18 Februari 2016 | MALAYSIA DATELINE
Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fakta ini dapat dilihat daripada 'urusniaga' untuk mendapat seorang pembantu rumah Indonesia yang menelan kos antara RM8,000 hingga RM10,000.
"Kalau bayaran caj atau levi yang dibayar kepada kerajaan adalah RM500 dan kos untuk mendapat pekerja ini adalah RM3000 di segi bayaran kepada agen dari negara asal, maka kepada siapakah bayaran baki sebanyak RM6,500 lagi?" soal beliau.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran sistem AP yang diberikan kepada syarikat atau agen-agen tertentu dan pihak yang sebenarnya mendapat 'durian runtuh' dari seluruh rantaian bekalan pekerja asing.
"Persoalan susulan yang saya ingin bangkitkan ialah mengapakah diteruskan pemberian AP ini? Dari sedikit pendedahan tentang carian seorang pembantu rumah di atas menunjukkan bahawa sangat lumayan habuan pekerjaan AP pekerja asing ini!" soal beliau.
Beliau turut meminta kementerian khususnya menteri terbabit menyenaraikan jumlah dan nama syarikat yang diberikan AP untuk membawa masuk pekerja asing dan 'nilai tambah' syarikat terbabit dalam rantaian bekalan ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata perjanjian persefahaman (MOU) di antara kerajaan Malaysia-Bangladesh untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini juga bertentangan dengan pelbagai dasar pembangunan kerajaan yang mahu mengehadkan hanya 15% pekerja asing menjelang 2020.
"Mampukah ini dicapai kalau terus-terusan sikap kerajaan adalah sangat culas dan tidak bertanggungjawab," soal beliau.
Menurut beliau, lambakan pekerja asing yang berketrampilan rendah serta buruh tempatan yang tidak terlatih dengan 70% berkelulusan SPM), antara lain menjadi punca negara terus berada dalam ‘perangkap pendapatan sederhana’ (Middle-Income Trap).
Malah jelasnya, setiap tahun negara mengalami aliran keluar tunai sebanyak RM32 bilion dari segi hantaran pulang pendapatan pekerja asing (remittance economy).
"Industri menjadi selesa atau tidak dapat melonjak ke tahap menghasilkan produk yang bernilai tambah tinggi kerana dikekang oleh warga kerja yang tidak berketrampilan dan produktiviti yang rendah," ujarnya.
Cadangan membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh juga, jelas beliau akan melonjakkan jumlah pekerja asing kepada 7.5 juta berbanding 6.5 juta warga kerja tempatan yang berada dalam sektor awam mahupun swasta.
Daripada jumlah 6 juta pekerja asing di negara ini, hanya 2.14 juta masuk secara sah dan selebihnya tanpa izin atau tidak berdokumen.
Beliau turut meragui alasan kerajaan kononnya kemasukan warga kerja Bangladesh itu didorong permintaan pihak industri sedangkan ia dipertikaikan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) apatah lagi dalam suasana ekonomi yang melembap termasuk di peringkat serantau dan global.
Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menyenaraikan syarikat dan industri yang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri secara telus.
"Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga mempertikaikan langkah kemasukan pekerja asing ini kerana lebih berkehendakkan kerajaan membekalkan latihan secukupnya dan gaji setimpal kepada pekerja separa mahir tempatan untuk diserapkan ke dalam sektor yang ketika ini kurang diminati warga Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan menghapuskan segala sistem yang tidak efisien dan sarat dengan kronisme.
Oleh itu ujar beliau, cadangan kerajaan untuk melaksanakan pengambilan pekerja asing secara atas talian bagi mengurangkan kos merekrut seperti disebut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot ketika merasmikan Forum mengenai Buruh Migran Asean ke-8 Oktober lalu, tidak wajar menjadi 'cakap-cakap kosong sahaja'.
Wow! Meniaga manusia lebih untung dari meniaga unta. Jadinya, yg pilih umno/bn ni samalah taraf mcm unta....
ReplyDelete