang neutral. Tidak perlu takut dengan dakyah daripada suara-suara bengis perkauman. Dan kaedah ini juga menjadi satu daripada asas penentuan untuk saya menyertai DAP.

1 comment:

  1. DAP adalah serpihan dari PAP yang telah dihadiahkan pulau Singapura keranaemperjuangkan 'Malayan Melaya'. Hadiah ini telah melahirkan seorang pejuang Melayu, Syed Jaafar Albar yang menentangnya. Beliau digelar 'Singa UMNO'. Beliau dipecat dan akhirnya mati keseorangan. Tidak ada seorang pun orang UMNO lain bangun bersama beliau. Kerusi kerusi yang dimenangi oleh PAP dulu diberikan pada MCA dan MIC. UMNO hanya mendapat satu kerusi. Orang UMMO diam lagi. Apabila PAP ke Singapura maka lahirlah DAP, yang pada mulanya mirip pada perjuangan PAP tetapi akhir-akhir telah bersikap terbuka, lagi terbuka dari UMNO. Malah baru-baru ini empat orang pemimpin DAP Melaka keluar parti kerana mereka berkata DAP telah menyimpang jauh dari perjuangan asal, ia itu Malayan Malaya. DAP bukan lagi pati chauvanis Cina tetapi a multi racial party. Dan mereka memperjuangkan nasib rakyat.


    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa