KENYATAAN MEDIA
AMANAH KUTUK SEKATAN KE ATAS PORTAL THE MALAYSIAN INSIDER
www.amanah.org.my
1. Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan UMNO BN melalui SKMM yabg telah menghalang akses kepada laman berita The Malaysian Insider (TMI).
2. Ini merupakan satu pencabulan hak asasi rakyat yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Hak untuk tahu dan mendapat maklumat berhubung prestasi dan tindakan kerajaan yang dipilih rakyat adalah satu hak yang dijamin perlembagaan.
3. AMANAH menyedari bahawa kerajaan sedang tertekan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa khususnya berhubung 1MDB. Namun tindakan menghalang akses kepada mana-mana laman berita seperti TMI tidak boleh diterima.
4. AMANAH mengutuk apa jua usaha menutup salah laku pimpinan kerajaan dengan menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang bebas dan telus dari sumber-sumber di luar kawalan kerajaan.
5. AMANAH ingin mengingatkan kerajaan UMNO BN bahawa keadaan dan suasana dunia tidak lagi seperti dahulu di mana akses kepada maklumat boleh dihalang dengan mudah. Suasana dunia tanpa sempadan dewasa ini menyebabkan maklumat boleh diperolehi dari pelbagai sumber.
6. Oleh itu adalah lebih baik pihak kerajaan mendepani segala pendedahan yang dibuat mana-mana pihak secara bertanggungjawab dengan memberi jawapan balas terhadap setiap persoalan yang ditimbulkan.
7. Sekiranya pendedahan dan tuduhan itu adalah benar dan berasas maka AMANAH menuntut supaya pihak bertanggungjawab, setinggi mana sekalipun kedudukan mereka, perlu dibawa ke proses pengadilan dan tidak sebaliknya dilindungi dengan menindas dan menafi hak rakyat.
8. AMANAH menuntut supaya halangan akses kepada laman berita The Malaysian Insider ditamatkan dengan segera dan kerajaan kembali ingat tanggungjawab mereka kepada rakyat.
"Harapan Baru"
KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara
25 Februari 2016
# blog aku pun dapat ni juga, 'natang' mana yang buat aku tak tahu:
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa