Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak pernah menyebut nama timbalan presiden PAS Mohamad Sabu ketika menggesa agar “orang nombor dua” PAS dikenakan tindakan kerana mengamalkan fahaman Syiah.

“Saya tidak pernah sebut (nama) Mat Sabu, saya sebut 'nombor dua',” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media pagi ini berhubung tindakan yang akan dikenakan ke atas Mohamad.

pas muktamar 231113 mat sabuWartawan seterusnya meminta penjelasan lanjut daripada Ahmad Zahid memandangkan Mohamad Sabu, yang baru dipilih semula sebagai timbalan presiden PAS, dikenali umum sebagai orang nombor dua parti Islam itu.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut dan hanya ketawa.

Beliau juga berkata, pegawainya akan mengadakan satu lagi sidang media untuk mendedahkan bukti berhubung dakwaan bahawa “orang nombor dua” itu berfahaman Syiah.

NONEMenteri dalam negeri itu juga berkata “orang nombor dua PAS” itu tidak perlu takut kerana pegawainya akan mendedahkan bukti tersebut.

Tambahnya, tindakan penahanan itu boleh dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pihak berkuasa agama negeri.

Kementeriannya tidak bertanggungjawab ke atas tindakan penahanan seperti itu, katanya yang turut mendakwa bahawa pengikut Syiah akan berpura-pura tidak mengamalkan ajaran seperti itu.

Mohamad, yang menafikan mengamalkan fahaman Syiah, semalam berkata beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ahmad Zahid Atas dakwaan tersebut.

Mohamad dalam laporan Harakahdaily menyifatkan dakwaan Ahmad Zahid itu sebagai tuduhan berniat jahat.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu... Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya lagi.