Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, February 16, 2017

PKR mula jauhi PAS?

Akhirnya, PKR mula jauhi PAS

  | February 15, 2017
PKR menyatakan kesediaannya untuk bertarung 3 penjuru pada pilihan raya umum, dilihat perubahan dalam pendiriannya yang masih meletakkan harapan kepada PAS.
PETALING JAYA: PKR yang selama ini masih menaruh harapan terhadap PAS yang bermusuhan dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) kini dilihat semakin menjarakkan diri daripada parti Islam itu.
Beberapa pemimpin kanan PKR memberi bayangan yang parti itu lebih mengutamakan kerjasama dengan DAP dan Amanah, di samping Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjalinkan persefahaman dengan ketiga-tiga parti itu menerusi PH.
“Dari segi perjanjian PKR, kita konsisten untuk bekerjasama dengan Amanah, DAP dan PPBM. Jadi, sama ada PAS ingin bekerjasama atau kaji semula itu terserah kepada mereka (PAS),” kata Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh kepada FMT.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ahad berkata PAS akan menilai semula hubungan dengan PKR pada muktamarnya April ini.
Presiden PAS itu sekali lagi menegaskan tidak bekerjasama dengan DAP dan Amanah yang disifatkannya menentang Islam kerana tidak menyokong rang undang-undang (RUU) meningkatkan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat.
Gesaan Hadi itu ketika PAS dan PPBM berbincang di luar kerangka PH, sesuatu yang masih belum menghasilkan sebarang kerjasama yang jelas.
Ia juga dilihat berlawanan dengan mesyuarat PAS-PPBM pada 1 Februari, diwakili Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan sejawatnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Kedua-dua mereka mengumumkan jawatankuasa teknikal bersama bagi mengkaji kerjasama secara rasmi.
Pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu bagaimanapun tidak sehaluan, dengan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali mengulangi kritikan terhadap PAS kerana semakin mesra dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Sejak muktamar 2015 yang menyaksikan kemaraan Hadi dan penyokongnya daripada sayap Dewan Ulama parti itu, PAS semakin berubah dasarnya terhadap parti pembangkang lain, dan mengambil sikap berlembut dengan Umno.
Parti itu juga bertindak memutuskan hubungan dengan DAP, dan memilih bersendirian di bawah apa yang yang dinamakan Gagasan Sejahtera, yang disertai sebuah parti kecil pimpinan bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Situasi itu menyebabkan hasrat pembangkang untuk melawan Barisan Nasional (BN) satu-lawan-satu pada pilihan raya umum akan datang, sesuatu yang tidak akan tercapai.
Syed Ibrahim berkata, PKR bersiap sedia menghadapi persaingan 3 penjuru.
“Kita semua pembangkang kena bersatu lawan satu. Itu akan beri kekuatan yang lebih.
“Kita tahu senario sekarang kita hendak capai yang terbaik 1 lawan 1, kalau tidak boleh masuk pilihan raya umum dalam 1 penjuru kita kena bersedia dengan 3 penjuru,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Ibrahim berkata PKR masih mengekekalkan kerjasama dengan PAS di peringkat kerajaaan negeri Selangor, yang turut disertai DAP.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution lebih tegas dalam soal kerjasamanya dengan DAP dan Amanah, dan memberi jaminan akan tetap bersama PH.
“Saya nyatakan secara jelas, tanpa berselindung. PKR adalah rakan komponen Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah, itu tidak akan berubah.
“Ikatan ini dimeterai dengan satu ikatan yang ditandatangani dan ada strukturnya, kekerapan pertemuan, kerangka bersama,” kata Saifuddin kepada FMT.
Saifuddin berkata, haluan dan pendekatan diambil PAS untuk menewaskan BN berbeza daripada pendekatan PKR dan PH.
“Jika PAS merasakan bersendirian adalah formula kemenangan, itu dianggap lebih baik untuk PAS.
“Kita hormati kefahamannya bahawa (menjadi) tunggal itu kuat,” katanya, dipercayai merujuk kenyataan beberapa pemimpin PAS sebelum ini yang lebih suka parti itu bersendirian daripada akur dengan dasar dan kemahuan parti pembangkang lain.

* Bagaimana pemimpin di kerusi exco dan GLC tu? Tak tahu malukah mereka?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa