Timbalan ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun menuntut agar kerajaan melantik seorang menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal kemajuan bumiputera mengikut Dasar Pemerkasaan Bumputera.

Katanya, menteri tersebut perlu mempunyai kepakaran dan kemammpuan untuk merancang, melaksana dan memantau dasar dan program dalam dasar tersebut.

NONEKatanya lagi, menteri tersebut tidak harus dilantik dari kalangan yang “berjawatan besar tetapi tiada keazaman dan semangat Melayu.

Khairul Azwan juga menggesa agar keberkesanan program bawah dasar tersebut dinilai berdasarkan indeks prestasi, yang akan dikemukakan kepada Umno untuk pemantauan.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul terima kasih atas ucapan ketua sayap berkenaan Khairy Jamaluddin di perhimpunan agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau menyokong saranan Khairy agar pergerakan itu berubah menjadi lebih progresif, tetapi ia bukan lah sokongan kepada politik liberal, kata Khairul Azwan.

Tambahnya, seorang pemimpin progresif adalah pemimpin yang pragmatik tetapi tidak bersikap liberal atau mengamalkan pluralisme.

“Apa yang kita mahu adalah politif progresif yang boleh menangani cabaran zaman dan mengemukakan penyelesaian dalam cara yang praktikal,” katanya.

Dengan memetik potongan ayat al-Quran, Khairul Azwan berkata sifat progresif Pemuda Umno konsisten dengan Islam – iaitu dengan membuat kebaikan dan memastikan kebajikan orang Melayu terpelihara.

Beliau juga mengambil pandangan serupa dengan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa kumpulan "pluralisme, liberalisme dan ekstremis” memberi ancaman kepada kestabilan negara dan tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, perkara ini boleh dilihat dalam serangan ke atas kehakiman, mahkamah syariah dan institusi diraja.