Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, November 27, 2016

Salasilah keturunan dan kerajaan Rohingya

Dulu memerintah kini tidak bernegara
MUHAMAD MAT YAKIM - 26 NOVEMBER 2016
ADA rakan beritahu mereka tidak sanggup hendak buka dan tengok foto kekejaman rakyat Buddha Myanmar terhadap etnik Rohingya yang dilaporkan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. 

Rohingya bukan sahaja dihalau dari tanah air mereka sendiri malah dibunuh. Lebih dahsyat,  mereka dibunuh dengan cara yang tidak ada dalam kamus kemanusiaan – dibakar hidup-hidup! 

Tidak kira lelaki, wanita, warga emas atau kanak-kanak, kesemuanya jadi sasaran keganasan yang tanpa batasan.

Amat jelas bahawa apa yang dilakukan itu bermotif penghapusan etnik. 

Saya tidak mahu mengaitkannya dengan agama kerana ajaran Buddha diketahui mendidik penganutnya untuk sentiasa menjunjung tinggi nilai kemanusiaan malahan juga kepada makhluk tuhan yang lain.

Apa yang jelas dalam konteks di Myanmar, khususnya di wilayah Rakhine ialah motif perkauman dan politik.

Lebih malang lagi apabila pemerintah Myanmar bukan sahaja tidak membela malah bersekongkol dengan kekejaman itu. Tentera turut sama dengan ekstremis melakukan pembantaian terhadap penduduk Rohingya.

Ratu Demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi selaku penerima anugerah Nobel Keamaan pada 1991, juga sekadar membisu apabila diajukan persoalan mengenai tindakan tidak berperikemanusiaan kaumnya.

Alasan mereka termasuk Suu Kyi ialah orang Rohingya bukan penduduk asal negara itu, sebaliknya imigran yang berhijrah masuk selepas 1823, dan mereka dianggap tidak ada kaitan dari aspek sejarah dengan Myanmar atau Burma.

Benarkah begitu?

Raja Islam 

Sebenarnya tidak. 

Rohingya yang merupakan kaum berdarah campuran Arab, Turki, Parsi  (Iran), Moghul (India), Moor (dari Semenanjung Iberia), Pathan dan Mon (ada juga mengatakan bahawa asal keturunan mereka daripada darah campuran tentera penjajah Mongol dengan suku tempatan) pada suatu ketika adalah pemerintah wilayah Arakan (sebahagian daripada Myanmar sekarang) selama ratusan tahun. Asal nama Rohingya dikatakan adalah daripada 'Mrohaung' yang merujuk kepada Kerajaan Tua Arakan yang kemudian diubah kepada Rohang. Daripada Rohang atau Rakhine itulah lahirnya nama Rohingya atau Rakhine-ya.

Malang nasib etnik Rohingya, meskipun pernah memerintah wilayah itu, mereka kini bukan sahaja kehilangan kuasa, malah hak untuk hidup sebagai rakyat biasa juga dinafikan oleh kaum majoriti. 

Rupa orang Rohingya, juga pegangan Islam mereka dijadikan alasan oleh warga majoriti Myanmar untuk mendakwa kaum itu sebagai imigran Benggali dari negara jiran, Bangladesh.

Berdasarkan sejarah, Islam telah datang ke Arakan sejak abad pertama Hijrah dibawa kumpulan pedagang tabiin diketuai Waqqash bin Malik. 

Kemudian datang pula gelombang kedua pada 172 Hijrah/  788 Masihi ketika era Khalifah Harun al-Rasyid. Kumpulan pedagang Islam itu berlabuh di Pelabuhan Akyab (kini Sittwe) yang juga ibu kota Arakan.

Sejak itu, Islam terus berkembang di wilayah berkenaan. 

Dalam aspek politik, pada 1406, pemerintah Arakan, Raja Narameikhla atau Min Saw Mon lari mendapatkan perlindungan daripada Sultan Bengal (Bangladesh sekarang), Nasiruddin Shah apabila kerajaannya diserang oleh Raja Burma.

Selepas 24 tahun hidup dalam buangan, Narameikhla kembali ke Arakan diiringi 20,000 anggota tentera dihantar Sultan Bengal (pada masa itu Sultan Jalaluddin Khan) diketuai Wali Khan.

Narameikhla berjaya mendapatkan semula pemerintahan.  Ketika itu, baginda sudahpun memeluk Islam dan memakai gelaran Sultan Sulaiman. 

Kembalinya Narameikhla ke Arakan menandakan berdirinya kerajaan Islam yang pertama di wilayah itu yang kemudian dikenali sebagai Dinasti Mrauk-U.

Setahun kemudian, Wali Khan melakukan kudeta menggulingkan Narameikhla. 

Sekali lagi Narameikhla lari ke Bengal. Atas hubungan rapat antara dua kerajaan, Nadir Shah, Sultan Bengal pada 1433 telah menghantar 30,000 anggota tentera diketuai Sindhi Khan ke Arakan.

Narameikhla berjaya kembali ke singgahsana. Sejak itu, Arakan bernaung di bawah kerajaan Bengal dan membayar ufti setiap tahun.  

Meskipun demikian, itu bukanlah bermakna Arakan jajahan Kesultanan Bengal.

Bohong

Sepanjang tempoh pemerintahan dinasti Mrauk-U yang diasaskan oleh Narameikhla selama 354 tahun, wilayah jajahannya boleh dikatakan agak luas, menganjur hingga Chittagong, bandar raya pelabuhan terbesar di Bangladesh sekarang.

Ini menunjukkan Arakan walaupun statusnya bukanlah sebuah kerajaan yang besar, hayat dinasti pemerintahannya yang menjangkau ratusan tahun, juga keluasan wilayahnya sama sekali tidak wajar untuk dipadam begitu sahaja dalam rekod sejarah.

Dinasti Mrauk-U yang lahir pada 18 April 1429 kekal hingga 2 Januari 1785. Ia kemudian ditewaskan oleh Dinasti Konbaung yang bukan Islam. Selama tempoh 356 tahun, kerajaan Islam Arakan diperintah oleh 243 raja dengan yang terakhir bernama Thamada. Thamada cuba melarikan diri apabila Arakan diserang oleh angkatan Raja Bodawypaya dari Dinasti Konbaung tetapi ditangkap.

Selepas penaklukan oleh Dinasti Konbaung, berlalu beberapa siri pemberontakan oleh pejuang Arakan tetapi berjaya dipatahkan.

Burma menjajah Arakan selama 41 tahun, kemudian masuk pula British bermula 1825 hingga 1947, selama 122 tahun. Kemasukan British ke Burma juga ada kaitan dengan orang Arakan atau Rohingya. Kegagalan pemberontakan orang Arakan terhadap Kerajaan Burma menyebabkan mereka semakin teruk ditindas.

Ini mendorong mereka lari ke wilayah jajahan British di India. Perkara itu menyebabkan tercetus konflik antara British dengan pihak Burma.

Tidak cukup dengan menghantar tentera ke sempadan, British kemudian menempatkan seorang residen di Rangoon atas alasan mahu meredakan krisis orang Arakan dengan pemerintah Burma. Sebagai imbalan, British juga menyerahkan pelarian Arakan yang lari ke India kepada pihak Burma. Ini semata-mata helah dan percaturan British untuk masuk ke Burma. 

Pada 1948, Arakan kembali berada dalam jajahan Burma hingga sekarang.

Burma atau Myanmar - nama negara itu hari ini – merdeka pada 4 Jun 1948. Penjajah Burma, juga British berusaha untuk memadamkan sejarah etnik Rakhine yang beragama Islam sebagai kaum yang pernah menguasai wilayah Arakan.

Ini dilakukan dengan pelbagai cara termasuk propaganda yang tidak masuk akal, antaranya bahawa Arakan pernah dijajah oleh kerajaan Bengal, raja-raja Arakan tidak memeluk Islam, hanya memakai nama Islam dan mengamalkan adat budaya Islam, konon mereka kekal beragama Buddha sepanjang tempoh itu.

Selain itu, dikatakan juga wujud etnik Rakhine yang bukan Islam lalu diberi nama etnik Rohingya bagi yang beragama Islam untuk dikatakan mereka itu adalah imigran Benggali dari Bangladesh yang tidak layak mendapat status kerakyatan Myanmar.

Paling tidak masuk akal, Rohingya yang rata-ratanya hidup tertindas 24 jam dan hanya berkain pelikat, didakwa kumpulan pengganas yang mengancam penduduk Buddha Myanmar. Atas sebab itulah mereka diperangi!

Naturalisasi

Sebelum Myanmar/ Burma mencapai kemerdekaan, diadakan Persidangan Paniong pada 1947. Ketika persidangan itu, diputuskan bahawa Arakan diletak terus di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat Rangoon (Yangon), dan tidak diberi hak untuk mentadbir sendiri.

Pada 1982 juga, digubal Akta Kewarganegaraan yang menolak mentah-mentah hak etnik Rohingya untuk mendapat taraf kerakyatan. 

Ada segelintir yang diberi taraf naturalisasi, atau dijadikan warganegara atas sebab-sebab yang tertentu namun mereka tetap tidak dibenarkan untuk menyertai politik dan juga beberapa sektor lain yang strategik.

Secara umumnya, etnik Rohingya adalah kaum yang sedang diancam penghapusan, ditindas 24 jam setiap hari tanpa waktu senggang, dihalau dari tanah tumpah darah mereka sendiri tanpa arah tuju kerana dunia juga menyisihkan mereka.

Jika dahulu, raja mereka dalam sejarah, Narameikhla lari ke Bengal setiap kali diancam, kini pada zaman moden, Bengal yang sudah bertukar nama kepada Bangladesh, bukan lagi tempat yang selamat bagi mereka.

Ada laporan bahawa setiap kali etnik Rohingya cuba menyeberang Sungai Teknaf di sempadan dua negara itu, mereka dihalau balik ke wilayah Myanmar oleh tentera Bangladesh ke arah di mana tentera Myanmar pula menanti untuk membelasah malah mencabut nyawa mereka.

Begitulah peritnya hidup berdarah Rohingya!

Yang bukan Islam mahu membunuh mereka, yang seagama tidak membantu malah membisu seribu bahasa. Tiada yang membela melainkan satu-satunya iaitu kerajaan Turki di bawah pimpinan Presiden Reccep Taiyip Erdogan yang telah menggagaskan konsep Biz Bir Ummetiz (Kita Satu Umat). Di bawah Biz Bir Ummetiz, Turki meletakkan Arakan sebagai salah satu wilayah yang mendapat perhatian dan pembelaan kerajaannya selain Gaza, Syria dan Somalia.

Di bawah polisi ini, setiap menteri Turki selain bertanggungjawab terhadap urusan dalam negara, juga dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja pembelaan saudara seagama di wilayah-wilayah yang berkenaan, mengikut portfolio mereka.

Pada 2012, isteri Erdoga, Emine dan Perdana Menteri Turki ketika itu, Ahmet Davutoglu telah ke Rakhine untuk bertemu dan meninjau keadaan penduduk Rohingya. Kerajaan Turki juga pernah menghantar kapal untuk menyelamatkan 'orang hanyut' Rohingya yang terdampar di laut setelah diusir dari negara mereka.

Ibarat kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit tetapi amat malanglah apabila jiran terdekat, Bangladesh sebaliknya bertingkah laku sama seperti Mesir memencilkan  warga Palestin dari Gaza.

OIC juga hanya sekali sekala melaungkan retorik, sekadar retorik tanpa sebarang tindakan yang nyata untuk membela Rohingya.

Malaysia?

Terlalu banyak urusan dalam negara yang perlu diselesaikan pemimpin kita. Selain itu, pastinya rakyat sendiri yang sentiasa didahulukan mereka!

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa