Kerajaan negeri Kedah bawah pimpinan PAS didapati mengelak proses tender dengan memecahkan projek kepada beberapa bahagian kecil, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 jilid ketiga yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

Laporan berkenaan memfokuskan pada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) yang didapati sebanyak tiga projek bernilai lebih RM500, 000 tidak dianugerahkan mengikut proses tender.

Perbendaharaan menetapkan bahawa kesemua kontrak bernilai melebihi RM500,000 mesti dianugerahkan melalui tender terbuka, manakala kontrak bernilai antara RM50,000 dan RM500,000 boleh dilakukan melalui sebut harga.
Peraturan itu juga menetapkan bahawa projek yang bernilai bawah RM50,000 boleh dilakukan secara rundingan terus.

Laporan Ketua Audit Negara itu menyebut, MPLBP menganugerahkan satu projek untuk menaiktaraf tapak pelupusan sisa pepejal bernilai RM749,350 di Kampung Belanga Pecah melalui sebutharga.

Ia dijalankan dengan memecahkan projek tersebut kepada tiga bahagian yang menyebabkan nilai setiap satunya kurang dari RM500,000.

Laporan audit berkenaan turut menyebut mengenai projek membekal dan memasang lampu di Taman Awam, bernilai RM752,080 yang dibiayai kerajaan persekutuanmelalui Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan dilaksanakan oleh MPLBP.

MPLBP didapati menganugerahkan projek tersebut kepada satu kontraktor melalui sebut harga dan bukan proses tender, yang melanggar peraturan Perbendaharaan.

Bagaimanapun, pegawai penguasa mengeluarkan arahan kepada kontraktor untuk mengurangkan sebahagian dari kerja-kerja terbabit.

Menurut Ketua Audit Negara, tindakan itu dilakukan selepas teguran dari LADA kerana tidak mematuhi proses tender.

Nilai projek tersebut dikurang kepada RM98,500 untuk mengelakkan percanggahan dengan peraturan Perbendaharaan.

Dalam kenyataan balasnya, MPLBP memberi alasan bahawa kerja-kerja tersebut perlu disegerakan sebelum Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi.