Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, May 24, 2014

Sedahsyat Mana Ngerinya Mimpi UMNO?

Dyana Sofya dan mimpi ngeri UMNO
SUARA LANTANG: Kempen pilihanraya kecil Teluk Intan yang sudah hampir seminggu berjalan masih lagi dibelenggu dengan fenomena Dyana Sofya. Sejak namanya diumumkan sebagai calon DAP beberapa hari sebelum penamaan calon pada 19 Mei lalu dan sehingga pengundian pada 31 Mei nanti, nama gadis berusia 27 tahun itu terus meniti di bibir rakyat negara ini.
Tidak saja pengundi dan jentera kempen di Teluk Intan serta media massa, baik yang pro atau kontra UMNO yang seperti tidak dapat mengelak daripada berbicara tentangnya, malah mereka di tempat lain juga seakan seronok menyebut namanya, apatah lagi menatap gambar wajahnya.
Kehadiran Dyana yang menjadi fenomena dalam pilihanraya kecil Teluk Intan ini bukan saja kerana kecantikan dan ayu wajahnya, tetapi lebih kerana keberanian DAP meletakkannya yang baru berusia 27 tahun sebagai calon dalam pilihanraya.
Kemunculan Dyana yang bagaikan fenomena dalam dunia politik sekarang ini tidak ubah seperti kegilaan terhadap Mawi dalam dunia hiburan yang turut menjadi fenomena suatu ketika dahulu. Tidak pernah sebelum ini kehadiran seorang calon pilihanraya begitu diraikan dan diperkatakan seperti ini.
Faktor lain seperti latar belakang pendidikannya sebagai peguam, ibunya seorang bekas pemimpin Wanita UMNO, isu membuka UiTM kepada kaum lain yang diperjuangkannya atau isu hudud yang turut diperkatakannya, sebenarnya hanyalah isu sampingan yang menambahkan lagi topik perbicaraan mengenai dirinya.
Isu utama mengenai Dyana Sofya ialah kerana beliau seorang wanita muda berusia 27 tahun tapi sudah pun diberi kepercayaan untuk bertanding dalam pilihanraya - satu perkara yang sangat asing kepada UMNO dan BN. Jika di dalam UMNO atau BN, wanita seusia begitu mungkin kerjanya hanya mengemaskini  data pengundi dan jadi penyeri majlis saja. Jika lelaki pula, mungkin tukang pasang poster atau menyertai kumpulan bermotorsikal.
Tetapi, dalam mana sejak bertahun-tahun BN selalu menyebut tentang keperluan memberi perhatian kepada golongan muda dan mereka juga dianggap menjadi penentu dalam pilihahraya, calon-calon yang diketengahkan dalam pilihanraya majoritinya agak berusia atau melebihi usia 30-an. Tiada yang betul-betul muda diketengahkan, apatah lagi daripada kalangan wanita.
Dengan pemilihan Dyana Sofya oleh DAP yang disertai dengan pakej penampilan yang menarik, petah bercakap dan  mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, lantas memberikan pukulan kepada UMNO dan BN. Kelebihannya sebagai calon muda telah menenggelamkan calon BN Datuk Mah Siew Keong yang sudah berusia 53 tahun, pernah kalah dalam pilihanraya 2008 dan 2013 serta produk kitar semula.
Keadaan ini bukan saja menjadikan BN terlihat sukar untuk memenangi pertarungan di Teluk Intan ini kerana calon yang ditampilkan kurang daya tarikan, bahkan juga seolah-olah menghadirkan mimpi ngeri untuk pilihanraya ke 14 nanti.
Dari segi penonjolan imej dan memandang ke hadapan, pemilihan Dyana oleh DAP ini sekaligus memberi nafas segar kepada PR yang hanya kekurangan 23 kerusi lagi untuk menduduki Putrajaya. Dalam masa yang sama, wajah BN yang dilihat masih tidak berubah serta selesa dengan gaya lama dan ditambah dengan gagal dalam hampir semua isu dan masalah yang menjadi bualan rakyat,  turut menjadi semakin pudar di pandangan rakyat.
Kehadiran Dyana sebagai anak muda yang lebih dihargai oleh DAP dan PR tentu saja mencetuskan arus sokongan pengundi muda yang lebih melimpah kepada gabungan pembangkang itu dan mengesahkan lagi hasrat untuk terus menaikkan bakat-bakat baru sebagaimana yang sudah banyak dilakukan dalam pilihanraya lalu. Bersama beberapa wakil rakyat muda dalam PR sekarang, Dyana menambahkan ikon pengundi muda bersama mereka.
Dalam masa yang sama, dengan kehadiran Dyana juga akan menjadikan DAP bukan lagi parti yang asing kepada generasi Melayu akan datang. Pasti lebih ramai yang ingin menjadi sepertinya melalui wadah DAP dan ini akan menjelmakan parti itu benar-benar berbilang kaum sebagaimana asas penubuhannya.
Jika sebelum ini pilihanraya Kajang merupakan igauan buat UMNO dan BN sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang daripada bertanding bagi mengelakkan Ketua Pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor yang dianggap akan melancarkan lagi perjalanan PR untuk menakluki  Putrajaya,  kini nampaknya Teluk intan pula menjadi mimpi ngeri yang serupa.
Kehadiran Dyana sebagai calon DAP yang sudah pun melonjakkan harapan anak-anak muda terhadap perubahan dan pemilihan wadah baru dalam perjuangan, kemenangannya pula nanti yang jika disertai dengan peluang yang lebih terbuka untuk bakat-bakat muda terus diketengahkan, pastinya akan membuatkan tidur para pemimpin UMNO dan BN tidak selena dulu lagi.
Tanpa kompromi, kemenangan Dyana di Teluk Intan sebenarnya amat penting untuk masa depan PR dan mewujudkan momentum sokongan pengundi muda yang berterusan untuk menenggelamkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Kalau menang, semakin kukuhlah PR dan tidak banyak ruang lagi untuk UMNO dan BN memperbaiki kelemahannya.
Undang-undang dan kehakiman mungkin boleh digunakan untuk menyekat kemaraan Datuk Seri Anwar dan menjadikan KajangMove terkandas di tengah jalan, tapi mampukah semangat berjuta-juta anak muda yang inginkan perubahan  dalam pilihanraya akan datang yang dirangsang dengan penonjolan Dyana Sofya ini disekat dan dihalang?
Dari segi komposisi pengundi, sama seperti Kajang, Teluk Intan yang mempunyai peratusan Melayu 42%, Cina 39% dan India 19% adalah lebih kurang sama dengan keadaan sebenar pembahagian kaum di negara ini. Dari segi latar belakang dan aktiviti ekonomi juga tidak banyak bezanya.
Ini menjadikan selepas Kajang, nampaknya Teluk Intan pula bakal menjadi "hantu" yang sentiasa menghadirkan mimpi dan igauan ngeri buat UMNO, BN dan para pemimpinnya sehinggalah tarikh PRU 14 nanti.
Shahbudin Husin merupakan bekas wartawan yang menulis bagi menjadikan Malaysia lebih baik untuk semua warganya. - sumber

1 comment:

  1. Yg bertanding antara Gerakan dan DAP tetapi UMNO yg meroyan berlebihan sangat. Itulah istimewanya X Factor Dyana ni.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa