Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sekali lagi mengingatkan kepentingan menarik sokongan anak muda.

Khairy berkata walaupun Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini berjaya meletakkan golongan mahasiswa untuk bersama dalam pentas perbahasan, golongan itu hanya sebahagian dari keseluruhan anak muda.

Beliau turut mahu Umno mula mendekati anak muda seawal usia 17 atau 18 tahun bagi memikat hati mereka dalam perjuangan parti.

"Sebahagian besar anak muda tidak sampai ke menara gading.

"Kalau tak didekati dari sekolah, kita ketinggalan dalam blok yang besar," kata beliau dalam ucapan penggulungan PAU ke-67 hari ini.

Khairy juga menyentuh isu paling penting anak muda iaitu kos hidup yang semakin tinggi.

Beliau berkata kira-kira 75 peratus anak muda khususnya di bandar berpendapatan kurang RM3,000 tidak mampu mempunyai simpanan.

Justeru beliau mahu kerajaan menaikkan peruntukan untuk Skim Rumah Transit kepada Kementerian Perumahan untuk membina lebih banyak rumah dalam skim sedemikian.

"Peruntukan tambahan ini perlu kerana 600 rumah yang dibina dalam skim ini tak cukup," kata beliau.

Pemuda 'tulang depan' 

Dalam soal sama, Khairy menyokong penuh penubuhan sebuah jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha Negara untuk bertindak ke atas laporan ketua audit negara.

Menurut beliau, tidak adil meminta rakyat berjimat tetapi pada masa sama pelbagai laporan ketirisan dan rasuah tak dapat dijelaskan.

"Bila lihat laporan ketua audit negara yang tak dapat dijelaskan dan pada masa sama suruh rakyat ikat perut, mereka akan marah dan benci kita.

"Kita mesti hukum dan ambil tindakan ke atas mereka yang ambil rasuah ini," kata beliau.

Beliau turut berseloroh dengan para perwakilan apabila memberi komen ditujukan kepada Wanita Umno.

"Pemuda Umno tak payah gelaran tulang belakang Umno kerana kita telah menyumbang tulang-tulang depan Umno yang besar," kata beliau disambut sorakan perwakilan.