Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, November 28, 2016

Polis serbu pejabat Empower di Petaling Jaya

Polis serbu pejabat NGO wanita
Zulaikha Zulkifli     Hari ini, 6:26 petang
Pihak polis menyerbu pejabat NGO Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut peguam Empower, Honey Tan, pihak polis memaklumkan bahawa serbuan dilakukan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, berkaitan dengan perbuatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Tan berkata, terdapat beberapa pekerja kini sedang berada di dalam pejabat berkenaan dan mereka kini sedang disoal siasat polis.

"Ada beberapa pekerja di dalam. Kami tak dibenarkan masuk,” katanya kepada Malaysiakini awal petang ini.

"Sekarang sudah kira-kira sejam (polis berada di dalam pejabat).”

Motif serbuan belum dapat disahkan. Bagaimanapun BERSIH, yang turut diserbu bawah seksyen sama sebelum ini, pernah beroperasi di pejabat Empower.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah yang sebelum ini pernah mengetuai Empower, petang ini dibebaskan daripada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Polis berada di pejabat Empower selama kira-kira empat jam sejak 12.30 tengah hari.

Sementara itu, pada sidang media selepas serbuan dilakukan, pegawai kewangan Empower, Mei Yun, memberitahu polis mengambil laporan kewangan mereka untuk tempoh 2013 hingga 2016.

Selain itu katanya, polis turut mengambil kertas projek serta segala dokumen yang berkaitan BERSIH.

Katanya lagi, ketika kehadiran 10 anggota polis Bukit Aman di premis itu hanya dia bersama pegawai projek Rizal Rozhan saja berada di pejabat berkenaan.

"Mereka (pihak polis) memberitahu kehadiran di sini adalah untuk mengambil laporan kewangan.

"Dan mereka turut memberitahu sekiranya saya tidak memberikan kerjasama, mereka boleh tahan saya di bawah Sosma, tetapi kami memang memberikan kerjasama sepenuhnya," kata Mei Yun.

Sementara itu Rizal pula berkata pelbagai dokumen Empower - termasuk kertas cadangan pembiayaan (funding proposal) dan kertas cadangan projek diambil pihak berkuasa.

Pun begitu katanya tiada apa-apa yang ingin disembunyikan NGO berkenaan.

"Tiada apa yang ingin kami sembunyikan dan tiada sebab untuk kami tidak bekerjasama," katanya.

Ketika ditanya apakah tindakan selanjutnya yang ingin dibuat oleh Empower, Mei Yun berkata mereka ingin berbincang dengan peguam terlebih dahulu.

Sekumpulan peguam yang mewakili Empower pula melahirkan rasa tidak puas hati berikutan tindakan polis yang tidak membenarkan mereka masuk ke pejabat NGO tersebut ketika serbuan dilakukan.

Menurut Tan, apa yang dilakukan polis hari ini tidak wajar kerana sebagai peguam mereka sepatutnya bersama anak guam mereka.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa