Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, February 28, 2015

Pemimpin pembangkang Rusia ditembak mati

UPDATED: Feb 28, 2015 01:51pm
Kakitangan perubatan memasukkan mayat Nemtsov dalam beg mayat di Jambatan Moskvoretsky, tengah Moscow, pada awal pagi tadi. - Foto AFP

MOSCOW, 28 Februari:

Pemimpin pembangkang Rusia, Boris Nemtsov ditembak mati berhampiran Kremlin, sehari sebelum bantahan terhadap kerajaan dijadualkan berlangsung.

Kementerian Dalam Negeri Rusia memaklumkan, Nemtsov terkena empat tembakan di belakangnya, ketika beliau merentasi Jambatan Moskvoretsky, di tengah Moscow, sejurus selepas tengah malam tadi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Yelena Alexeyeva berkata, ketika kejadian, Nemtsov berjalan bersama seorang kenalan wanitanya, sebelum seseorang daripada sebuah kenderaan melepaskan tembakan ke arahnya.

Wanita itu tidak cedera dan telah disoal siasat polis.

Presiden Rusia, Vladimir Putin segera menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya dan melabelkan pembunuhan itu sebagai satu provokasi.

Putin telah mengarahkan ketua-ketua tertinggi penguatkuasaan supaya memantau sendiri siasatan ke atas pembunuhan Nemtsov.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula menggesa Rusia menjalankan siasatan dengan “segera, telus dan adil” untuk membawa pembunuh Nemtsov ke muka pengadilan.

Obama turut menyifatkan Nemtsov sebagai “pejuang hak rakyat yang tidak pernah kenal erti penat lelah.”

Dalam satu temubual dengan akhbar Sobesednik pada awal bulan ini, Nemtsov berkata, ibunya yang berusia 86 tahun khuatir Putin akan membunuhnya, disebabkan aktiviti pembangkangnya.

Ditanya jika beliau bimbang dengan keselamatan dirinya terancam, jawabnya: “Jika saya takut, saya tidak akan memimpin parti pembangkang.”

Bercakap kepada radio Ekho Moskvy beberapa jam sebelum kematiannya, beliau mengkritik Putin kerana mengheret Rusia ke kancah krisis, dengan “dasar perang agresif, gila dan maut terhadap Ukraine.”

“Negara ini memerlukan pembaharuan politik. Apabila kuasa ditumpukan di tangan seorang pemimpin, orang itu akan memimpin selamanya dan ini akan menyebabkan malapetaka mutlak,” katanya.

Peguam Nemtsov, Vadim Prokhorov mendedahkan, ahli politik itu telah membuat laporan polis berhubung beberapa ancaman yang diterimanya melalui rangkaian media sosial, namun pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan untuk melindungi Nemtsov.
Nemtsov pernah dilantik sebagai gabenor wilayah, sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1990-an. – Foto AFP

Aktivis pembangkang, Ilya Yashin yang kali terakhir bercakap dengan Nemtsov dua hari sebelum kematiannya berkata, beliau pasti pembunuhan Nemtsov bermotifkan politik.

Penganjur bantahan pada Ahad memutuskan untuk mengadakan demonstrasi di Moscow untuk memperingati Nemtsov.

Nemtsov pernah dilantik sebagai gabenor wilayah, sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1990-an.

Beliau juga pernah dianggap pengganti Presiden pertama Rusia yang dipilih rakyat, Boris Yeltsin.
Selepas Putin dilantik sebagai Presiden pada 2000, Nemtsov adalah seorang daripada pemimpin yang kuat mengkritik pentadbirannya.

Nemtsov pernah mengecam ketidakcekapan kerajaan Rusia, gejala rasuah semakin menjadi-jadi dan dasar Ukraine yang dilaksanakan Kremlin yang dikatakan telah menyebabkan hubungan Moscow dan negara barat menjadi tegang, sehingga ke tahap paling teruk sejak Perang Dingin.

Sebelum ini, Nemtsov, 55 tahun, giat menyediakan laporan yang mengandungi bukti-bukti kukuh yang dipercayai boleh mengaitkan pembabitan Rusia secara langsung dalam pemberontakan puak pemisah di timur Ukraine, sejak April tahun lalu.

Ukraine dan negara barat menuduh Rusia menyokong pemberontak dengan membekalkan senjata canggih.

Moscow bagaimanapun telah menafikan dakwaan itu.

3 comments:

  1. Ini kerja Amerika supaya Orang Rusia gaduh sesama bangsa hancur kan Putin.

    Putin bukan Bahalol.

    ReplyDelete
  2. Di Malaysia pun dah masyuk lokap ketua pembangkang... Andaikata dlm usia lewat tua ni Anwar mati di sg Buloh pd 2018... Najib nk ckp apa?

    ReplyDelete
  3. Setuju dgn Malaysiabaru tetapi jangan dilupakan pula, sebelum jadi ketua pembangkang pun entah telah beberapa kali cubaan membunuhnya telah dibuat. Antara contoh, terhempasnya helikopter yg dinaiki oleh Yahaya Ahmad yg sepatutnya dijadualkan akan dinaiki oleh DSAI, terhempasnya helikopter nuri yg dlm perjalanan mengambil DSAI dan juga peristiwa anjing samseng yg membelasah DSAI yg bergari serta ditutup matanya (anjing samseng ini juga menggelar TGNA sebagai bapa kafir). Ada banyak lagi peristiwa-peristiwa perancangan jahat mereka ini, tetapi perancangan Allah SWT adalah tetap unggul.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa