THURSDAY, FEBRUARY 18, 2016
Gerakan Massa Selamatkan Negara
A Kadir Jasin
ALTRUISME adalah komoditi mahal dalam tindak-tanduk manusia, lagi-lagilah bagi manusia dalam arena politik.
Segala-galanya dengan tujuan dan matlamat tersurat dan tersirat. Keikhlasan dan kebetulan lebih kerap di bibir saja.
Dalam konteks politik negara kita, tujuan pembangkang adalah menang pilihan raya umum (PRU) dan memerintah negara. Mereka hampir-hampir berjaya dalam PRU 2013.
Logiknya, dengan skandal demi skandal dan masalah demi masalah yang melanda negara di bawah pengemudi (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak, pembangkang hanya perlu mengeksploitasi kelemahan pemerintahan Umno-Barisan Nasional.
Mereka hanya perlu membiarkan Mohd Najib dan para pesekongkol beliau dalam Umno-BN dan pentadbiran awam terus dengan skandal, kesilapan, pembohongan dan penafian.
Biarkan mereka menggali kubur yang sedalam-dalamnya dan apabila tiba PRU, timbus mereka dalam kebencian dan penolakan pengundi.
Tetapi apa yang kita perhatikan tidak seperti itu.
Sebaliknya mereka mahu Mohd Najib berundur dan, untuk tujuan itu, sedia berpakat dengan elemen Umno-BN yang berpandangan serupa.
Mereka mahu menyelamatkan Malaysia dan rakyat jelatanya sebelum terlambat. Mereka berpendapat menunggu sehingga PRU mungkin terlalu lama dan Malaysia tidak dapat diselamatkan lagi selepas itu walaupun mereka menang.
Gerakan Massa Selamatkan Malaysia
Saya telah menyebut mengenai perlunya dijanakan segera gerakan massa (mass movement) yang merentasi sempadan politik, ideologi, agama, bangsa dan wilayah bagi menyelamatkan Malaysia.
Kita tidak lagi boleh bergantung kepada politik kepartian, apatah lagi politik pemakan dedak yang telah melanda Umno-BN, untuk kembali menyatukan rakyat jelata dan mengembalikan keyakinan dunia terhadap Malaysia.
Paling besar harapan kita kepada Umno-BN adalah masih ada beberapa kerat Ahli Dewan Rakyatnya yang ada harga diri, berhati kecil dan punyai rasa bersalah (conscience).
Saya tahu yang mereka tahu bahawa mereka tidak lagi mewakili rakyat jelata. Malah mereka tidak pun mewakili ahli Umno-BN lagi. Mereka hanya mewakili Mohd Najib dan kelompok eksklusif beliau.
Umum tahu bahawa ada usaha yang berkisar di sekitar Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggantikan Perdana Menteri melalui “undi” tidak percaya. Gerakan ini dipercayai mendapat sokongan luas Ahli Dewan Rakyat pembangkang dan segelintir Umno-BN.
Kita pun sudah tahu yang majoriti Raja-raja Melayu tidak lagi berdiam diri melihat kehidupan rakyat jelata semakin hari semakin terdesak dan imej negara menjadi bahan persendaan dunia.
Yang kita perlukan sekarang adalah bagi setiap orang yang peduli dan sayangkan negara bangun secara aman dan sivil menyatakan bahawa perubahan wajib berlaku dan berlaku segera.
Setiap orang yang berwajah, dikenali dan dihormati tanpa mengira usia dan jantina, kerjaya dan kepakaran, bangsa dan agama wajib memberanikan diri berdiri dalam satu barisan penyelamatan negara.
Bagi yang berasa mereka berkuasa, kuat dan terlindung, ingatlah kuasa tidak akan kekal selama-lamanya. Bukan Perdana Menteri seorang saja akan dipertanggungjawabkan apabila “the chips are down”. Semua yang bersubahat, bersekongkol dan makan dedak akan diseret bersama.
Wallahuaklam.
Posted by A KADIR JASIN at 3:55 PM
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa