Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, December 3, 2015

Kisah ISIS, Tok Bomoh dan harimaunya

Tok bomoh Israel dan harimaunya
Hishamuddin Rais - 

Saya membesar di kampong Chenor di Jelebu, Negeri Sembilan. Ketika saya membesar ada seorang tok bomoh yang dikatakan ada memelihara seekor harimau sebagai pembantu ketika mengubat pesakit. Bayangkan betapa hebatnya tok bomoh ini – ada sang harimau sebagai pembantu.
Apa sahaja masalah di kampung, tok bomoh ini akan dipanggil. Tok bomoh ini akan berkisah tentang hantu ini dan hantu itu. Tentang jembalang tanah dan jembalang busut, tentang pontianak dan memanjang.
Hanya tok bomoh ini berupaya menghalau hantu, pelesit dan jembalang. Inilah kuasa tok bomoh dalam masyarakat Melayu kampung, lima puluh tahun dahulu ketika saya membesar.
Tok bomoh ini hanya berubat di waktu malam. Wajib disediakan tabir atau kelambu di mana yang dirasuk hantu akan diubati oleh tok bomoh bersama sang harimau.
Tok bomoh ini wajib bersendirian. Dan paling penting tok bomoh akan berjampi berserapah berkemenyan berdua-duan bersama sang harimau dalam gelap. Pelita semua wajib dipadamkan kalau tidak gelap sang harimau enggan datang.
Lalu saya bertanya – kalau mengubat dalam gelap – di belakang tabir macam mana kita boleh nampak harimau itu datang atau tidak. Soalan saya dijawab dengan satu penampar. Lalu saya senyap.
Ini 50 tahun dahulu. Hari ini saya terus menimbulkan persoalan yang sama untuk menolak projek pembodohan. Membongkar segala bentuk penipuan, menyingkap segala yang di belakang tabir, membuka lampu pencerahan agar dapat melihat apakah harimau itu ada di sebelah tok bomoh.
Pada hemat saya hari ini, cara tok bomoh mengubat masih berjalan. Dalam bahasa Latin, modus operandi atau cara bekerja tok bomoh ini masih digunakan. Malah kerja tok bomoh makin licik dengan bantuan teknologi tercanggih.
Perancangan besar
Hari ini yang saya maksudkan ialah hari ini dalam tahun 2015. Cara kerja tok bomoh harimau masih digunakan dalam konteks politik moden. Mungkin para pembaca tidak yakin apa yang saya tulis. Sabar dahulu. Biarkan saya terangkan agar kita semua mendapat pencerahan.
Sesebuah kerajaan yang tidak popular, yang zalim atau yang menang pilihan raya dengan cara undi tipu – untuk terus berkuasa – akan menggunakan taktik tok bomoh. Orang ramai pasti gerun dan takjub apabila mendengar tok bomoh ini ada harimau.
Hakikatnya, orang ramai, orang kampung perlu ditakut-takutkan dengan hantu dan jembalang. Harimau itu kini menjadi Patriot Act, Akta Keganasan, Akta Hasutan dan pelbagai undang-undang yang mengelapkan kita dari melihat apa yang sebenarnya berlaku.
Bila orang kampung takut mereka akan mencari perlindungan. Orang yang takut tidak akan banyak soal jawab. Orang yang takut akan senang dicucuk hidung.
Justeru, serangan yang berlaku di Paris pada 13 November dahulu adalah projek untuk menakut-nakutkan rakyat Perancis. Ia juga untuk menakut-nakutkan rakyat Eropah termasuk warga dunia bahawa ada polong bernama ISIS yang wajib ditentang. Polong ISIS sedang merasuk maka perlu ada tok bomoh.
Dalam dua tulisan awal tentang serangan Paris saya telah membuktikan bahawa apa yang berlaku di Paris adalah projek salah bendera. Memunculkan projek salah bendera ini bukan satu yang baru. Ini cara daulah mengolah persetujuan agar orang ramai akan bersetuju dengan dasar yang akan dimunculkan.
Di belakang projek salah bendera ada perancangan yang lebih besar. Ada agenda yang ingin dimunculkan. Ada strategi yang sedang menunggu.
Media arus perdana akan menghebohkan serangan yang berlaku. Tetapi media arus perdana hanya akan melakar berita kulitan dan tidak akan pergi mendalam.
Kenapa ISIS menetas?
Stesen TV akan memainkan imej yang sensasi. Tidak ada media arus perdana yang akan berani membuat siasatan mendalam. Justeru CNN, BBC, ABC, FOX NEWS dan stesen lain tidak akan bertanya polong yang bernama ISIS ini anak didik siapa?
Jawapannya cukup jelas – polong yang bernama ISIS ini ditelurkan, dieram dan menetas dalam tapak tangan CIA, Mossad dan MI6. Polong bernama ISIS ini adalah alat yang dilahirkan oleh badan risikan dan intel empayar Zionis-Anglo-Amerika.
Lalu persoalan timbul – apa tujuan semua ini? Kenapa ISIS menetas? Dunia sedang melihat perang dan kemusnahan di Timur Tengah. Eropah sedang dilanda oleh orang pelarian perang. Perang tidak reda-reda malah makin meluas.
Perang sedang dipentaskan di Afghanistan, di Pakistan, di Syria, di Iraq, di Palestin, di Lubnan dan di Libya. Panggung baru sedang dibuka di Somalia, di Nigeria di Ukraine dan di Mali. Kenapa semua ini berlaku? Apa tujuan perang ini?
Sayugia diingatkan bahawa perang ini tidak ada sangkut paut dengan tujuan Amerika untuk memberikan kebebasan kepada kaum wanita di Afghanistan.
Perang yang dilancar ini tidak ada kaitan langsung dengan hak kebebasan rakyat Iraq atau Syria. Perang yang sedang berjalan di Syria tidak ada kaitan dengan hak mengundi rakyat Syria.
Jadi apa sebenarnya tujuan perang ini?
Dalam sistem ekonomi kapitalis perang bertujuan untuk mencari harta kekayaan. Melalui perang wilayah dapat ditakluk, wilayah diperluaskan, hamba abdi dan buruh dapat ditemui, pasaran dapat dibuka dan bahan mentah dapat ditawan.
Sejarah manusia dari zaman berzaman telah merakam pelbagai bentuk perang. Sejak dari perang di zaman Iskandar Zulkarnain hingga perang di zaman Obama – semuanya bertujuan sama. Selagi sistem ekonomi kapitalis diguna pakai maka perang akan muncul.
Emas hitam, emas biru
Apa yang sedang direbut dalam perang yang sedang berlaku sekarang? Tanah jajahan? Hamba abdi? Membuka pasaran?
Belanda, Portugis dan Benggali Putih datang ke Melaka 500 tahun dahulu dari negeri atas angin kerana rempah rampai. Hari ini yang direbut ialah emas hitam dan emas biru.
Emas hitam ialah bahan bakar petrolium. Emas biru ialah gas. Dua bahan asli ini adalah oksigen kepada sistem ekonomi kapitalis yang kita ketahui hari ini. Tanpa petroleum dan gas, sistem ekonomi kapitalis akan terhenti.
Tmadun manusia kurun ini adalah tamadun minyak petrol. Tanpa bahan bakar petrol dan gas dunia yang kita ketahui hari ini akan berhenti.
Dari kajian geologi terkini, gas banyak tersimpan dalam perut bumi di Qatar dan Iran. Dua negara ini memiliki 9 peratus simpanan gas dunia. Manakala dalam perut bumi Iran dan Rusia terdapat 20 peratus simpan bahan bakar petroleum dan 50 peratus gas.
Dalam masa yang sama, gas banyak terpendam dalam perut bumi di Afghanistan dan Turkmenistan. Negara-negara ini menjadi amat penting dan amat strategik.
Sila kembalikan ingatan sebelum Afghanistan diserang sesudah ledakan WTC 9/11. Para pemimpin Taliban pada tahun 1985 pernah menjadi tamu Presiden Reagan di Rumah Putih.
Di belakang tabir ialah Syarikat Unocal Corp – syarikat minyak Amerika yang sedang melobi Taliban untuk mendapat hak cari gali gas dan memasang paip menyalur gas dari Turkmenistan.
Tok bomoh Israel
Apabila lobi Unocol ini gagal kerana Taliban tidak mahu dicucuk hidung maka Afghansitan diserang. Walhal kerajaan Taliban tidak ada sangkut paut dengan ledakan di WTC. Yang meledakkan WTC di New York ialah warga Saudi Arabia.
Syria diserang kerana Presiden Bashar al-Assad enggan membuat saluran paip gas dari Qatar untuk terus ke Laut Tengah. Qatar merancang untuk menjadikan pelabuhan Syria sebagai loji tempat Qatar mengeksport gas mentah ke Eropah.
Bashar bukan sahaja telah menolak cadangan Qatar malah Bashar telah membuat perjanjian dengan Iran dan Iraq di mana paip gas dari Iran akan melintasi Iraq untuk masuk ke pelabuhan Syria di Laut Tengah.
Perjanjian ini akan membuka pasaran gas Iran ke Eropah. Ianya akan menjadikan Iran negara penting dan membawa pulangan ekonomi.
Jelas bahan bakar petroleum dan gas ini adalah sebab utama perang dilancar di Timur Tengah.
Berhenti seketika. Para pembaca jangan sesekali terlupa bahawa ada lagi satu sebab mengapa perang berterusan merebak di Timur Tengah. Jawabnya ialah Israel.
Israel sebuah entiti Zionis yang telah dipacakkan ke bumi Arab pada tahun 1948. Negara kolonial ini dibuktikan sebagai punca utama kacau bilau yang berlaku di Timur Tengah. Malah kacau bilau yang berlaku di banyak wilayah dalam dunia ini adalah kerja jahat yang dirancang oleh gerakan Zionis Antarabangsa.
Sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa Zionisme bukan agama. Zionisme ialah gerakan politik. Yang mendukung fahaman zionis ini tidak semesti beragama Yahudi. Kita bukan menentang penganut agama Yahudi.
Arab, Jerman, Melayu, Jepun, China dan lain-lain ada terlibat dalam gerakan zionis antarabangsa. Contoh terbaik ialah kaum kerabat keluarga Ibnu Saud. Pada ketika ini musuh utama rakyat dunia ialah gerakan zionis antarabangsa.
Semenjak Amerika melancarkan dasar War on Terror – Perang Menentang Keganasan – entiti Israel kelihatan semakin selamat. Iran dan Iraq telah berperang lebih dari 10 tahun. Iraq telah memerangi Kuwait. Iraq telah diserang oleh bala tentera Amerika.
Kini Iraq sebuah negara Arab yang paling kukuh politik dan ekonominya telah punah ranah. Kini Iraq terbahagi kepad tiga wilayah. Wilayah Sunni, wilayah Shiah dan di Utara wilayah Kurdish. Iraq tidak ada keupayaan menentang Israel.
Libya telah hancur. Gadaffi telah dibunuh. Libya sebuah negara Arab-Afrika yang kaya dan kuat kini ranap. Mesir – sebuah negara Arab yang berpotensi – kini sedang dihantui oleh ISIS.
Ledakan dan serangan ke atas Mesir selalu belaku. Serangan ke atas Mesir dilakukan atas nama Islam. Lubnan telah punah ranah semenjak meletusnya perang saudara pada tahun 1975 dahulu.
Maka kini yang masih bertahan ialah Syria. Negara Arab ini sedang diserang oleh pelbagai negara. Amerika, Turki, United Kingdom dan Perancis – semua menyerang Syria. Musuh Syria mahu menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad. Di belakang semua ini ialah tok bomoh Israel dengan harimaunya.

HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

2 comments:

  1. Terbaik....bila la dpt ke jlnraya lg...malaysia dahancur kerna umno...hutang berbilion...umno itu laknatullah...umno itu yahudi n zionis

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan,

    Adakah cetakan kecil "small print" diakhir article mengenai fahaman Saudara Hishamuddin secara halusnya ingin memberi tahu bahawa pendapatnya tidak boleh di pakai?

    Bagi saya, pendapat nya agak tepat dengan situasi di timur tengah dan tidak ada kena mengena dengan fahamannya. Cuba kita meniliti Pelan Zionist "Oded Yinon Plan" for Greater Israel dan "PNAC" = Project for New American Century

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa