Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, February 24, 2015

Apakah pisang akan berbuah dua kali?: Mustapha Ali Jawab

Pas tidak akan keluar PR – Mustafa Ali 
MANZAIDI MOHD AMIN DI KUALA LUMPUR - 24 FEB 2015

Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu tidak akan keluar dari pakatan pembangkang walaupun menerima ugutan dan amaran daripada rakan gabungan.
Katanya, Pas menganggap kenyataan berbaur amaran oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dua hari lalu menunjukkan pemimpin DAP itu tidak faham dengan konsep pakatan pembangkang.
Beliau berkata, isu pelaksanaan hukum hudud oleh Pas Kelantan sudah lama dibangkitkan dan tidak perlu ditimbulkan oleh mana-mana pihak termasuk rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP dan PKR.
"Pas tidak akan terkeluar daripada PR. Gobind tidak faham dan isu hudud telah lama kita bangkitkan," katanya dalam entri terbaharu facebook beliau hari ini.
Selasa lalu, Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP dalam kenyataannya kepada media berkata, Pas bukan lagi sebahagian daripada rakan gabungan pakatan pembangkang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya membentangkan Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan II (Hudud) Mac ini.
Kata beliau, undang-undang hudud yang hendak diperjuangkan Pas itu tidak terkandung dalam perjanjian Dasar Bersama Pakatan Rakyat antara parti itu dengan PKR dan DAP.
Kenyataan Gobind turut mendapat maklum balas daripada Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak Pas Pusat, Nasrudin Hassan.
Kata mereka, Pas Kelantan akan tetap membentangkang rang undang-undang berkaitan hudud pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bermula 16 hingga 19 Mac ini. - MalaysiaGazette

Kerjasama PAS - Umno : Apakah Pisang Akan Berbuah Dua Kali?
Posted on Tuesday, February 24 @ 13:17:52 MYT by paktam
Oleh Abu Hassan Adam

Nampaknya sudah terdengar suara-suara yang agak lantang (dan tidak lagi sembunyi-sembunyi menyarankan agar PAS bergabung dengan UMNO. Berbagai alasan dikemukkakan. Tetapi yang nampak jelas hujahnya ialah tentang ‘keuntungan’ yang akan diperolehi orang Melayu sekiranya penyatuan sebegini dapat diwujudkan. Orang Melayu dapat bersatu semula.

Tetapi jikalau diperhalusi pula dan dikemukakan pertanyaan tentang bilakah orang Melayu yang dalam keadaan berpecah-belah. Dan ramai juga yang mengatakan bahawa perpaduan UMNO-PAS akan menyelamatkan orang Melayu daripada ‘serangan’ orang asing di Malaysia. Ini juga merupakan kenyataan dan persolan yang ‘memeningkan’ ramai orang. Ingin juga aku mempersoalkan tentang bilakah tergugatnya orang Melayu? Aku tidak nampak keadaan sedemikian berlaku.

PAS dan UMNO telah pun bergabung pada tahun 1973. Telah pun terbentuk kerajaan campuran atas nama Barisan Nasional yang disertai oleh PAS pada zaman kepimpinan Dato Asri Haji Muda dulu. Dan pada ketika itu juga telah diwar-warkan hasrat penggabungan itu – untuk menyelamatkan orang Melayu. Tetapi nampaknya sekiranya dilihat dari hasrat sedemikian orang Melayu kini masih juga tidak maju dan masih juga tergugat mengikut setengah pihak di Malaysia kini sehinggalah berlaku ‘penceraian’ antara UMNO dan PAS.

Aku agak setuju sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu masih mundur berbanding dengan kaum lain di Malaysia. Itupun bukan semata-mata disebabkan oleh kaum Cina. Orang Melayu itu sendiri yang patut dipersalahkan disamping pihak kerajaan yang juga patut dipersalahkan. Tetapi untuk menyatakan bahawa orang Melayu tergugat dan terancam di negara ‘kepuk padi’ ini, aku kurang bersetuju. Sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu tergugat, pastilah ada pihak yang menggugatnya. Dan jikalau dikatakan orang Melayu dalam keadaan terancam, maka tentulah ada kumpulan yang mengancamnya.

Dan sekiranya pihak UMNO (yang menjadi teras pemerintahan negara ini ) mengatakan bahawa orang Melayu terancam, maka UMNO itu yang patut dipersalahkan kerana kelemahannya sebagai kerajaan untuk menyelamatkan orang Melayu. Mengapa perlu menuding jari ke arah orang lain untuk melindungi kesalahan sendiri?

Aku masih yakin dengan pandangan dan penelitian aku ia itu sekiraanya betul orang Melayu tergugat ( sekiranya betul pandangan sedemikian) maka yang menyebabkan keadaan terjadi demikian adalah disebabkan orang Melayu itu sendiri. Samada itu merupakan kesalahan dan sikap negatif orang Melayu ataupun ada terdapat golongan orang Melayu yang ‘kuat’ menindas golongan Melayu ‘lemah’ ataupun ada terdapat golongan Melayu yang ‘berkkuasa’ menindas golongan Melayu yang ‘tidak berdaya’.

Seingat aku semenjak zaman berzaman orang Melayu sentiasa dalam ‘ketakutan’. Sistem feudal yang mencengkam masyarakat Melayu semenjak zaman berzaman sentiasa menyebabkan orang Melayu hidup dalam ketakutan. Orang Melayu menjadi satu bangsa yang sentiasa takut dan terasa seperti selalu terancam, walaupun tidak ada sesuatu yang boleh menakutkan. Sekiranya sememangnya tidak ada yang mengancam mereka, orang Melayu akan mewujudkan satu ‘lembaga’ atau bayangan yang boleh menyebabkan orang Melayu lain rasa takut dan terancam. Orang Melayu akan mewujdukan ‘hantu’ untuk menakutkan dirinya…….

Dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an, pihak pemerintah akan menggunakan isu ‘pemerintahan Jepun’ untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Isu pemerintahan Jepun’ ini akan ‘didendangkan’ menjelang sesuatu pilihan raya pada ketika itu. Orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung) akan sentiasa ‘dingatkan’ tentang penderitaan yang dialami oleh orang Melayu dalam zaman pemerintahan Jepun (1939-1945).

Kemunculan generasi baru yang tidak dapat merasakan penderitaan yang dialami pada zaman pemerintahan Jepun dan zaman pemerintahan Komunis menyebabkan pihak-pihak tertentu terpaksa mencari isu baru untuk dijadikan bahan menakutkan orang Melayu.

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan ‘jembalang’ yang agak berkesan untuk menakutkan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga masyarakat Malaysia secara umumnya. Sesiapa sahaja yang pernah berada dalam suasana 13 Mei itu, merasakan bahawa peristiwa sedemikian tidak perlulah berulang. Masyarakat Malaysia menjadikan Peristiwa 13 Mei sebagai ‘sempadan’ dalam sejarah Malaysia.

Tidak ada sebab yang boleh menyebabkan orang Melayu masih terancam dan tergugat memandangkan ‘kelengkapan’ yang cukup memadai untuk melindungi orang Melayu di Malaysia.

Perlembagaan Malaysia dengan berbagai-bagai peruntukan yang disediakan adalah untuk melindungi orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970 ( dan dipersetujui dan direstui oleh bukan Melayu) telah jelas untuk ‘memagari’ kepentingan orang Melayu. Tanah Rizab Melayu yang diperkenalkan oleh British dulu turut melindungi kepentingan orang Melayu supaya tidak menjualkan tanah kepada orang asing. Cuma pihak berwajib kini, terutama di negeri-negeri yang berusaha untuk ‘melanggar’ syarat yang telah dikenakan oleh British itu.Banyak lagi yang boleh dihujahkan untuk menyatakan bahawa tidak ada sebab yang orang Melayu akan tergugat.

Tetapi soalnya mengapa masih ada NGO yang mengatakan bahawa orang Melayu sedang terancam dan tergugat. Para NGO berkenaan seharusnya mengkaji apakah kelemahan orang Melayu kini disebabkan oleh ancaman oleh orang asing ataupun digugat oleh orang Melayu sendiri. Pendedahan yang dibuat oleh beberapa pihak tentang ‘kehilangan’ punca pencarian orang Melayu di Johore Bharu ekoran daripada pembangunan secara pesat harus mendapat perhatian pihak NGO yang (kononnya) sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu. Mereka seharusnya berada di medan hadapan mempertahankan nasib orang Melayu di Johore yang sentiasa dihimpit dan terhimpit. Mungkin satu masa nanti negeri yang merupakan tempat asal UMNO Johore ini akan berpindah tangan. Mungkin….

Kesimpulannya sekiranya alasan ‘demi perpaduan orang Melayu’ yang mendorong PAS bergabung dengan UMNO maka tentunya merupakan alasan yang lemah. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa PAS dan UMNO telah bergabung menggunakan alasan yang sama. Dan sehingga kini (mereka juga mengatakan) orang Melayu masih lemah dan tergugat.

Justeru ahli PAS terutama golongan mudanya perlu mengingati pesanan orang tua-tua agar pisang jangan berbuah dua kali. Apakah golongan muda dalam PAS sedar apakah yang telah dideritai oleh mereka ketika PAS bergabung dengan UMNO pada tahun-tahun 1970an dulu.

Mungin Cikgu Musatafa Ali boleh memberikan tunjuk ajar tentang pengalaman lama yang agak pahit itu.

abuhassanadam

2 comments:

  1. Kalau pisang berbuah dua kali itu sudah bagus...boleh dapat hasil lebih disamping jimatkan kos pengeluaran.

    Jangan kena patuk ular di lubang yang sama DUA kali....itu memang bangang!

    ReplyDelete
  2. Abe

    Uiks....commander in chief UG dah bagi keputusan muktamad. Lepas ni kita akan dengar Haji Hadi akan kata benda yang sama.......hehehe.....begitulah kalau kita perhati timing Haji Hadi mengulas sesuatu isu s3jak 2/3 tahun ni. Kena tunggu chief dulu...

    Sepatutnya Presiden le ulas dulu kerana ini adalah polisi parti. SUA cuma macam CC je, ketua pentadbiran parti. Cara CC dengan cara chief ulas polisi berbeza....tak gitu Abe?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa