Wednesday, February 8, 2017

Trump sekat umat Islam: Rabai dan pelajar Yahudi ditahan kerana protes

19 rabai, pelajar Yahudi ditahan protes AS sekat umat Islam

  | February 8, 2017
Jill Jacobs berkata, sekatan yang dikenakan Trump ke atas rakyat 7 negara Islam kini, sama dengan larangan AS ke atas pelarian Yahudi pada 1924.
PETALING JAYA: Seramai 19 pemimpin dan pelajar agama Yahudi ditahan kerana membantah sekatan Donald Trump ke atas pelarian dan umat Islam dari 7 negara memasuki Amerika Syarikat.
Akhbar New York Times (NYT) melaporkan 19 rabai dan pelajar terbabit adalah ahli gabungan kumpulan Yahudi liberal, T’ruah.
Kira-kira 200 orang menyekat laluan berhampiran Trump Tower di Manhattan, pada Isnin malam, dengan memegang poster tertera mesej seperti “mengalu-alukan pelarian” sambil memukul gendang dan tamburin.
Pengarah Eksekutif T’ruah, Jill Jacobs yang dipetik NYT berkata, protes itu bertujuan menunjukkan ramai orang Yahudi menentang sekatan ke atas umat Islam itu.
“Kami ingat sejarah kami dan kami ingat sempadan negara ini ditutup kepada kami pada 1924 dengan kesan amat besar ketika Holocaust.
“Kami tahu sebahagian bahasa yang digunakan sekarang untuk menyekat umat Islam ke sini adalah bahasa sama yang digunakan untuk menghalang pelarian Yahudi datang ke sini,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, presiden AS yang baru dilantik itu menandatangani perintah eksekutif bertajuk “Melindungi negara daripada kemasukan pengganas asing ke AS” bagi menyekat kemasukan semua pelarian selama 120 hari dan pelarian Syria selama-lamanya.
Ia turut meliputi pembekuan pengeluaran visa selama 90 hari kepada warganegara 7 negara majoriti Islam, iaitu Iraq, Iran, Sudan, Libya, Somalia, Yaman dan Syria, walaupun mereka mempunyai visa sah atau penduduk tetap AS.
Minggu lalu, perintah eksekutif itu disekat seorang hakim persekutuan dan 9 Mahkamah Rayuan AS di San Francisco serta mahu kerajaan menyerahkan hujah mereka berhubung pelaksanaan dasar baru itu.
Trump yang mengecam hakim terbabit berkata, sekatan itu tidak berperlembagaan dan “tidak masuk akal ” kerana sebagai presiden, beliau mempunyai kuasa untuk memutuskan hal berkaitan keselamatan negara.
Pautan:
Donald Trump memberi alasan pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa