Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, February 19, 2014

Umno-BN punca sentimen keluar Malaysia

Kata-kata ‘pengusiran’ dan ‘rasis’ Umno-BN punca sentimen keluar Malaysia, kata Bumburing
OLEH MD IZWAN
February 18, 2014
 
Datuk Seri Wilfred Bumburing (gambar) menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai punca wujud sentimen penduduk Sabah dan Sarawak meninggalkan Malaysia.

Bekas timbalan ketua menteri Sabah itu mendakwa parti pemerintah tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia Timur dengan kenyataan-kenyataan berbentuk ugutan.

"Pemimpin Umno-BN perlu disalahkan atas kekecewaan rakyat Sabah dan Sarawak kerana sikap mereka yang sering mengusir rakyat keluar dari Malaysia jika tidak berpuas hati dengan kerajaan," kata Bumburing dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengecam kenyataan pemimpin Umno yang mengatakan Malaysia eksklusif untuk orang Melayu sahaja seolah-olah rakyat di Sabah dan Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia.

"Terdapat juga kenyataan mengatakan Malaysia hanya untuk orang Melayu.
"Jadi tidak bolehlah menyalahkan pihak yang mempunyai sentimen untuk keluar dari Malaysia kerana mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Baru-baru ini, seorang ahli akademik mendedahkan wujud peningkatan kecenderungan luar biasa bagi penduduk Sabah dan Sarawak untuk meninggalkan Malaysia.

Profesor Universiti Monash Malaysia, Profesor Dr James Chin berkata ia kerana berasa negara berusia 50 tahun ini tidak memberi sebarang faedah kepada mereka.

Wilfred bagaimanapun berkata cadangan meninggalkan Malaysia bukan suatu langkah baik waktu ini memandangkan Sabah masih berdepan dengan masalah pendatang asing tanpa izin.

"Idea berpisah dengan Malaysia bukan pilihan terbaik dan tidak praktikal ketika ini.
"Tuntutan kerajaan Sulu ke atas Sabah masih lagi timbul dan terdapat juga banyak pendatang tanpa izin di Sabah yang menjadi 'ancaman dalaman' dalam negeri," kata pengasas parti Angkatan Perubahan Sabah tersebut menjelaskan risiko yang bakal dihadapi Sabah jika berpisah dari Malaysia.

Bumburing juga mendesak kerajaan pusat supaya mengagihkan hasil bumi yang disumbangkan oleh negeri Timur secara lebih adil, memandangkan pembangunan di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan jauh.

"Rakyat Sabah dan Sarawak sudah sedar mereka masih ketinggalan daripada penduduk semenanjung dan tidak menerima pulangan yang adil daripada untung alam semula jadi khususnya minyak," katanya lagi.

Di samping itu, Bumburing turut menggesa kerajaan pusat supaya membanteras dan mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan esktrem perkauman terutamanya di Semenanjung Malaysia.

"Malaysia sering digambarkan sebagai negara sederhana, tetapi sekarang wujud kumpulan ekstrem agama dan perkauman yang banyak memalukan negara," katanya lagi.
"Kerajaan perlu tangani isu penting, isu yang menyebabkan tekanan kaum dan agama ini mesti ditangani segera."

Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia, namun Singapura tersingkir pada 1965.

Ketika ini hampir 25% kerusi Parlimen terletak di Malaysia Timur.

Sabah dan Sarawak dianggap sebagai "deposit tetap" parti pemerintah BN.

2 comments:

  1. Dasar parti berteraskan perkauman, bila keluarkan kenyataan tidak memikirkan kesannya pd rakan sekutu. Akibatnya tanggung sendirilah.

    ReplyDelete
  2. Sepatutnya pemimpin2 dan rakyat Sabah telah lama sedar tentang permainan politik jahat umno apabila setuju membawa masuk umno ke Sabah dulu. Apabila pemimpin2 Sabah sendiri menganggotai umno, perangai mereka adalah serupa dan kadang2 lebih teruk dari pemimpin2 di Semenanjung dalam membolot kekayaan hasil bumi negeri.Untuk menyelamatkan keadaan, rakyat Sabah wajib menggantikan kerajaan yang ada dengan kerajaan Pakatan Rakyat dalam PRU14 nanti.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa