Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, February 23, 2014

Kini Giliran Viktor Yanukovych Pula Melarikan Diri

Presiden Ukraine larikan diri
BEBERAPA orang wartawan berhimpun di luar Pejabat Presiden Viktor Yanukovych di Kiev semalam

KIEV - Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych dan pasukan keselamatan meninggalkan ibu kota negara ini semalam semasa kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan menawan bangunan Parlimen dan beberapa buah institusi pentadbiran sebagai usaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan sementara.
Setakat ini, lokasi persembunyian Yanukovych selepas beliau meninggalkan Kiev masih belum diketahui namun seorang penasihatnya, Anna German memberitahu agensi berita Interfax bahawa Yanukovych akan pulang ke bandar raya ini.
Menurut laporan media, beberapa anggota Kabinet juga dilaporkan telah meninggalkan Kiev ekoran krisis politik yang berlaku sejak November tahun lalu.
Selepas meninggalkan Kiev, Yanukovych menyatakan, keretanya telah ditembak.
"Kereta saya telah ditembak. Saya tidak takut. Saya berasa sedih untuk negara saya," katanya ketika diwawancara oleh wartawan stesen televisyen UBR.
Namun, berdasarkan wawancara itu, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.
Wawancara itu dipercayai dibuat di bandar Kharkiv, timur laut Ukraine yang mempunyai ramai penyokongnya.
Yanukovych juga menyatakan, beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun Kiev telah ditawan kumpulan penentang kerajaan.
Satu kelompongan kuasa berlaku di Kiev sehari selepas Yanukovych menandatangani satu perjanjian damai yang ditaja Barat bagi menamatkan krisis di negara tersebut.
Kelmarin, Yanukovych turut mengumumkan pilihan raya presiden akan diadakan sebelum 25 Mei depan.
Krisis tersebut bermula selepas kerajaan pimpinan Yanukovych enggan menandatangani Perjanjian Hubungan Ukraine-Kesatuan Eropah pada November tahun lalu.
Perjanjian itu akan membolehkan barangan Ukraine menembusi pasaran di Eropah.
Namun, Yanukovych lebih berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan Rusia.
Kedegilan Yanukovch itu menyebabkan berlakunya satu siri pertempuran antara para penunjuk perasaan antikerajaan dengan polis sehingga mengakibatkan hampir 100 orang terbunuh.
Selepas para penunjuk perasaan antikerajaan menawan Kiev, bekas Perdana Menteri wanita yang popular, Yulia Tymoshenko dibebaskan dari sebuah penjara di bandar Kharkiv.
Pembebasannya dibuat apabila 310 daripada 450 anggota Parlimen meluluskan untuk tidak melaksanakan undang-undang penyalahgunaan kuasa sekali gus membolehkan Tymoshenko dibebaskan.
Tymoshenko yang mengambil pendekatan pro-Barat dihukum penjara selama tujuh tahun sejak tahun 2011 selepas didapati bersalah melakukan penyalahgunaan kuasa. Namun, para penyokongnya mendakwa hukuman ke atasnya itu bermotifkan politik. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa