Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, February 22, 2014

Kes Di Sweden: Keterangan Dari Ammar Tidak Benar - Ibu

Shalwati tidak sabar untuk beri keterangan
Stockholm: Shalwati Norshal berasa yakin dan tidak sabar memberi keterangan berhubung kejadian dia didakwa memukul anaknya, terutama selepas mendengar bukti lisan anak keduanya itu, semalam.

Peguam yang mewakili Shalwati, Kristofer Stahre, berkata anak guamnya itu dijangka memberi keterangan 3 Mac ini berikutan prosiding mahkamah agak lewat berbanding dijadualkan sebelumnya. 

Pada mulanya, hanya 10 hari diperuntukkan untuk kes pendakwaan terhadap Shalwati, 46 dan suaminya, Pengarah Tourism Malaysia di sini, Azizul Raheem Awaluddin, 38, yang berdepan tuduhan memukul dan mendera empat anak mereka di antara 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013. 

Tidak berkata benar

“Dia menafikan semua tuduhan ke atasnya dan pada pendapatnya, terutama keterangan yang anda dengar hari ini (Ammar) tidak berkata benar dan menokok tambah kejadian atau perkara yang berlaku di negara lain, yang mana peraturan dan tradisi mendidik anak diguna dan dibenarkan.

“Apabila bercakap mengenai kanak-kanak ini, wujud masalah. Masalahnya ialah apa yang dikatakannya tidak sama dengan bukti lain dalam kes ini. Ini memberi masalah dengan pihak pendakwaan apabila merujuk kepada keterangan kanak-kanak ini. Dia menyebut banyak perkara yang didakwa dilihat pihak lain, namun masalahnya ialah apabila anda bercakap dengan saksi lain, mereka tidak dapat mengesahkan keterangan itu.

“Jadi, ia agak berbeza dengan apa yang kita dengar daripada dua anak mereka sebelum ini. Anda dapat menyedarinya apabila anda terus mengikuti perbicaraan seterusnya,” kata Stahre pada penghujung hari ketiga perbicaraan di mahkamah Daerah Solna, di sini, semalam. 
Sepanjang perbicaraan tiga hari itu, Shalwati dan Azizul dilihat mencatat nota, sambil menyaksikan dua anak mereka, Arif dan Ammar menjawab soalan sepanjang beberapa jam rakaman video terbabit.

Menghadap skrin besar

Pada tiga hari pertama prosiding, pasangan suami itu, yang mengadap skrin besar dalam mahkamah, mendengar keterangan lisan selama tiga jam 40 minit daripada Arif, tujuh tahun dan sembilan jam rakaman daripada Ammar, 12 tahun.

Apabila perbicaraan diteruskan Isnin ini, Pegawai Pendakwaan Anna Arnell akan menunjukkan rakaman temuramah dengan Aisyah, 14 dan Adam, 11, di mahkamah.

Menjelaskan prosedur dalam mahkamah Sweden, Stahre berkata, “Semua bukti akan diteliti terlebih dulu. Semua video keterangan kanak-kanak berkenaan akan dimainkan, tertuduh kemudian akan diberi peluang memberi keterangan pada hari kejadian selepas semua keterangan saksi didengar.

“Pada hari terakhir, pihak pendakwaan akan memberi kenyataan, hujahan penamat, kesimpulan berdasarkan bukti dan selepas itu pihak pembelaan pula akan memberi hujahan balas dan penutup.”

Perbicaraan itu dijangka tamat 14 Mac ini dengan keputusan mahkamah akan diberi dua minggu selepas itu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa