mStar - Diterbitkan: Rabu, 16 Julai 2014 2:46 PM
Cantik tapi beracun...
SUNDERLAND (UK): Sejenis bunga beracun yang hanya tumbuh di Britain dan dipercayai telah pupus telah ditemui semula di sini oleh seorang renjer berhampiran sebuah rumah api.
Renjer Dougie Holden, yang bertanggungjawab menjaga rumah api yang digazet sebagai khazanah negara itu secara tidak sengaja menemui bunga beracun itu dekat sini.
Bagaimana pun, Persatuan Hortikultur Diraja dengan segera mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya jangan memetik atau memegang mana-mana bahagian bunga yang jarang ditemui itu kerana toksid yang terkandung bukan sahaja beracun malah boleh membawa maut.
Para pakar berkata, setiap bahagian pada tumbuhan tersebut dipenuhi dengan 'glycoside githagin' dan 'agrostemnic acid' yang boleh menyebabkan sakit perut yang kronik, muntah, cirit birit, rasa meloya, lemah badan, kesukaran bernafas dan dalam kes yang ekstrem, membawa maut.
Bunga tersebut yang dikenali dengan nama 'agrostemma githago', selama ini dianggap pupus hasil daripada pengenalan kepada penanaman moden dan pertanian.
"Bunga ini sangat beracun dan saya menasihati sesiapa sahaja jangan menyentuhnya. Saya sendiri tidak pernah melihat bunga ini sepanjang hayat dan saya berasa sangat teruja," kata Holden.
Sementara itu, Guy Barter, penasihat kepada Persatuan Hortikultur Diraja berkata, untuk sekian lamanya tumbuhan itu tidak dilihat di Britain dan ia sangat berbahaya kepada orang ramai.
"Bunga ini jarang-jarang ditemui dan telah diisytiharkan pupus di Britain tetapi kita juga sedia maklum yang benihnya boleh kekal dorman (pendam) selama bertahun-tahun sebelum menemui masa yang sesuai untuk tumbuh.
"Sesiapa yang memegangnya perlu membasuh tangan mereka dengan sempurna untuk mengelakkan keracunan," ujar Barter lagi.
Bunga berwarna ungu itu yang berasal dari benua Eropah dipercayai dibawa ke kepulauan British pada era Zaman Besi oleh para petani secara tidak sengaja.
Pada suatu ketika ia tumbuh secara meliar boleh dikatakan di semua tanah lapang tetapi pertanian moden dan racun serangga telah menghapuskan bunga tersebut.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa