Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, February 23, 2014

Kenapa Hanya Di P. Pinang Dan Selangor Sahaja?

Adakah di P.Pinang dan Selangor dipenuhi jakun dan manusia perfikiran kuno?
Adakah Melayu/Islam P. Pinang dan Selangor tidak tahu dosa dan pahala, buruk dan baik?

Kenapa provokasi agama hanya berlaku di Selangor, Pulau Pinang?
Shahbudin HusinDikemaskini 01:38PM Feb 23 2014


SUARA LANTANG: Sejak kebelakangan ini, insiden yang bertujuan merangsang pergaduhan kaum dan agama begitu kerap berlaku. Bukan saja kecam-mengecam dan berbalas tuduhan, malah sudah sampai ke peringkat membaling daging babi ke masjid. Beberapa kejadian seperti ini sudah kerapkali dilaporkan berlaku di negeri Selangor dan Pulau Pinang dengan kejadian terbaru di sebuah masjid di Bukit Mertajam, minggu lalu.

Setiap kali apabila berlaku saja konflik atau perselisihan yang melibatkan kaum atau agama, seringkali ia berakhir dengan provokasi yang melampau itu. Jika tidak daging atau kepala babi, darah ayam atau ayam yang baru disembelih pula akan dicampakkan sebagai isyarat mengajak pergaduhan dan pertumpahan darah.

Meskipun rata-rata umat Islam marah dan tersinggung dengan beberapa kejadian seumpama itu, tetapi sehingga ini belum lagi berlaku pergaduhan atau pertumpahan darah yang diharapkan oleh pihak-pihak tertentu yang hanya "berani baling batu tapi menyembunyikan tangan" itu.

Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa sama ada orang Melayu atau bukan Melayu masih lagi rasional dan berpegang kepada akal yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan. Jika kejadian itu berlaku di masjid, tidak diyakini sepenuhnya ia dilakukan oleh bukan Islam atau bukan Melayu dan begitu juga sebaliknya. Rata-rata nampaknya sedar bahawa bukan saja pergaduhan dan pertumpahan darah tidak menguntungkan mana-mana pihak, malah tiada sebab untuk berbuat demikian pun.

Orang Melayu yang tinggal di Selangor atau Pulau Pinang secara amnya tidak terancam sama-sekali, baik mengenai kehidupan sebagai bangsa majoriti mahupun dari segi pengamalan agama Islamnya. Berbanding kehidupan sekarang yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan era sebelum tahun 2008 yang ditadbir oleh BN, tidak banyak yang berbeza sebenarnya.

Malah, ramai orang Melayu di Selangor yang rasa lebih selesa berbanding dahulu. Tidak saja kerana program kebajikan untuk rakyat yang lebih baik, malah rakyat Selangor juga gembira dengan pentadbiran kerajaan yang cekap dan telus yang menyebabkan tiada lagi kedengaran berita mengenai pemimpin mengumpul kekayaan berlebih-lebihan.

Di Pulau Pinang pula, meskipun DAP yang menerajui kerajaan negeri, ia sebenarnya tiada beza kerana semasa BN pun, penerajunya ialah dari Gerakan. Kedua-duanya, iaitu DAP dan Gerakan ialah parti berbilang kaum tetapi dikuasai oleh kaum Cina. Namun, kelebihan yang nyata dan baik oleh kerajaan negeri sekarang ialah peruntukan kewangan yang lebih besar diberikan untuk kepentingan Islam berbanding dahulu.

Penganut agama Islam di Pulau Pinang juga tidak berbeza antara dulu dengan sekarang. Walaupun digembar-gemburkan kononnya adanya penyebaran Bible kepada orang Melayu dan khutbah tidak dibenarkan, ia akhirnya ternyata hanya dakyah, fitnah dan berita palsu. 

Orang Islam Pulau Pinang bebas mengamalkan Islam sebagaimana dahulu. Azan masih berkumandang seperti biasa, program agama makin meningkat dan tiada berbangkit untuk menyekat khutbah sebagaimana yang dikhayalkan oleh pengigau yang gila.

Secara umumnya kehidupan orang Melayu dan Islam di Selangor dan Pulau Pinang tidak ada bezanya dengan rakan-rakan sebangsa dan seagama mereka di negeri-negeri lain.

Tetapi kenapa provokasi kaum dan agama sering berlaku di kedua negeri itu saja?

Jika diimbau secara objektif, provokasi kaum dan agama di Selangor dan Pulau Pinang ini hanya berlaku selepas 2008 saja. Ia tidak pernah berlaku sebelum itu. Jika kehidupan sebagai orang Melayu dan penganut Islam tidak berbeza antara sebelum 2008 dengan sekarang, maka mengapakah provokasi kaum dan agama sehingga kejadian membaling daging babi ke dalam masjid begitu kerap berlaku?

Dan jika kehidupan orang Melayu dan Islam sama saja di semua negeri, kenapa kejadian provokasi dan membaling daging babi ke dalam masjid ini tidak berlaku di negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan di mana terdapat ramai kaum lain selain Melayu?

Kenapa hanya Melayu dengan bukan Melayu dan orang Islam dengan bukan Islam di Selangor serta Pulau Pinang saja yang sering diprovokasi agar bergaduh dan saling bertumpah darah?

Persoalan ini sebenarnya tidaklah sukar dicari jawapannya jika semua kita mahu berfikir secara rasional dan objektif. Dengan "pembaling batu sembunyi tangan" ini hanya mahu melihat pergaduhan, pertumpahan darah dan huru-hara berlaku di Selangor dan Pulau Pinang saja tetapi tidak di negeri yang lain, matlamatnya tidak syak lagi ialah politik dan keinginan mengambil alih kuasa yang kini dipegang oleh PR.

Ia dengan sendiri mengesahkan bahawa pelakunya ini membawa mesej negeri yang sedang ditadbir BN tidak perlu dikacau-bilau dan dihuru-harakan tetapi negeri yang sedang dikuasai PR cuba diganggu-gugat serta diburukkan agar perubahan lebih mudah dilakukan.

Walaupun sukar mengenal pasti pihak yang sebenar terlibat merencanakan perkara ini tetapi yang jelasnya mereka ini masih lagi berfikir cara tahun 50an dalam kerja-kerja provokasi yang dilakukan. Ini kerana dengan hanya menumpukan kepada Selangor dan Pulau Pinang saja, tidaklah sukar meneka matlamat, tujuan dan kecenderungan pelakunya.

Jika di tahun 50an, provokasi seumpama itu terutama sehingga melibatkan daging babi dicampak ke dalam masjid, pasti saja sudah menyebabkan pergaduhan dan pertumpahan darah atas nama kaum dan agama kerana semua orang mempunyai pemikiran sehala saja. Namun dengan perubahan zaman serta kematangan berfikir, kaedah tersebut sudah dianggap lapuk di zaman millenium ini.

Biar pun mungkin pelakunya ini dapat menyembunyikan tangan mereka sampai bila-bila tetapi kematangan rakyat yang tidak mudah termakan dengan provokasi cara lama itu akan membuatkan mereka yang berniat jahat ini sentiasa kelihatan "bodoh" di mata rakyat.

2 comments:

  1. Entahlah abe....pelik benar diaorg ni...alhamdulillah org m'sia semakin bijak.kalau dulu rasanya ada yg dah mati.zaman it neh masih ada yg fikir pkai tempurung kelapa...sapa la yg bodo sgt ni...apa pun x yah pening2.kalo lempar lagi kat masjid kutip aja laa.pastu buang..samak...bkn abis duit pun..baling petrol..cuci dan cat semula..kalo terbakar pakat2 bina mana yg rosak...tjuk kerjasama.x larat laa gaduh2 parang2 bakar2...bnyk lagi kerja nak wat..nak merobaoh apa yg telah dibina senang..semoga org2 yg buat dan subahat tu diblas allah..kalo x nak insaf laaa..
    Bertindih2 bodonya pepuak neh...

    ReplyDelete
  2. Setuju dengn Air gunung. Biarkanlah puak2 pengecut dan dayus buat benda2 bodoh dan tongong tu. Bila perbuatan jijik mereka tak ada yang peduli, mereka akan mati akal.Harap2kan satu hari ni mereka jadi keciwa dan bakar atau gantung diri sendiri.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa