SUARA LANTANG: Ramai yang telah menonton dan menilai video Tahun Baru Cina yang diterbitkan Teresa Kok.
Mereka yang menontonnya dengan jujur dan secara objektif akan mengakui bahawa video ini bersifat satira, tetapi tiada kena mengena dengan isu agama atau pun kaum. Topiknya adalah kesempitan hidup rakyat, dan berseloroh mengenai politik, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa yang sedang berlaku.
Ia hanya menyentuh mengenai kesalahan yang dilakukan pihak pentadbir, tetapi langsung tidak menyentuh mengenai orang Melayu ataupun raja-raja.
Ahli Parlimen DAP itu menyampaikan mesej mengenai rakyat yang ‘dirompak’ dan terpaksa membeli ‘beg tangan berjenama’ bagi menjauhkan peragut dan pencuri.
Namun tidak semena-mena, sekumpulan NGO yang dikaitkan dengan UMNO dengan nama Majlis NGO Islam muncul dan melaungkan ancaman keganasan di jalanan, mendakwa bahawa video ini telah menghina bangsa Melayu, Islam dan raja-raja, dan menawarkan ganjaran wang terhadap sesiapa yang dapat menampar Teresa.
Mereka turut menyembelih ayam dan menyimbah darah itu kepada poster yang memaparkan wajah pemimpin DAP, sebagai simbolik darah bakal ditumpahkan disebabkan video ini.
Ini adalah cara yang kasar bagi menyatakan ketidaksetujuan. Rakyat juga merasakan yang tindakan NGO itu adalah jenayah ugutan, walaupun pendapat ini tidak dikongsi pihak berkuasa.
Teresa telah membuat laporan polis terhadap peserta protes itu, tetapi tiada tindakan yang diambil. Ketua Polis Negara tidak memberikan Teresa perlindungan, walaupun dengan adanya ancaman.
Ini disokong Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata bahawa kejadian itu tidak perlu disiasat, kerana protes itu bukan suatu tindakan jenayah.
Maknanya, Zahid membenarkan ancaman keganasan yang dilakukan NGO UMNO ini. Jika difikirkan semula, ia tidak mengejutkan. Jika pemimpin UMNO boleh terlepas selepas menumbuk seorang timbalan menteri parti MIC, apakan sangat tawaran menampar seorang ahli parlimen DAP? Nampaknya pemimpin UMNO dan konco-konco mereka kebal, dan polis takut untuk bertindak terhadap NGO UMNO. Lebih menakutkan adalah bila balai polis turut boleh menjadi sasaran bom api, seperti yang berlaku ke atas balai polis Bukit Tengah.
Berbalik kepada Majlis NGO Islam; adakah mereka pertubuhan sah dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan? Saya tidak rasa begitu.
Mereka turut mencemarkan nama Islam dengan tindakan menyembelih ayam dan menyimbah darah. Setahu saya, perbuatan menyimbah darah untuk memberi sumpahan ini perbuatan sihir, ataupun memuja syaitan. Mereka bukannya mempertahankan Islam, tapi memburukkannya.
Cuba fikir, apa akan jadi jika ada NGO yang menawarkan RM2,000 untuk menampar Datuk Seri Najib Razak atau pun Zahid? Sudah tentu NGO ini akan ditangkap dan dijel tanpa banyak soal, dan pendaftaran mereka dibatalkan Jabatan Pendaftaran dan mereka diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Semua rakyat yang waras dan bertamadun tahu apa yang sedang berlaku di negara kita, dan siapa yang mencuri duit rakyat. Dalang-dalang pemimpin korup inilah yang memecahbelahkan dan membankrupkan negara.
Semua orang tahu yang kerajaan pimpinan UMNO adalah punca semua unsur negatif ini, dan mereka menggunakan isu kaum dan agama untuk mendiam dan menakut-nakutkan rakyat bagi menyokong mereka.
UMNO telah membenarkan unsur-unsur negatif ini berleluasa, tetapi apabila ianya gagal dikawal, negara ini dan rakyat yang bakal menerima padahnya.
Viktor Wong, merupakan seorang penganalisa sosio politik, yang mengimpikan Malaysia yang lebih baik, ditadbir kerajaan yang bersih dan menghormati rakyatnya, hak-hak asasi serta tidak mempolitikkan isu kaum, agama dan raja.
# Aku kata: Masalahnya ramai yang berpandangan senget dan minda yang penuh sentimen!
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa