Tokoh kewartawanan, Datuk A Kadir Jasin dengan hari ini dengan sinis mencadangkan agar isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilantik ke jawatan menteri, malah mungkin ke jawatan perdana menteri.

Kadir berkata, Rosmah patut dilantik ke jawatan berkenaan atas jasa-jasanya, yang mendapat pujian dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Langkah itu juga boleh menjimatkan perbelanjaan negara kerana jasa berkenaan menunjukkan Rosmah lebih cekap dari menteri sedia ada, kata Kadir dalam tulisannya di blog kadirjasin.blogspot.com.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib semasa menggulung perbahasan di perhimpunan agung Umno, Sabtu lalu, yang antara lainnya menonjolkan tindakan Rosmah membantu membebaskan seorang pelajar dari tahanan pihak berkuasa Mesir.

“Berpandukan maklumat Mohd Najib itu, eloklah beliau menimbang semula kedudukan Menteri Luar Negeri Anifah Aman kerana ternyata beliau tidak seberkesan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.

"Begitu juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelajaran, Muhyiddin Mohd Yassin kerana Rosmah juga terlibat di sana-sini dalam tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri-menteri berkenaan.

"Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri-menteri yang tidak 'perform' dan sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan bilangan kementerian.

"Saya dah berbuih mulut macam lembu kena penyakit kuku dan mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik, dilantik jadi menteri. Malah menjadi Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata.