Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 4, 2015

Trek baru Kinabalu: Mountdweller rasa nak try tapi dihalang masalah tulang belakang

Pemandangan baru..........pastinya menarik!
Bagaimana pula rupa Pekan Kundasang sekarang?

Cabaran, Gangguan Di Sebalik Pembinaan Trail Baharu Ke Puncak Kinabalu
Diterbitkan: Khamis, 3 Disember 2015 10:34 AM
Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN

KUNDASANG: Di kalangan malim Gunung Kinabalu, mereka masih lagi tidak dapat berhenti daripada berbicara tentang Gunung Kinabalu terutama keindahan pemandangan yang dapat dinikmati menerusi trail pendakian yang baharu dibuka dua hari lalu.
Keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing kerana gunung yang selama ini telah menjadi kebanggaan warga Sabah telah dibuka semula, sekali gus 'membuka' semula periuk nasi mereka yang tertutup buat sementara waktu ekoran aktiviti pendakian ditutup selepas gempa 5 Jun lalu.
Namun di sebalik terbinanya trail baharu (trail Ranau) itu yang bermula kira-kira di Kilometer (KM) 6.5 hingga KM7 sebelum ke sampai puncak, usah dilupa titik peluh malim gunung yang menitis di batuan granit Kinabalu, cabaran-cabaran getir mereka, malah 'gangguan' yang terpaksa dihadapi.
Aidil Jahirin, 44, berkata banyak cabaran yang perlu dihadapi pasukan pembinaan trail baharu ini tetapi demi tugas ia dihadapinya dengan tabah.
Katanya, bagi dirinya dan rakan-rakan, cabaran seperti ribut, gegaran susulan dan cabaran teknikal adalah sesuatu yang dapat diduga tetapi kejadian 'diganggu' tidak akan dilupakan mereka.
"Paling mencabar apabila kayu untuk pasang tangga sukar melekat pada batu gunung yang amat keras, tapi itu kita berjaya selesaikannya.
"Tetapi yang paling mencabar bila kami pulang ke tempat tinggal kami di Laban Rata, kami sering diganggu dengan bunyi-bunyian seperti ada yang menarik meja dan kerusi," katanya kepada mStar Online.
Aidil berkata kejadian itu tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi dia dan rakan-rakan menganggap gangguan itu sebagai salah satu daripada cabaran tugas mereka.
"Kami faham tempat tinggal kami di Laban Rata telah lama ditinggalkan tanpa sebarang operasi atau penghuni selepas gempa bumi, jadi kami hanya biarkan saja.
"Pernah satu malam kami berpakat untuk naik ke atas dan melihat siapa yang membuat bunyi itu tetapi apabila kami tunggu, bunyi itu tiada sampai keesokan hari," katanya sambil menambah gangguan itu biasanya akan datang sekitar pukul 11 hingga 1 pagi.
Tingkat atas bangunan di Laban Rata menempatkan kafe dan hostel penginapan pendaki sebelum mereka meneruskan pendakian ke puncak.
Tempat tinggal malim gunung terletak di bahagian paling bawah.
Bagi Japli Yassin, 44, dia berkata untuk mengelak daripada gangguan dan perkara tidak diingini, pasukan pembinaan trail perlu mengikut pantang larang.
Katanya dia dan rakan-rakan sentiasa memastikan pantang larang gunung dipatuhi.
Dia memberi contoh apabila ingin memulakan kerja dan pembinaan baharu, mereka perlu 'meminta izin' terlebih dahulu.
"Kami tak banyak menggunakan mesin dalam menyiapkan trail...banyak secara manual.
"Salah satu sebabnya kami tak mahu buat bising di sini, bimbang ada yang 'marah'. Kami juga tak boleh cakap kuat-kuat," katanya.
Tambahnya kerja pembinaan trail yang paling mencabar apabila mereka terpaksa memecahkan batu granit secara manual dengan menggunakan besi dan mencucuknya.
Katanya, kerja itu walaupun sukar namun tetap dilaksanakan dengan ikhlas demi Kinabalu yang menjadi tempat mereka mencari rezeki sejak turun temurun.
"Kami buat perlahan-lahan, tak merungut. Kami lakukan secara berpasukan, cepat siap, cepatlah kami semua boleh berkerja semula," katanya.
Sementara itu Jomius Binte yang sudah menjadi malim sejak 1986 berkata walaupun tidak terlibat dalam pembinaan trail ini, dia kagum dengan kesungguhan rakan-rakannya.
"Ramai yang memuji hasil kerja mereka, mereka telah berdepan banyak masalah tetapi mereka tetap kental dan tidak mengalah," katanya.
Katanya sejak kejadian gempa, kerjaya sebagai malim gunung ini semakin mendapat perhatian ramai termasuklah orang awam dan kerajaan.
Katanya, kesungguhan dia dan rakan-rakan selama ini telah 'terbayar' apabila kadar untuk perkhidmatan malim gunung telah dinaikkan setimpal dengan kudrat mereka.
Malah perlindungan insurans juga sedikit sebanyak dapat merungkai kebimbangan keselamatan apabila mereka keluar berkerja.
Kini, Gunung Kinabalu telah dibuka semula kepada umum untuk aktiviti pendakian dengan trail baharu telah siap.
Selain dikatakan lebih selamat, selesa dan lebih mencabar, pemandangannya juga lebih menakjubkan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa