Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau mengamalkan ajaran Syiah.

Mohamad dalam laporan Harakahdaily menafikan dengan keras tuduhan berkenaan dan menyifatkan dakwaan Ahmad Zahid itu sebagai tuduhan berniat jahat.

pas muktamar 231113 mat sabu“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu... Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya lagi.

Ahmad Zahid dalam ucapannya di perhimpunan agung Umno semalam menyebut nama pemimpin PAS itu secara tidak langsung apabila mengaitkan "orang nombor dua" parti itu.

"Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam PAS. PAS ketepikan perbezaan politik. Ini soal akidah dan keselamatan negara. Kita hairan bagaimana PAS memilih pemimpin Syiah untuk menjadi orang nombor dua (Mohamad) dalam PAS.

"Jangan berselindung, Jamil Khir, KDN (Kementerian Dalam Negeri) beri kuasa, ambil tindakan pada pemimpin PAS (itu)," kata naib presiden Umno itu yang mahu tindakan dikenakan ke atas Mohamad Sabu.

Ahmad Zahid juga berkata, kementeriannya memberi kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan ke atas Mohamad Sabu atas dakwaan tersebut.

"Alangkah baiknya PAS mempunyai keberanian dan menyatakan komitmen politiknya untuk menolak pemimpin Syiah yang menjadi salah seorang pemimpin parti itu," katanya lagi.