Published: Rabu Februari 19, 2014 MYT 7:32:00 PM
Updated: Rabu Februari 19, 2014 MYT 7:33:34 PM
Updated: Rabu Februari 19, 2014 MYT 7:33:34 PM
Anak Bongsu Pasangan Malaysia Di Sweden Saksi Pertama
STOCKHOLM: Anak bongsu pasangan Malaysia di Sweden yang didakwa dipukul kerana tidak solat merupakan saksi pertama yang memberi keterangan dalam perbicaraan ibu bapa mereka.
Arif, 7, memberi keterangan menerusi temuduga yang direkodkan lebih awal.
Video keterangan itu adalah sebahagian daripada bukti lisan pihak pendakwaan terhadap pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awalluddin dan isterinya Shalwati Nurshal.
Mahkamah Daerah Solna ketika prosiding pada Selasa dipertontonkan rakaman video kira-kira 136 minit temuduga polis Sweden dengan Arif yang direkodkan di hadapan kanak-kanak itu sebelum dihantar pulang ke Malaysia pada 31 Januari lalu.
Kanak-kanak itu kelihatan agak pemalu ketika ditemuduga, bercakap dengan suara yang perlahan dan jarang melihat anggora polis yang menemuduganya.
Arif sering berkata "ia sukar untuk diterangkan" dan "cakap sekali lagi" apabila dia keliru dengan soalan yang diajukan.
Tindakan itu mendorong polis berkenaan bertanyakan soalan yang sama berulang kali atau dengan ayat yang berbeza.
Pada satu ketika, apabila ditanya bagaimana perasaannya ketika bercakap dengan polis mengenai ibu bapanya, Arif hanya menjawab "pelik".
Jawapannya itu menyebabkan hadirin di dalam galeri mahkamah ketawa.
Anggota polis itu menyoal Arif mengapa dia dipukul oleh ibu bapanya.
Arif berkata bapanya mencubitnya di bahagian tangan, manakala ibunya memukul dengan penyangkut baju dan sebatang 'kayu dengan simpulan di bahagian hujung'.
Pendakwa, Anna Arnell menunjukkan 'kayu' kepada mahkamah dan mendedahkan ia adalah rotan berukuran kira-kira satu setengah kaki panjang.
Beliau juga menunjukkan pemukul permaidani, satu lagi alat yang dikatakan digunakan untuk memukul anak-anak mereka.
"Ini adalah apa yang dipanggil anak-anak mereka sebagai 'rotan'. Di Malaysia ia digunakan untuk mendisiplinkan anak-anak di sekolah dan di rumah," jelas Arnell.
Penjelasannya menimbulkan kekeliruan dan kejutan kepada orang awam yang hadir.
Johan Kallus yang mewakili Arif dan abangnya Ammar memberitahu pemberita bahawa walaupun kanak-kanak itu masih di Sweden, mereka tidak akan memberi keterangan secara langsung di mahkamah kerana mereka bawah umur.
Perbicaraan disambung Rabu.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa