Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, February 12, 2016

66 orang kawal dunia

Hishamuddin Rais
Dalam tulisan yang lepas-lepas saya telah menerangkan apa itu daulah terpendam (deep state). Saya telah juga menerangkan apa itu salah bendera (false flag). Saya juga telah menerangkan apa makna mengolah persetujuan.
Saya juga dengan dengan tuntas telah menerangkan bahawa politik ialah ekonomi. Pertempuran politik atau perlawanan politik ialah perebutan punca-punca ekonomi. Dari awal wujudiah manusia,yang menjadi dewa pemandu manusia ialah ekonomi. Justeru umat manusia ialah umat ekonomi.
Jika gagal memahami peranan ekonomi sebagai jurumudi kehidupan manusia, maka segala analisis politik, segala tulisan tentang politik adalah tempang dan lompong. Analisa tentang para pemain politik juga penting tetapi adalah lebih penting untuk memahami siapa dan apa di belakang sosok-sosok para pemain politik ini.
Saya ulangi perkara di atas kerana saya amat yakin akan kedatangan ledakan ekonomi tidak lama lagi. Tanda-tanda kesampaian ledakan ini semakin jelas. Justeru ia mewajibkan saya untuk memberi penerangan sejelas mungkin agar kita semua bersedia.
Saya mahu pembaca sedar dan dapat melihat setiap babak dalam dunia ini dari kaca mata yang baru. Saya mahu pembaca nelihat dengan pandangan yang kritikan, melihat dengan analisis berpandukan kepentingan ekonomi.
Juga saya berharap hasil daripada pencerahan ini, para pembaca tidak secara senang akan menerima ucapan atau cakap mana-mana politikus, mana-mana Mufti, pemimpin agama, ahli politik kendati pun si polan itu bernama Najib atau si polan itu berpangkat ketua polis negara.
Lagi besar pangkat mereka lagi banyak kepentingan ekonomi dalam saku mereka, lagi besar pembohongan dan putar alam yang akan mereka lafazkan. Ini hakikat politik di Malaysia hari ini. Ini bukan satu hasutan.
Kerana ini saya telah dan akan terus menerangkan apa sebenarnya di belakang krisis ekonomi yang sedang berlaku hari ini. Saya memberi latar belakang agar ianya dapat dilihat dengan jelas dan tuntas.
Saya melihat banyak projek salah bendera telah dipentaskan. Banyak lagi sedang dirancang dan diatur oleh daulah terpendam. Setiap projek salah bendera bertujuan untuk mengolah persetujuan orang ramai. Persetujuan orang ramai diperlukan agar tidak berlaku huru hara yang tidak disusun.
Kata kunci di sini ialah huru-hara yang tidak disusun. Ini bermakna daulah terpendam sentiasa mementaskan huru-hara dengan tersusun untuk tujuan mengolah persetujuan. Huru-hara yang tidak disusun memungkinkan berlaku pemberontakan kaum tertindas. Jika ini berlaku ia akan merugikan kelas yang kaya. Huru-hara memungkinkan lahir revolusi yang berpotensi untuk mengubah sistem kapitalis yang wujud. Justeru sebelum rakyat tertindas memiliki kesedaran politik untuk bangun memberontak lebih baik didorong mereka membuat huru-hara lebih awal - huru-hara tanpa tujuan.
Contoh terbaik ialah Demo Baju Merah, atau Tragedi Low Yatt atau apa yang terjadi di kedai telefon di Kota Raya. Semuanya dikatakan diatur oleh daulah terpendam. Di belakang Baju Merah ialah daulah terpendam yang menyusun huru-hara yang akan melahirkan keputusan yang mana kepentingan orang kaya akan terus terjamin.
Jual nama tuhan
Hakikatnya projek salah bendera dipentaskan oleh daulah terpendam sebagai wayang kulit untuk memperkukuhkan keyakinan kita semua bahawa kita duduk dalam negara bernama Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Demokrasi berparlimen bermakna kita ada hak bersuara melalui parlimen untuk menentukan arah mana negara ini wajib dikendalikan.
Tapi di Malaysia dan banyak negara dalam dunia ini yang wujud hanyalah prosedur demokrasi. Prosedur demokrasi bermakna kita memiliki prosedur untuk demokrasi. Kita ada prosedur untuk pilihan raya - ada parlimen - ada Dewan Rakyat, ada Dewan Negara, ada Dewan Negeri. Kita juga ada lembaga seperti SPRM, ada peguam negara, ada PDRM, ada mahkamah dan pelbagai lembaga daulah. Malah jika kurang yakin, Malaysia juga ada Suhakam.
Lembaga-lembaga ini diwujudkan untuk melahirkan ilusi bahawa kita bebas. Bahawa kita mengamalkan demokrasi. Walhal semuanya ilusi. Semua ini hanya topeng. Lembaga-lembaga ini dipilih, dilantik dan dinobatkan oleh kumpulan elit politik dan elit ekonomi yang mengawal Malaysia.
Justeru mustahil peguam negara yang dilantik oleh Najib akan mengeluarkan kertas dakwaan terhadap Najib dalam kes duit 2.6 bilion ringgit. Atau peguam negara akan membuat rayuan terhadap dakwaan keterlibatan Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya. Atau Peguam negara membuat rayuan terhadap kes dakwaan rasuah lembu suami Shahrizat. Sampai hari kiamat perkara-perkara ini tidak akan berlaku.
Dalam dunia kapitalis hari ini demokrasi dijadikan topeng oleh satu kumpulan elit ekonomi dan elit politik. Ia bukan hanya berlaku di Malaysia. Di Amerika, di Australia, di Kanada, di New Zealan, perkara yang sama berlaku. Di sesetengah negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin, mungkin lebih teruk lagi. Tidak ada sandiwara pilihan raya, tidak ada ilusi demokrasi. Tidak apa topeng-topeng. Kuasa dimiliki oleh elit politik dan elit ekonomi melalui rampasan kuasa.
Contoh yang paling jelik lagi memualkan ialah negara Arabi Saudi yang mana elit politik dan elit ekonomi mendapat kuasa dengan menjual nama Allah, nama tuhan dan agama. Ini hakikat, bukan fitnah.
Elit politik dan elit ekonomi sama ada di Amerika, Kanada atau di Malaysia akan mementaskan sandiwara demokrasi dan wayang kulit untuk terus berkuasa. Dengan kuasa di tangan mereka maka mereka akan mengawal ekonomi untuk terus bermewah dengan harta kekayaan dunia.
Oxfam - sebuah NGO antikemiskinan yang berpusat di United Kingdom telah membuat satu kajian. Oxfam mengumumkan kajiannya, yang mana pada tahun 2010, seramai 66 orang (enam puluh enam sahaja) yang terkaya dalam dunia ini telah menambah 44 peratus harta harta kekayaan mereka untuk menjadi 1.76 trilion dolar.
Jumlah harta 66 orang ini sama dengan jumlah harta 3.5 bilion warga dunia ini. Ini fakta bukan fitnah atau hasutan Hishamuddin Rais.
Sosok-sosok ini bersama syarikat milik mereka berjaya menggunakan hukum dan hakam untuk ‘menyorokkan’ 7.6 trilion dolar. Justeru mereka berjaya melarikan diri dari cukai. Jumlah cukai yang dilarikan ialah 160 bilion dolar.
Strategi Salafi Amerika
Ini juga bukan kenyataan yang berbau hasutan tetapi fakta dari Oxfam yang dilaporkan oleh Al Jazerra pada 8 Januari lalu.
Saya memaparkan laporan Al Jazeera ini untuk membuktikan bahawa di belakang ahli politik, di belakang semua yang sedang berlaku dalam dunia ini wujud pak dalang yang memainkan peranan untuk mengolah, untuk mewarna, untuk melakar perjalanan dunia kita hari ini.
Kuasa yang dimiliki oleh 66 sosok ini cukup besar. Mereka memiliki dan mengawal apa sahaja dalam dunia ini. Mereka ada kepentingan dalam apa sahaja perniagaan dalam dunia ini. Contoh terbaik dalam dunia hari ialah kewujudan enam buah syarikat media gergasi. Syarikat media ini mengawal dan memiliki 90 peratus media Amerika. Justeru enam saluran media ini dapat mempengaruhi berita dan budaya dunia.
Jika media yang mereka kawal melaporkan IS telah menyerang Jakarta, maka semua berita dunia akan melaporkan IS menyerang Jakarta. Jika media milik mereka melaporkan IS bergerak di Malaysia maka semua media dunia akan melaporkan IS sedang bergerak di Malaysia.
Dunia yang wujud hari ini adalah milik kaum kapitalis. Elit politik dan elit ekonomi global bekerjasama dengan elit politik dan elit ekonomi tempatan untuk memiliki, mengawal dan mengawal semua punca-punca ekonomi.
Justeru menandatangani TPPA ialah contoh terbaik yang mana elit politik dan elit ekonomi Malaysia bersekongkol untuk menggadaikan Tanah Melayu kepada elit global. Lihat bagaimana elit politik tempatan menjadi barua juru jaja TPPA. Dari nama Allah hingga ke nama dewa digunakan untuk mengolah persetujuan dan menipu Bani Melayu.
Justeru pertempuran yang akan datang ialah pertempuran antara 66 orang terkaya bersama berbilion rakyat dunia. Yang miskin jelas berjumlah ramai. Yang kaya sedikit. Pasti yang berjumlah ramai dapat mengalah yang sedikit. Sabar dulu. Di sinilah munculnya daulah terpendam, salah bendera dan strategi mengolah persetujuan.
Dari sinilah juga muncul IS. Gerakan yang mahu mewujudkan kembali apa yang mereka panggil negara berkhalifah. Mimpi IS untuk mewujudkan gaya hidup seperti 1500 tahun dahulu, gaya hidup umat manusia sebelum wujudnya Internet dan Brickfields.
Sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa IS dieram, menetas dan dibesarkan oleh CIA. Arab Saudi dan Qatar memberi dana untuk membeli senjata dari Amerika. Manakala Turki juga menyokong logistik membawa masuk sukarelawan dari merata tempat. Justeru, di Malaysia penyokong IS yang ditahan semuanya berniat hendak terbang atau pulang dari Turki.
Saya pungut maklumat IS daripada laporan New York Timespada 21 Jun 2012 dahulu. Malah pada 12 Ogos 2012 Difense Intelligence Agency (DIA) – salah satu lembaga risikan milik Amerika – memberi laporan betapa perlunya satu gerakan Salafi didirikan di Hasakan dan Derr Zor ( wilayah timur Syria).
Strategi Salafi Amerika ini bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Basheer al-Assad di Damsyik. Ini bukan fitnah ini laporan resmi dari lembaga risikan Amerika pada tahun 2012 lagi.
Ketika saya menggarap tulisan ini seramai 4,801 soldadu dan pegawai tentera Amerika telah gugur di Iraq. Di Afghanistan seramai 3,487 soldadu pelbagai negara barat telah tewas. Setakat ini perbelanjaan perang di Iraq dan Afghanistan ialah 1,667.133,934,508 dolar Amerika. Jumlah warga Irag yang mati dibunuh dalam perang Iraq ialah 1,455,590.
Semua ini adalah angka-angka rasmi. Angka yang tidak rasmi mungkin lebih dari ini. Lalu persoalan timbul, kenapa semua ini berlaku?

1 comment:

  1. wang wahabi memerintah dunia musuh utamanya syiah
    arab takkan memerangi israel kecuali mereka convert kepada syiah--syeikh hammoud

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa