Beliau membuka Pudu-Bukit Bintang dan Bukit Nenas selain Sungai Putih
Oleh Alang Buana
Setiap kali kita naik LRT dari KL Sentral ke Kelana Jaya, kita akan melintasi stesen Abdullah Hukum.
Siapakah Abdullah Hukum (gambar) ?. Ini yang akan kita paparkan dalam siri sejarah Kuala Lumpur yang bermula hari ini.
Stesen Abdullah Hukum terletak di Kampung Abdullah Hukum bersebelahan Midvalley. Kampung Abdullah Hukum diberi nama sempena nama Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim yang lahir pada tahun 1835 di Sumatera.
Beliau meninggal dunia di Kuala Lumpur pada tahun 1943. Ini bermakna umur Abdullah Hukum amat panjang, 108 tahun.
Haji Abdullah Hukum berketurunan Kerinchi telah berhijrah dari Sumatera ke Semenanjung Tanah Melayu bersama bapanya pada tahun 1850 ketika beliau berusia 15 tahun.
Berhampiran Angkasapuri Kuala Lumpur terdapat Kampung Kerinchi yang menunjukkan ramai orang Kerinchi yang menetap di situ.
Ketika itu Tanah Melayu didiami oleh ramai penduduk dari Indonesia dari suku kaum Jawa, Bugis, Kerinchi, Minang dan Acheh.
Harimau jadian amat terkenal di kalangan orang Kerinchi kononnya ada manusia yang boleh bertukar menjadi harimau.
Abdullah Hukum dikatakan turut terlibat secara langsung dalam pembangunan Kuala Lumpur. Beliau adalah ketua yang membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang dan membuka kebun di Bukit Nenas selain kawasan Sungai Putih. Pada hari ini Sungai Putih dikenali sebagai Jalan Bangsar.
Di sekitar kawasan Sungai Putih terdapat sebuah kampung Melayu yang dinamakan sempena nama beliau, Kampung Abdullah Hukum.
Abdullah Hukum adalah seorang juak kepada Raja Mahmud bin Sultan Muhammad, Raja Mahmud adalah waris negeri Selangaor yang pernah menjadi Ahli Majlis Selangor.
Panglima Melayu
Raja Mahmud dikenali pada zamanya sebagai Tengku Panglima Raja Selangor dan beliau merupakan seorang panglima Melayu yang terulung.
Abdullah Hukum selama 90 tahun lebih berada di Selangor dan di Kuala Lumpur dapat merasakan pengalaman hidup dalam dua zaman, zaman pemerintahan Raja-raja Melayu selama dua dekad dan lebih tujuh dekad di bawah pemerintahan British.
Beliau dapat melihat perbezaan di zaman pemerintahan British dengan zaman pemerintahan Raja-raja Melayu terutamanya dapat melihat perubahan yang berlaku ke atas masyarakat Melayu dengan jelas khususnya yang berada di Kuala Lumpur.
Pada zaman pemerintahan Raja-raja Melayu, Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad (1857-1989) serta pembesar dan penghulunya berkuasa penuh di negeri itu.
Abdullah Hukum dapat gelaran di Padang Arafah
Ketika berusia 15 tahun, beliau dibawa ayahnya meninggalkan Sumatera.
oleh Alang Buana
Seperti mana ditulis dalam siri pertama, nama sebenar Abdullah Hukum ialah Muhamad Rukun. Beliau berasal dari kariah Sungai Abu jajahan Sungai Penoh negeri Kerinchi di Sumatra. Tetapi nama ikut adat ialah Arya Jaya.
Ketika berusia 15 tahun, beliau berhijrah ke Selangor. Beliau menunaikan fardu haji di Makkah dari Selangor dengan sebuah kapal api yang mula-mula sekali belayar ke Jeddah menggantikan kapal layar di zaman itu.
Ketika menunaikan haji ini, di Padang Arafah beliau mendapat gelaran Abdullah Hukum yang membuat beliau terkenal dengan nama ini sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1943.
Manakala ayahnya Sekancing mendapat gelaran Haji Abdul Rahim di Padang Arafah juga.
Beliau berdagang ke Tanah Melayu ketika berusia 15 tahun di Selangor dan terus menetap di Selangor sehingga beliau meninggal dunia.
Ketika beliau berusia 100 tahun pada 1935, beliau telah tinggal di Selangor dalam dua pemerintahan, Raja Melayu (1850-1874) selama 24 tahun dan 61 tahun di bawah pemerintahan Inggeris (1874-1935).
Tubuhnya masih tegap jika dibandingkan dengan orang yang 30 tahun lebih muda daripadanya.
Beliau masih boleh terus menerus pergi ke masjid setiap hari Jumaat atau menghadiri kenduri-kenduri yang besar.
Ingatannya juga amat kuat sehingga beliau boleh ingat nama-nama rakan-rakannya yang telah meninggal dunia.
Dia suka bercerita dan hasil pertemuannya dengan wartawan akhbar Warta Ahad pada tahun 1935 beliau menceritakan sejarah Kuala Lumpur.
Tinggalkan Sumatera
Tinggalkan Sumatera
Menurutnya, ketika berusia 15 tahun, beliau dibawa ayahnya meninggalkan Sumatera. Mereka keluar dari Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar ke Melaka pada tahun 1850.
Apabila sampai di Melaka mereka menumpang di rumah Datuk Dagang Haji Said, bapa saudara Tambi Abdullah (Datuk Abdullah) orang kaya di Kuala Lumpur.
Setelah berhenti tiga hari di Melaka, mereka belayar dengan sebuah nadil menuju Pengkalan Kempas. Nadil yang mereka tumpang memunggah kain dan barang-barang lain di Pengkalan Kempas.
Dari Pengkalan Kempas mereka menuju ke Sungai Ujong sambil mengambil upah menggalas kain dengan sekati upahnya lima sen sahaja dari seorang saudagar kaya orang Kerinchi bernama Haji Abdul Rahman.
Lapan hari mereka berhenti di Sungai Ujong. Mereka cari kerja tetapi tak dapat. Masa itu Sungai Ujong belum di bawah pemerintahan Inggeris.
Pemerintahnya ialah Datuk Kelana Sendeng. Orang Cina ada buka lombong di situ. Oleh kerana tiada pekerjaan di situ, mereka dua beranak pergi ke Kuala Lumpur kerana di Kuala Lumpur banyak pekerjaan.
Nasib mereka baik kerana ada orang inggeris menggalas kain hendak berangkat ke Kuala Lumpur, maka mereka tumpang orang Inggeris itu. Tiga hari tiga malam mereka berjalan dan berhenti.
Sampai di Kajang, Abdullah Hukum melihat orang bergaduh menggunakan senjata kerana berebut seorang perempuan.
KL sudah sibuk
Ahirnya mereka sampai di Kuala Lumpur lalu menumpang di rumah Haji Abdul Ghani orang Air Bangis (Lorong Jawa).
Kuala Lumpur pada tahun 1850 sudah sibuk. Ada dua lorong sahaja, Lorong Jawa dan Lorong Pasar manakala Lorong Ampang ketika itu masih kolam ikan kepunyaan Sultan Puasa.
Rumah-rumah kedai masa itu atap bertam dan dinding pelupuh (buluh) dan orang berniaga menjual kain dan makanan semuanya orang Melayu suku Rawa dan Mendaling dan ketua masa itu ialah Sultan Puasa dan Raja Bilah.
Dua orang ketua ini yang mengutip hasil dagangan yang menggunakan Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Adapun cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).
Sultan Puasa membuka sawah padi di hulu Sungai Tapak yang dikenali sebagai Setapak sekarang dan Hulu Gombak yang dipanggil Air Panas sekarang.
Abdullah Hukum bekerja mengambil upah buat tali air di Batu Lima Setapak sekarang (nama lama Serambut). Upahnya dibayar oleh Sultan Puasa.
Apabila tali air sudah siap orang ramai boleh bersawah di situ dan mereka hendaklah mencabut 10 gantang padi pada tiap-tiap 100 gantang kepada Sultan Puasa apabila habis musim menuai.
Selesai mengambil upah buat tali air, Abdullah Hukum bekerja melampan di Setapak selama tiga tahun.
Masa itu tiada huru hara di Kuala Lumpur. Semua orang Melayu tinggal dalam aman dan ketuanya semua orang Mendaling.
Perang Cheras cemari Kuala Lumpur
Perang meletus antara kumpulan Datuk Bandar Patok dan Datuk Dagang Ronggok dengan menggunakan keris dan sundang.
oleh Alang Buana
Suasana yang aman damai di Kuala Lumpur mula tercemar apabila meletusnya Perang Cheras. Menurut Abdullah Hukum, pergaduhan yang mula-mula beliau ingat ialah di Cheras.
Cheras masa itu ditadbir oleh Datuk Bandar Patok. Datuk Dagang Ronggok dari Kelang datang melanggar Cheras dengan segala hulubalangnya.
Perang pun meletus antara kumpulan Datuk Bandar Patok dan kumpulan Datuk Dagang Ronggok beradu tenaga dengan menggunakan keris dan sundang.
Perang selama setengah hari itu menyebabkan ramai dari kedua-dua kumpulan itu luka. Datuk Bandar Patok kena seliang pada urat tangan kanannya. Kumpulan Datuk Bnadar Patok tewas dan lari.
Maka Cheras dirampas oleh Datuk Dagang Ronggok. Segala harta benda dirampas dan seorang janda bernama Che Halus turut ditawan dan di bawanya balik ke Kelang.
Datuk Bandar Patok yang luka parah kena seliang telah jatuh ke dalam Sungai Langat. Dia hanyut dan dapat naik ke satu tanjung. Apabila perahu lalu dia pun menumpang ke Kajang lalu berubat.
Cheras jadi padang jarak padang tekukur. Datuk Dagang Ronggok balik ke Kelang. Datuk Bandar Patok kembali ke Cheras yang telah tinggal abu sahaja. Dia berpindah ke tempat lain dan kemudiannya meninggal dunia.
Sultan Selangor ketika itu ialah Sultan Abdul Samad yang bersemayam di Kuala Langat. Di situlah tempat orang besar menghadap atau menerima titah dari tuanku, Urusan memohon tanah hendaklah dengan kebenaran Sultan.
Selepas Perang Cheras, berlaku pula pergaduhan Hulu Langat. Pada tahun 1858 Raja Bugis tinggal di Kajang manakala Raja Mengampang tinggal di Hulu Langat. Mereka adalah orang Mendahiling.
Raja Mengampang ada mempunyai lampan di Hulu Langat dengan kebenaran Sultan Abdul Samad. Raja Bugis yang duduk di Kajang itu mahu membuka lampan juga di sebelah Hulu Sungai Langat tetapi dibantah oleh Raja Mengampang.
Maka mereka berlawan senjata mengikut adat zaman dahulu. Raja Bugis membina kubu di Batu 13 Hulu Langat manakala Raja Mengampang pula mmebina kubu di masjid Hulu Langat sekarang,
Tiga bulan bergaduh
Pergaduhan itu hebat kerana bukan sahaja melibatkan keris dan tombak malah menggunakan senapang, meriam dan pemuras. Tiga bulan mereka bergaduh sehingga ramai yang mati antara kedua-dua kumpulan.
Raja Berayun menjadi orang tengah untuk meleraikan pergaduhan di antara Raja Bugis dengan Raja Mengampang itu. Raja Berayun dari Kajang itu ialah ayahanda Raja Alang yang terkenal di Selangor kerana kekayaannya. Raja Alanglah yang mewakafkan masjid di Beranang berharga lebih $30,000.
Raja Berayun buat keputusan bahawa tanah lampan itu dikembalikan kepada Raja Mengampang dan pergaduhan Hulu Langat pun selesai.
Setahun kemudian, Abdullah Hukum berpindah ke Hulu Kelang. Di situ beliau mencari rezeki dengan mengambil upah mengayun batang cangkul dan menyambut borongan membuat batas dipunyai oleh Raja Bilah.
Ketika Abdullah Hukum bekerja itu, suasana yang tenang telah bertukar menjadi heboh bukan sahaja di Hulu Kelang malah di Ampang dan di Kuala Lumpur.
Abdullah Hukum tidak faham kerana mereka bercakap dalam bahasa Menghadiling. Apa yang beliau faham ialah diajak orang bekerja memagar Hulu Kelang iaitu dipagar dengan kayu bulat serta bekerja bersama orang ramai mendirikan benteng.
Ketua-ketua yang ada ketika itu ialah Raja Bilah, Raja Asal, Raja Othman, Raja Ira,Raja Bernang dan Sutan Puasa manakala yang menjadi panglima ialah Imam Perang Raja Berungun, Imam Perang Seri Handalan, Panglima Raja, Panglima Muda Segera, Panglima muda, Imam Perang Malim dan Imam Perang Sebaghdad.
Tidak lama kemudian kubu-kubu itu siaplah di Hulu Kelang, Ampang dan Kuala Lumpur.
Pada suatu hari ketika Abdullah Hukum duduk di Kuala Lumpur, beliau nampak dua orang Inggeris dengan lebih kurang 50 orang Sipahinya orang Calcutta, India telah datang ke Kuala Lumpur.
Mereka masuk ke kubu kami di kemuncak Bukit Mahkamah sekarang. Keadaan Kuala Lumpur ketika itu masih hutan melainkan dua lorong. Orang China ada meternak babi di Pudu Road sekarang. Ketua orang China ketika itu ialah Kapitan Keledek (Asi). Bila Asi mati dia diganti oleh Kapitan Yap Ah Loy.
Yap Ah Loy ada kedai judi di Old Market Square sekarang. Orang besar Selangor masa itu ada tiga orang iaitu Tuk Ungku klang di Batu Empat, Petaling; Datuk Menteri di Batu dan Encik Manah di Tangga China.
`Rampas’
Sudah menjadi adat bila mereka masuk ke kedai orang Cina, mereka beli barang tanpa perlu bayar.
Pergaduhan mula berlaku di Kuala Lumpur apabila dua orang Sipahi mencuri ayam orang Melayu. Orang Melayu mengejar merka dengan keris dan tombak dan mereka lari ke kubu mereka, Orang Sipahi melepaskan periuk api dari kubu itu menyebabkan rumah-rumah terbakar.
Perang itu berkekalan selama enam bulan. Orang Melayu berperang dengan Sipahi mengunakan keris, tombak, pedang dan senapang guna pakai kip dan dihinal dengan sabut manakala Sipahi gunakan senapang dan periuk api.
Banyak yang mati di kedua pihak tetapi kubu itu tidak dapat dikalahkan. Orang Melayu minta bantuan Sultan Bangkahulu di Tanjung Malim dan Engku Sultan yang duduk di Semenyih.
Tidak lama kemudian 100 orang tiba dari Tanjung Malim dan 100 orang dari Semenyih untuk membantu orang Melayu Kuala Lumpur. Kubu orang putih itu dikepung dan berperanglah mereka selama lebih kurang sebulan.
Raja Layang yang menyebelahi orang Sipahi cuba masuk ke kubu Sutan Puasa tetapi ditangkap oleh orang Sutan Puasa. Mereka diseksa selama dua hari. Empat orang Sipahi dibunuh di Sungai Kelang dan bila tiba giliran Raja Layang, Raja Layang sempat terjun ke dalam sungai dan dia pun menyelam. Raja Layang dapat lari ke rumah Kapitan Yap Ah Loy.
Akhirnya orang Kuala Lumpur meminta bantuan Raja Mahmud bin Tengku Panglima Raja. Dengan arahan Raja Mahmud sepucuk meriam telah dapat dibawa ke atas pokok kayu ara berhampiran kubu orang putih itu.
Apa lagi kubu itu dapat ditembak dengan meriam setiap hari selama 10 hari. Akhirnya orang putih tiada tahan lalu lari tengah malam.
Menurut Abdullah Hukum, Raja Mahmud berusia 35 tahun dan bersenjata keris dan kapak Cina. Abdullah Hukum pula ada pedang sebilah, tombak lada dan senapang pakai kip yang dibeli dengan harga $5.00.
Dari masa itu beliau menjadi juak kepada Raja Mahmud yang dibawanya ke mana mana sahaja Raja Mahmud berperang
Orang Pahang serang Kuala Lumpur
Orang Mendahiling tewas dan Hulu Kelang ditawan oleh orang Pahang.
Selepas peristiwa bergaduh dengan Sipahi, Kuala Lumpur aman semula tetapi selama sebulan sahaja. Orang Pahang dikatakan hendak melanggar Kuala Lumpur dan mereka telah hampir ke Hulu Kelang dengan beribu orang.
Menurut Abdullah Hukum, ketua-ketua orang Pahang ialah Panglima Garang Ishak, Mat Saman Datuk Gajah, Orang Kaya Pahlawan, Orang Kaya Jeli, Orang Kaya Temerloh, Datuk Muda Sulaiman dan Imam Perang Mahkota.
Peperangan pun meletus di Hulu Kelang di antara orang Mendahiling dengan orang Pahang yang mengambil masa beberapa lama. Orang Mendahiling tewas dan Hulu Kelang ditawan oleh orang Pahang.
Raja Layang yang menyebelahi Sipahi dahulu sampai di Sungai Ujong mendapatkan Syeikh Muhammad Taib, Syeikh Muhammad Ali dan Haji Muhammad Salleh bekas Penghulu Rawang.
Raja Layang dapat mengumpulkan ramai pengikut dan dia bersama beratus-ratus orang berangkat ke sebelah hilir Kajang lalu membuat kubu di situ hendak menyerang Kajang, Berita itu sampai di telinga Raja Berayun dan beliau memberitahu Raja Mahmud di Kuala Lumpur.
Raja Mahmud sangat murka kepada Raja Layang. Raja Layang lari ke Rekoh. Raja Mahmud mencari Raja Layang di Rekoh.
Abdullah Hukum melihat btapa ganasnya Raja Mahmud di Rekoh. Apabila dia jumpa orang Minangkabau, ditanyanya siapa ketuanya. Bila orang Minangkabau itu menjawan Raja Layang ketuanya terus ditikam oleh Raja Mahmud.
Raja Mahmud terus ke pekan Rekoh. Dia berjumpa orang Minangkabau bernama Haji Abdul Samad, Raja Mahmud terus bertanya siapa ketua Haji Samad. Haji Samad, Raja Mahmudlah.
Raja Mahmud terus memeluk Haji Samad yang memang dia berniat membunuhnya jika Haji Samad menjawab ketuanya adalah Raja Layang. Selepas itu Raja Mahmud balik ke Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur tidak aman ketika itu. Setiap bangsa berpihak kepada salah satu kumpulan yang bergaduh. Menurut Abdullah Hukum, hanya satu bangsa sahaja yang berkecuali iaitu orang Kerinchi yang terus bekerja menggalas beras dari Seremban ke Kuala Lumpur.
Raja Mahmud yang mendengar orang Pahang yang berada di Hulu Kelang mahu menyerang Kuala Lumpur telah menjadi gusar. Orang Pahang sudah sampai di Tangga Cina. Orang Kuala Lumpur pergi ke Tangga Cina dam peperangan pun berlaku.
Raja Mahmud dan Abdullah Hukum pergi ke Ampang dan berperang dengn orang Pahang. Apabila makanan sudah habis Raja Mahmud balik ke Kuala Lumpur duduk dalam kubu. Orang Pahang pun terus bergerak ke Kuala Lumpur apanila mengetahui Raja Mahmud sudah tiada di Ampang.
Apabila Raja Mahmud berundur, orang Pahang terus mendesak dan Kuala Lumpur terkepung. Raja Layang yang lari ke Rekoh tiba di Kuala Lumpur dan menyebelahi orang Pahang.
Pahlawan kedua-dua pihak tiap-tiap hari bertempik meminta lawan tetapi mereka yang berada jauh tidak keluar berlawan. Peperangan berlaku apabila musuh berani melanngar kubu atau orang dalam kubu berani keluar menyerang musuh.
Perang hendap menghendap ini berjalan beberapa lama. Abdullah Hukum berkata bertahun juga perang ini berlaku kerana ketika itu Kuala Lumpur terkepung . Orang Kuala Lumpur susah cari makanan, nasi dianduk dengan umbut dan mempulur.
Dalam suasana makanan makin kurang, muncul seorang wanita berumur 20 tahun bernama Cik Putih yang sanggup berperang. Cik Putih isteri Raja Asal (ketua jawa) bersedia menjadi ketua perang. Maka mereka pun menuju ke Bukit Timbalan tempat orang Pahang dan Raja Layang berkubu.
Maka berlakulah perang secara berhadapan. Sehingga petang perang berakhir musuh tidak tewas. Orang pahang dan Raja Layang balik ke tempatnya manakala Cik Putih balik ke kubu dengan dengan rasa hampa kerana musuh masih kuat.
Oleh kerana musuh masih kuat, orang Kuala Lumpur buat keputusan berundur ke Pudu. Dari Pudu mereka ke Hulu Kelang, Hulu Gombak, Hulu Batu dan Batu. Dari situ lari ke Parit Tengah Bukit Kancing dan akhirnya Raja Mahmud lari ke Kuala Kubu.
Ayah Raja Mahmud, Tengku Panglima Raja tinggal di Cheras bersama Raja Berayun dan Raja Mampang. Abdullah Hukum dan empat orang kawannya tak kuasa nak lari. Mereka bersembunyi dalam hutan Kanching dan selepas itu mereka lari ke Mantin selama enam bulan.
Abdullah Hukum mendapat khabar Raja Mahmud tiba di Kepayang (antara Batang Labu dan Seremban). Gundik Raja Mahmud dilarikan orang Bugis dari Kuala Langat. Raja Mahmud menyiapkan benteng di Bangi hendak menuntut bela. Sungai Langat yang sampai ke Bangi boleh hilir ke Kuala Langat yang mana melalui sungai itu gundik Raja Mahmud dilarikan Datuk Penggara (orang Bugis itu).
Pada masa itu. Timah tidak boleh diturunkan ke Kuala Langat kerana kapal perang Inggeris ada di sana, maka timah dibawa ke Seremban dengan cara menggalasnya.
Orang yang mengambil upah menggalas timah ialah orang Kerinchi dan orang Cina. Pada satu hari orang Kerinchi yang menggalas timah telah dirompak oleh Panglima Muda Sepajar orang Raja Mahmud. Dalam rompakan itu, seorang Kerinchi terbunuh.
Maka orang Kerinchi Sungai Ujong (Seremban) bermesyuarat untuk meminta ganti rugi dari Raja Mahmud di Bangi. Raja Mahmud bersetuju membayar ganti rugi kepada orang Kerinchi. Pada masa yang sama Raja Mahmud tanya perihal orang Bugis di Rekoh.
Orang Bugis di Rekoh memang bercadang menyerang Raja Mahmud. Orang Bugis disertai orang Tembusi, orang Kampar dan orang Kerinchi.
Dalam peperangan itu orang Bugis lari kerana mereka belum bersedia ketika diserang oleh Raja Mahmud. Apabila orang Bugis lari, maka negeri pun aman. Itulah peperangan terakhir di darat Selangor, kata Abdullah Hukum. Selepas perang tamat, Abdullah Hukum duduk di Semenyih selama dua tahun berniaga kain.
Semenyih ketika itu di bawah perintah Raja Husin manakala Kajang, Rekoh dan Hulu Langat di bawah perintah Raja Kahar ibni Sultan Abdul Samad. Dari Semenyih, Abdullah Hukum pindah ke Langat membuka sawah selama dua tahun.
Ketika berada di Hulu Langat Abdullah Hukum sempat memandang wajah Sultan Abdul Samad yang melawat Hulu Langat. Kemudian Abdullah Hukum berpindah ke Kuala Lumpur menuju rumah Raja Bot dan Raja Sham. Ketika itu Abdullah Hukum mendengar kata Raja Bot bahawa perang sudah berhenti kira-kira 30 tahun.
Abdullah Hukum buka Bangsar Road
Abdullah Hukum buka Bangsar Road
Sultan Selangor sedang melawat Kuala Lumpur dengan jalan sungai dan kereta.
oleh Alang Buana
Apabila Kuala Lumpur sudah aman, maka orang Melayu daripada segala suku kaum mengambil tanah dan membuka kebun dan membuat kampung. Di antara tanaman yang paling popular ketika itu ialah kopi dan lada hitam.
Orang mula berladang di Setapak, Hulu Gombak, Batu, Pudu, Petaling dan tempat-tempat lain sekeliling Kuala Lumpur. Pada suatu hari Abdullah Hukum datanf menghadap Raja Laut di rumahnya di hadapan Sekolah Melayu Gombak Lane.
Raja Laut ialah Raja Muda Selangor putera Sultan Muhammad. Abdullah Hukum menghadap Raja Laut untuk mrmohon tanah di Pudu serta dilantik ketua dengan gelaran Penghulu Masjid.
Maka ramailah orang Kerinchi duduk di Pudu mengikut Abdullah Hukum di tempat yang bernama Bukit Bintang. Mereka bertanam sayur, tebu, pisang, sirih dan pokok-pokok yang cepat berbuah. Manakala di tempat lain ramai orang membuka sawah padi.
Selama enam tahun Abdullah Hukum tinggal di Pudu. Pelbagai pekerjaan dilakukan oleh Abdullah Hukum termasuk menjadi nakhoda mengambil upah atau tambang membawa beras dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan perahu.
Upahnya sekoyan $40. Perahunya ialah buatan Linggi dan pelayaran dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan bergalah selama 10 hingga 15 hari. Jika musim hujan mereka cepat sampai kerana air sungai dalam biasanya dalam masa tiga hari.
Orang Inggeris yang ada masa itu ialah Tuan Douglas, Tuan Sawyer dan tiga orang lagi. Ketua polis bernama Sarjan Mejar Ahmad dan Sarjan Long orang Melaka.
Abdullah Hukum berjumpa dengan Tuan Douglas dan Tuan Sawyer di rumah Kapitan Yap Ah Loy kerana mengikuti perbicaraan beberapa orang yang dituduh mencuri padi. Kes itu dibuang sahaja kerana tidak cukup bukti.
Jalan-jalan keluar Kuala Lumpur belum ada. Orang keluar masuk ikut jalan perahu atau ikut jalan kesan jejak kaki orang. Rumah-rumah kedai Kuala Lumpur atap bertam, tembok tanah liat di Java Street dan di Ampang Street sekarang.
Pada suatu hari Kuala Lumpur telah terbakar habis jadi abu kecuali rumah Kapitan Yap Ah Loy. Rumahnya jauh tak dapat disambar api. Rumah yang terbakar diganti dengan rumah tanah liat dan atap bertam. Kemudian tiba banjir besar menyebabkan rumah-rumah itu habis binasa kecuali satu dua buah rumah.
Pada masa Raja Mahmud menjadi Penghulu Kuala Lumpur, Abdullah Hukum mendapat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas. Kemudian beliau mendapat surat kebenaran daripada Tuan Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih atau Bangsar Road sekarang.
Orang Melayu kuasai perniagaan
Kuala Lumpur semakin maju dan perniagaan masih lagi dikuasai oleh orang Melayu. Rumah kedai pun banyak dimiliki oleh orang Melayu.
Orang kaya pada masa itu seingat Abdullah Hukum ialah orang Minangkabau, Haji Samad, Haji Majid Panjang, Haji Samad Panjang, Haji Samad kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Osman (Kadi Kuala Lumpur), Haji Abdullah Panjang Hashim dan Datuk Maharaja.
Orang kaya pada masa itu seingat Abdullah Hukum ialah orang Minangkabau, Haji Samad, Haji Majid Panjang, Haji Samad Panjang, Haji Samad kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Osman (Kadi Kuala Lumpur), Haji Abdullah Panjang Hashim dan Datuk Maharaja.
Orang Mendahiling yang kaya ialah Sutan Puasa, orang Kerinchi HajiArshad, orang Melaka Datuk Abdullah, orang Pulau Pinang Che Din, Baki Melaka bapa mertua Abdullah Hukum, orang Acheh Haji salleh dan orang Terengganu Che Soh.
Masjid yang mula-mula sekali dibina oleh bapa mertua Abdullah hukum di Kampung Melaka (Batu Lane sekarang) dan masjid itu dinamakan Masjid Melaka (sekarang Masjid Keling).
Masjid ini didirikan oleh orang Melaka secara bermuafakat dengan tukangnya orang Melaka. Orang Minangkabau mendirikan masjid lain di Java Street sekarang. Dengan adanya dua masjid ini orang Melayu bergaduh kerana masing-masing hendak mendirikan solat Jumaat. Masing-masing pihak tidak mahu beralah.
Perseteruan semakin merebak dan hampir menimbulkan perkelahian besar. Sultan Abdul Samad Alam Shah campur tangan dengan menitahkan solat Jumaat diadakan secara bergilir-gilir di antara dua masjid itu.
Kebetulan Sultan Selangor sedang melawat Kuala Lumpur dengan jalan sungai dan kereta. Orang ramai gembira dengan keputusan Sultan tersebut.
Ketika Sultan Abdul Samad melawat Kuala Lumpur, Residen Inggeris ialah Tuan Rodger. Suatu keramaian telah diadakan kerana melantik beberapa orang sebagai ketua atau orang besar,
Keramaian itu diadakan di Bukit Nenas selama tujuh hari tujuh malam. Orang yang dilantik sebagai ketua ialah Tuk Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perang Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjuk.
Ketika itu Abdullah Hukum duduk di Sungai Putih (Bangsar) dan beliau membuka hutan Bukit Changgi Puteri. Ketika Tuan Simmon melawat Bukit Changgi Puteri, Abdullah Hukum yang menjadi pengiringnya. Ketika itu penghulunya ialah Ahmad Datuk Panglima Garang.
Salah satu keramaian yang besar di bandar Kelang ialah pertabalan Sultan Selangor pada tahun 1989. Bandar itu penuh sesak dengan orang ramai.
Raja Laut dan Che Soh memberi hadiah kepada Sultan seekor kerbau manakala Panglima Kiri Kuala Kubu memberi seekor rusa. Abdullah Hukum yang mengetuai orang Kerinchi member hadiah seekor kerbau juga.
Abdullah Hukum jalan kaki sampai ke Dungun
Abdullah Hukum jalan kaki sampai ke Dungun
Sanggup berjalan kaki untuk membeli kerbau di Pahang.
oleh Alang Buana
Sejarah Kuala Lumpur yang kita tulis ini berdasarkan pengamatan dan penglihatan Abdullah Hukum kepada wartawan Warta Ahad pada 6 Oktober 1935. Ini bermakna sudah 79 tahun kisah ini berlalu.
Berasaskan senario ini, Abdullah Hukum sekadar terlibat dalam peristiwa yang diceritakan tetapi beliau tidak tahu kenapa orang Pahang melanggar Kuala Lumpur dan mengapa Raja Layang orang Minangkabau itu menyebelahi orang Pahang. Apa yang diceritakan oleh Abdullah Hukum berdasarkan kejadian yang dilihat dan didengarnya.
Ketika Almarhum Sultan Abdul Samad melawat Kuala Lumpur menyelesaikan masalah dua masjid, ketika itu Residen Inggeris ialah Mr Rodger. Satu keramaian besar telah diadakan kerana melantik orang besar.
Keramaian diadakan di Bukit Nenas. Itulah menurut Abdullah Hukum, keramaian yang mula-mula sekali diadakan di Kuala Lumpur. Dalam keramaian yang diadakan selama tujuh hari tujuh malam itu diadakan pelbagai acara termasuk pencak silat, gelanggang judi, sabung ayam pun ada dengan menjamu berpuluh-puluh ekor kerbau.
Mereka yang dilantik orang besar ialah Tuk Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perang Muhammad Arif, Raja Utih dan Abdullah Hukum.
Selepas diangkat menjadi ketua, Abdullah Hukum meluaskan mata pencarian dengan berniaga kerbau sampai ke Pahang. Beliau berpakat dengan dua orang Kerinchi dengan modal $200 seorang.
Mereka berjalan kaki ke Bentong. Jalan pada masa itu ikut kesan-kesan jejak orang dalam hutan sahaja. Mereka dapat beli lapan ekor kerbau sahaja di Kampung Liri bentong dengan harga $20. Tiga hari mereka berjalan dari Kuala Lumpur ke Bentong.
Kerbau-kerbau itu mereka bawa balik ke Kuala Lumpur dan dapat sedikit untung kerana dapat dijual dengan harga $40 seekor.
Selepas itu Abdullah Hukum pergi lagi ke Pahang buat kali kedua sampai ke Lubok Terua (Semantan). Di situ dapat 15 ekor kerbau. Oleh kerana Abdullah Hukum mahu balik awal ke Kuala Lumpur kerana teringat kepada dua orang anak kecilnya, maka beliau upah orang Pahang membawa kerbau itu ke Kuala Lumpur dengan $2.00 seekor.
Tiga hari kemudian beliau mahu bertolak semula ke Pahang untuk menyonsong kerbaunya tiba-tiba bunyi kuat letupan. Ada orang berkata Kapitan Yap Ah Loy berperang dengan orang Inggeris di Kuala Lumpur. Letupan kuat itu rupanya letusan gunung berapi di Sumatra yang dinamakan orang Lampong Pechah. Letupan kuat itu bagai bunyi halilintar sehingga bumi telah bergegar. Betapa kuatnya letupan gunung berapi di Lampong hingga terdengar di Tanah Melayu.
Selepas tiada kedengaran lagi bunyi letupan, Abdullah Hukum pergi ke Pahag dan dapat emmbawa pulang kerbau-kerbaunya dengan selamat. Keuntungan dari perniagaan kerbau itu mendorong beliau ke Pahang lagi.
Dia berpakat pula dengan tujuh orang Kerinchi dan mereka mengembara ke Pahang sampai ke Benta, Pulau Rusam Tanjong Medang dan Pekan.
Di Pekan beliau bertemu Mr Sawyer, Mr Roger, Raja Mahmud dan Mohamad Ghani. Oleh kerana lama tak jumpa Raja Mahmud, maka banyaklah yang diperbualkan mereka malam itu sampai ke pagi. Perniagaan kerbau semakin maju dan beliau berkongsi dengan sembilan orang pula tetapi tak dapat beli lagi kerbau kerana Sultan Pahang hendak mengadakan majlis perkahwinan puteranya.
Maka mereka terpaksa menyusur ke pantai dan terus ke Kuantan, Kemaman, Paka dan Dungun. Dalam perjalanan dari Paka ke Dungun, kami diberitahu ada penyamun di tengah jalan yang sanggup menyamun dan bunuh orang.
Mujur mereka tidak terserempak dengan penyamun. Abdullah Hukum dilantik sebagai ketua di antara sembilan orang pembeli kerbau itu. Di Dungun mereka bertemu dengan Raja Muda yang bertanya hajat kedatangan mereka ke Dungun.
Abdullah Hukum memperkenalkan dirinya sebagai Arya Jaya Galang Negeri datang dari Kelang. Raja Muda tidak pernah mendengar nama Kelang dan belum pernah berjumpa dengan orang Kelang. Apabila ditanyanya lagi beliau berkata beliau berasal dari Jambi, Sumatra. Bila dengar nama Jambi, Raja Muda pun bertanya keadaan Sultan Tahir Raja Jambi yang dikenalinya.
Abdullah Hukum tidak tahu sangat hal Raja Jambi. Yang dia tahu raja itu sudah tua dan dia kata sudah lama dia meninggalkan Sumatra. Maka kedatangan Abdullah Hukum dan rombongan disambut baik oleh Raja Muda.
Esoknya Raja Muda menyuruh Raja Mansur menemani mereka membeli kerbau. Raja Muda suruh mereka ke hulu Dungun mencari kerbau. Harga kerbau yang besar $16 seekor manakala kerbau balar $14 seekor.
Mereka dapat membeli 45 ekor kerbau dan 30 ekor lembu. Dari Dungun ke Kuala Lumpur perjalanan maka masa selama 16 hari. Itulah kali terakhir beliau berniaga kerbau kerana selepas itu beliau tidak larat lagi berjalan jauh.
Perniagaan kerbau yang menyebabkan Abdullah Hukum menjadi orang kaya di Bangsar. Perniagaan itu memang menguntungkan tetapi meletihkan kerana terpaksa berjalan kaki keluar dari Kuala Lumpur.
Apa yang berlaku di Kuala Lumpur/Selangor samalah apa yang berlaku di kebanyakan negeri melayu di Semenanjung masa tu. Puncanya ialah ketua2 suku kaum Melayu dulu dengki tengok orang melayu lain senang kerana dapat kutip cukai bijih timah dari pengusaha2 Cina. Di Negeri Sebilan umpamanya berlaku peperangan antara Undang Sg Ujung, Datuk Sahbandar dan Yam Tuan Seri Menanti kerana berebut cukai timah di Ampangan. Untuk menang ketua2 puak ini meminta campurtangan Inggeris. Dengan lain perkataan ketua2 puak ini tidak lebih dari penyamun dan pengkhianat bangsa dan patut disumpah oleh anak cucu.
ReplyDelete