Mahkamah Rayuan kekalkan award RM150,000 kepada Mahfuz
Ketua Penerangan PAS pusat itu memfailkan saman sivil terhadap NST dan Ahmad Rejal pada tahun 2002 berhubung artikel bertajuk "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk."

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan bekas pengarang kumpulan New Straits Times (M) Bhd (NST) dan Berita Harian Datuk Ahmad Rejal Arbee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan artikel itu sebagai fitnah.
Dalam keputusannya, Hakim Mohd Hishamudin memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan oleh New Straits Times selaku penerbit Berita Harian dan Ahmad tidak mempunyai merit.
Beliau juga mengarahkan mereka membayar kos guaman RM40,000 kepada Mahfuz.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan.
Mahfuz memfailkan saman sivil terhadap NST dan Ahmad Rejal pada tahun 2002 berhubung artikel bertajuk “Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk” yang disiarkan di muka depan akhbar berkenaan pada 9 Nov, 2000.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena mendakwa bahawa artikel itu bersifat fitnah dan telah mencemarkan reputasinya.
Pada 19 Ogos, 2009, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan saman sivil Mahfuz dan mengarahkan NST dan Ahmad Rejal membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mahfuz.
Mahfuz diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga anggota Parlimen Sepang sementara pihak perayu diwakili peguam Nad Segaram. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa