SIAPA PULA PATUT DIPECAT?
Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan bahawa Tun Mahathir Mohamad akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
Katanya, Tun Mahathir telah memberi jawapan mengenai kehadirannya bersama isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali.
Apabila Tun Mahathir memberi jawapan mengesahkan kehadirannya, bermakna bekas Perdana Menteri itu telah menerima jemputan secara rasmi daripada UMNO.
Jika beliau tidak menerima jemputan rasmi, tidak mungkin Tun Mahathir dapat memberi jawapan yang mengesahkan kehadirannya itu. Hanya setelah ada jemputan, barulah jawapan boleh diberikan sama ada dapat hadir atau sebaliknya.
Begitulah logiknya.
Sebelum ini Tun Mahathir mengatakan beliau tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini walaupun kerap dan berterusan mengkritik Perdana Menteri, Najib Razak.
Sama ada dijemput atau tidak, kata bekas Perdana Menteri itu, tidak menjadi hal kepadanya kerana Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi turut membuat jemputan terbuka kepadanya.
Zahid Hamidi membuat jemputan terbuka itu sebagai reaksinya kepada kenyataan Ku Nan yang memberitahu UMNO sedang menimbang sama ada mahu menjemput atau tidak Tun Mahathir serta membayangkan kemungkinan bekas Perdana Menteri itu memilih untuk tidak menghadirinya berikutan pendirian kerasnya terhadap Najib sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, isu jemputan kepada Tun Mahathir nampaknya tidak lagi berbangkit memandangkan UMNO sendiri sudah membuat jemputan rasmi kepada negarawan itu dan Ku Nan juga mengesahkan sudah mendapat jawapan balas mengenainya.
Hakikatnya Tun Mahathir dan UMNO begitu sukar dipisahkan, bukan saja kerana tempoh berkuasanya yang paling lama, tetapi juga kerana pelbagai sumbangan serta kejayaan mengkagumkan yang dibawanya kepada negara.
Tetapi cuba kita lihat isi kandungan surat tunjuk sebab yang ditandatangani oleh Ku Nan kepada Hamidah Osman yang menyebut mengenai kesalahannya kerana menganjurkan program Bicara Negarawan bersama Tun Mahathir di Ipoh pada 16 Mei 2015 lalu.
Atas kesalahan tersebut, Hamidah yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng dan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, telah pun dipecat keahliannya pada mesyuarat MT yang diadakan 24 November baru-baru ini.
Secara jelasnya, Hamidah dipecat ialah kerana menganjurkan program yang melibatkan Tun Mahathir, tetapi kini UMNO secara rasmi pula menjemput beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.
Jika ada yang berasa pelik mengapa hanya Hamidah yang dipecat, tetapi tiada sebarang tindakan kepada Tun Mahathir berkaitan program di Ipoh itu, yang lebih pelik sebenarnya ialah UMNO sendiri pun masih menjemput bekas Perdana Menteri itu untuk acara penting parti.
Kalau UMNO masih menghargai dan terus menjemput beliau, mengapa pula Hamidah yang menganjurkan program untuk Tun Mahathir boleh dipecat?
Tidakkah dengan membuat jemputan rasmi kepada Tun Mahathir yang menyebabkan ada orang pernah dipecat, bermakna ada juga orang lain yang harus dipecat selepas ini?
Siapa pula patut dipecat? (SH 04/12/2015). - sumber
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa