Seorang bayi lelaki berusia dua minggu antara tiga yang maut dalam nahas jalan raya di Kampung Chicha, Kubang Kerian hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Azham Othman berkata dalam insiden pada kira-kira 7.30 pagi itu, bayi berkenaan bersama dua lagi mangsa dikenali sebagai Zubaidah Dollah, 49, dan Siti Maimunah Abdullah, 35, menaiki kereta Perodua Kancil dari arah Kota Bharu ke Pasir Puteh.

Beliau berkata kereta itu, yang dipandu suami Siti Maimunah (yang belum dikenali) dipercayai menukar laluan dari sebelah kanan ke kiri sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Grand Livina.  

"Kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa telah terbabas selepas terseret sejauh lebih 50 meter dan melanggar tiang elektrik yang berada di sebelah kiri bahu jalan," katanya kepada pemberita di sini.

Azham berkata pemandu kereta Perodua Kancil dan pemandu Grand Livina iaitu Kamarizan Mat Yaman, 32, cedera parah.

"Kesemua mangsa telah di hantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia di sini," katanya sambil menambah pihaknya belum mengenal pasti kaitan bayi berkenaan dengan mangsa.