Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, November 28, 2016

Lelong tutup lubang hutang 1MDB: Rafizi cabar pembela Melayu dari Umno atau NGO-NGO mereka

Saya sedang menunggu hero-hero pembela Melayu dari Umno atau NGO-NGO mereka untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara. Lelongan sudah bermula dek kerana #1MDB. Pertahankan Tenaga Nasional mohon sebarkan kenyataan balas saya mengenai jualan kepada syarikat asing ini.

24 NOVEMBER 2015

SELEPAS PENJUALAN IPP KEPADA SYARIKAT ASING, HARTA NEGARA MANA LAGI AKAN DILELONG UNTUK MENUTUP LUBANG HUTANG 1MDB?

1MDB semalam mengumumkan penjualan aset penjana bebas (IPP) di bawah anak syarikatnya Edra Energy kepada konsortium China-Qatar yang akan memiliki 100% aset penjanaan. Ini adalah bertentangan dengan dasar negara selama ini bahawa aset-aset strategik seperti penjanaan dan pembekalan elektrik tidak boleh jatuh ke tangan syarikat asing dan tertakluk kepada had pegangan ekuiti asing sebanyak 49%.

Saya telah memfailkan dua usul di Parlimen untuk menghalang perkara ini dari berlaku.

Satu usul ialah untuk menghadkan bidaan  Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada nilaian RM8 bilion bagi ekuiti Edra Energy untuk menghalang kerajaan dari menggunakan TNB untuk membayar hutang 1MDB. Saya berterima kasih kepada TNB yang bersetuju dengan pandangan saya itu bahawa nilaian bagi ekuiti aset-aset ini adalah sekitar RM8 bilion dan bidaan TNB sekitar nilaian itu akhirnya ditolak oleh kerajaan walaupun sepatutnya bidaan konsortium syarikat asing terbatal kerana melanggar had pegangan ekuiti.

Saya juga ada memfailkan satu usul tergempar untuk membincangkan keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti kepada syarikat asing semata-mata bagi membolehkan Edra Energy dijual kepada konsortium China-Qatar tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Sepanjang perkara ini dibawa, saya kesal kerana tidak ada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan Umno yang bangun mempertahankan hak TNB serta kepentingan strategik negara. Kegagalan mereka bersuara mengiyakan pandangan rakyat terbanyak bahawa Umno tidak lagi peduli dengan kebajikan rakyat dan kepentingan negara kerana penjualan aset Edra ini kepada syarikat asing membawa kesan besar seperti berikut:

1.    Risiko kepada kelangsungan dan kestabilan pembekalan elektrik di negara ini

2.    Risiko kenaikan tariff bila konsesi-konsesi penjualan tenaga dirundingkan kembali dengan syarikat asing ini dalam tahun 2016 dan 2022

3.    Risiko pekerja asing dibawa masuk yang mengganggu peluang pekerjaan rakyat Malaysia

4.    Risiko lebih banyak kontrak IPP masa hadapan diberikan kepada syarikat asing

5.    Risiko kesan kepada TNB di masa hadapan apabila kedudukan strategiknya dilunturkan akibat kehadiran syarikat asing gergasi ini

Saya telah mengulangi berkali-kali bahawa keberhutangan 1MDB akhirnya akan mengheret institusi-institusi kerajaan dan GLC untuk menutup hutangnya yang besar itu. Sebelum ini kita tahu aset-aset penting negara seperti tanah-tanah yang mahal telah dipindahkan kepada 1MDB.

Kemudian kita terkejut bila dana dari institusi rakyat seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga terpalit dengan 1MDB. Terkini, kita terpaksa pasrah menerima keputusan songsang menggadaikan keselamatan dan kelangsungan perbekalan elektrik negara kepada syarikat asing demi menyelamatkan 1MDB.

Saya pasti selepas ini lebih banyak harta negara akan dijual dan dilelong kepada syarikat asing demi untuk menutup lubang hutang 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa