Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, February 27, 2014

Pendakwaan terpilih – selesaikan melalui politik, bukan undang-undang

Aziz Bari - Dikemaskini 01:54PM Feb 27 2014
SUARA LANTANG: Art.143(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Peguam Negara mempunyai kuasa, mengikut budi bicaranya, bagi memulakan, melaksanakan atau menggugurkan dakwaan terhadap sesuatu kesalahan, selain dakwaan di mahkamah Syariah, mahkamah orang asal atau mahkamah tentera”. Di dalam beberapa keputusan, mahkamah telah menetapkan peruntukan bahawa penasihat undang-undang tertinggi bagi kerajaan serta pendakwaraya utama memiliki ‘kuasa tertinggi’. Ini bermakna, Pejabat Peguam Negara boleh memutuskan samada mahu membuat pendakwaan atau tidak. Perkara ini jelas di dalam kes melibatkan dakwaan terhadap ketidakadilan kerajaan; contohnya apabila pejabat peguam negara didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap pengkritik kerajaan.

Penguatkuasaan undang-undang  -- berbeza dengan penggubalannya – merupakan kerja eksekutif atau kerajaan yang memerintah. Penguatkuasaan undang-undang merangkumi pendakwaan. Peguam Negara dengan pasukan polis merupakan sebahagian dari perkhidmatan awam di bawah kuasa eksekutif. Tidak menjadi soal samada ia di bawah legislatif, eksekutif atau kehakiman.

Daripada peruntukan di atas, jelas bahawa Perlembagaan memberi kebebasan kerajaan membuat keputusan. Walaupun aneh mengatakan kuasa yang diberikan tidak boleh dipertikaikan, mahkamah tidak memberi kuasa agar ia dikaji semula. Inilah punca dakwaan tentang terdapatnya pendakwaan terpilih; apabila pendakwaraya tidak lagi mengambil kira perkara yang dilakukan sebagai fungsi normal pejabat pendakwaraya.

Sebab utama mengapa kerajaan didakwa mengamalkan pendakwaan terpilih ialah kewujudan hak bagi perlindungan saksama yang termaktub di dalam Perlembagaan. Apabila hanya seseorang atau sesuatu kumpulan didakwa, maka ini melanggar hak yang termaktub itu. Di bawah Perlembagaan, hak perlindungan saksama dijelaskan di dalam art.8(1). Peruntukan yang membawa kesan serupa juga terkandung di dalam Perlembagaan Amerika Syarikat: Pindaan 14 yang menyatakan negara perlu menjamin hak perlindungan saksama bagi setiap rakyat dibawah perintahnya.

Tetapi seperti di Malaysia, dakwaan tentang pendakwaan terpilih sering gagal di Amerika Syarikat. Ia ditafsirkan Mahkamah Tinggi di situ sebagai penguatkuasaan undang-undang jenayah terhadap satu kelas atau individu tertentu dengan niat tidak sekata atau bersifat menindas yang melanggar asas keadilan. Penguasa tidak mengamalkan piawaian objektif tetapi faktor seperti ras, agama, dan pengkelasan. Namun, dakwaan pendakwaan terpilih sukar dibuktikan dan mahkamah, termasuk di A.S mengandaikan pihak pendakwa tidak melanggar peruntukan di dalam Perlembagaan. Masalah ini dilihat bersifat politik berbanding berkaitan perundangan. Ia menjadi lebih sukar apabila sistem itu lapuk dan tidak demokratik seperti di negara-negara membangun.

Kuasa membuat pendakwaan merupakan simbol bagi mewakili kerajaan. Trend ini, terutama di United Kingdom, menyaksikan kuasa dipegang Pengarah Pendakwa Awam. Walaupun Peguam Negara masih memegang kuasa, pejabatnya lebih memainkan peranan di dalam pemantauan. Dan kerana beliau (peguam negara) berada di barisan Kabinet Kerajaan, pihak pemerintah wajar disoal di Parlimen.

Kita pernah menyaksikan beberapa Peguam Negara duduk di barisan Kabinet termasuk Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tan Sri Hamzah Abu Samah. Pendakwaan pada ketika itu dijalankan Ketua Pendakwa, yang merupakan orang kedua. Amalan ini dihentikan ketika Mahathir memimpin negara pada awal 1980an. Ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman dilantik selaku peguam negara.

Kini, samada Peguam Negara seorang ahli politik atau menjawat jawatan di dalam Kabinet, ia tidak akan merungkai masalah pendakwaan terpilih. Apabila orang yang dilantik terpaksa memberi penjelasan terhadap tindakannya, sudah tentu kerajaan dilihat berkuasa terhadapnya. Melantik Peguam Negara sebagai ahli kabinet bakal menyaksikannya berada di Parlimen. Buat masa ini, peguam negara menyorok di belakang menteri undang-undang, yang sering gagal memberi penjelasan. Orang awam melihat pelbagai macam alasan yang cuba diberi, tetapi tiada satupun yang memuaskan.

Satu lagi masalah ialah kuasa Peguam Negara yang tertakluk kepada Perlembagaan dan ianya sukar diubah. Kita perlukan majoriti dua pertiga bagi memindanya. Jika peruntukan tidak dipinda, kita bakal menemui jalan buntu bagi mendakwa dan ini jelas bagi masalah rasuah. Apa sahaja peruntukan bagi SPRM tidak berkesan kerana peruntukan bagi art.145(3) Perlembagaan Persekutuan lebih diutamakan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa