Bukan hanya untuk kematian tetapi ditimpa musibah juga
Tapi bagi orang melayu mungkin kedengaran janggal
Terima kasih Hadi kerana prihatin, kata Nurul Izzah
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Published: 11 February 2015 1:03 PM
Nurul Izzah Anwar berkata Datuk Seri Abdul Hadi Awang prihatin terhadap hukuman penjara ke atas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 11 Februari, 2015.
Nurul Izzah Anwar tidak tersinggung dengan ucapan takziah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menyatakan hanya undang-undang Syariah dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya melabelkan presiden PAS itu seorang yang prihatin.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Hadi sebenarnya prihatin terhadap hukuman penjara ke atas bapanya, seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan semalam, dan sedar negara sedang berdepan dengan krisis kehakiman.
“Alhamdulillah, beliau prihatin dengan kes Anwar. Pertama, beliau sedar kita ada masalah dengan kebebasan sistem kehakiman.
“Kedua, ia kesinambungan perbincangan dalam majlis mesyuarat Pakatan Rakyat (PR), yang mana hudud merupakan isu panas yang didebatkan antara kami.
“Saya fikir begitu. Saya bersyukur beliau ambil berat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di kediaman Anwar di Bukit Segambut hari ini.
Hadi dalam satu kenyataan semalam, mengucapkan takziah dan melahirkan simpati kepada Anwar, menyifatkan keputusan mahkamah itu "satu lagi sejarah hitam negara."
"Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya undang-undang Syariah dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'Ad-din' yakni cara hidup Islam," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuktikan bapanya selamat berada di Penjara Sungai Buloh.
Katanya, kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam perlu dibuktikan dan menggesa pihak penjara membenarkan mereka melawat Anwar.
“Talk is cheap. Kita menantikan pembuktian kata-kata.
“Selagi kita tak berjumpa dengan Anwar dan bercakap dengan ayah kami, selagi itu kita akan meneruskan tekanan dan desakan agar KDN membuktikan beliau dalam keadaan selamat dan terjaga,” katanya.
Semalam, Wan Junaidi berkata Jabatan Penjara tidak akan dibenarkan memberi sebarang layanan istimewa kepada Anwar sepanjang tempoh lima tahun beliau menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.
Katanya, sekiranya Jabatan Penjara memberikan layanan istimewa terhadap ketua pembangkang itu, maka jabatan terbabit tidak berlaku adil kepada semua banduan.
"Kita tidak boleh beri layanan 'lima bintang' kepada bekas orang kenamaan atau jutawan yang dipenjara selepas disabitkan kesalahan, manakala pengemis pula dalam keadaan teruk.
"Semua pihak yang didapati bersalah oleh mahkamah, mendapat layanan yang sama daripada Jabatan Penjara (sesuai dengan status banduan).
"Bagaimanapun, Jabatan Penjara boleh memberi kemudahan (berlainan) kepada penghuni penjara atas sebab tertentu, seperti isu perubatan," katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.
Nurul Izzah juga diminta mengulas mengenai desas desus, adiknya Nurul Nuha, 31, akan dipilih bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh.
Katanya, perkara itu tidak pernah diumumkan dan agenda perjuangannya sebelum ini akan diteruskan.
“Media sosial banyak yang berlegar. Saya tak boleh tumpu pada semua. Saya akan tumpu kepada objektif dan agenda saya,” katanya. – 11 Februari, 2015.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa