Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, December 8, 2013

Penjenayah, Mati Pun Dengan Cara Jenayah

Kali kedua baru mati
Oleh ISMA ISMAIL
Nibong Tebal: Selepas cubaan pertama membunuhnya lima bulan lalu gagal, seorang lelaki berusia 29 tahun akhirnya maut akibat ditembak ketika berjalan seorang diri di Taman Puteri Gunong, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam, M Parttippan mati selepas terkena tembakan pada bahagian rusuk yang dilepaskan dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi hitam dinaiki dua lelaki.
Sejurus menghampiri mangsa, suspek melepaskan enam das tembakan dan satu daripadanya mengenai rusuk lelaki itu. Mangsa yang parah dan mengalami pendarahan teruk disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian 20 Jun lalu, mangsa cedera selepas ditembak seorang lelaki kira-kira 200 meter dari tempat kejadian malam kelmarin.
Bagaimanapun, mangsa yang masih bujang terselamat dalam kejadian itu walaupun peluru menembusi badannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, bertindak atas maklumat, dua lelaki berusia 21 dan 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan, awal pagi semalam.
POLIS memeriksa kereta yang dipercayai milik suspek kes tembak di Taman Puteri Gunong, Nibong Tebal.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian di Tasek Mutiara, malah polis menemui kereta Perodua Myvi hitam terbakar yang dipercayai digunakan suspek ketika menembak mangsa lima kilometer dari tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan mendapati kereta berkenaan dicuri di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah pada 2 Disember lalu.
Beliau berkata, pihaknya yakin penahanan dua lelaki berkenaan kes terbabit dapat diselesaikan.
“Dua lelaki berkenaan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan. “Polis percaya kes ini dapat diselesaikan dengan tertangkapnya dua lelaki berkenaan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya di sini.
Sementara itu, Mazlan ketika ditemui berkata, pihaknya menemui enam kelongsong peluru di tempat kejadian.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa hanya terkena satu tembakan pada rusuk badannya.
Beliau berkata, mangsa didapati mempunyai empat rekod jenayah, termasuk satu kes berkaitan dadah.
Katanya, pihaknya juga percaya kejadian terbabit bermotifkan dadah dan juga balas dendam.
“Siasatan awal juga dipercayai suspek menggunakan pistol jenis semi automatik ketika menembak mangsa. Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa