Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, November 11, 2016

Amerika - China: Kisah dua kuasa besar

Ceritalah USA - Ketika China bertambah kuat, Amerika semakin lemah: Kisah dua kuasa besar
Karim Raslan, Astro Awani |  Diterbitkan pada November 09, 2016 15:43 MYT
Kenderaan 'Trump mobile' dilihat di luar lokasi kempen Donald Trump di Michigan. - Foto Karim Raslan

PENYOKONG Trump gemar bersorak. Mereka melakukannya walau dengan provokasi kecil: sorakan yang bersifat hingar dan marah – menukar sekumpulan manusia menjadi perusuh.

Malam semalam, ketika saya dan ribuan penyokong Trump sedang berhimpun di luar dewan yang menjadi tapak untuk ucapan kempen terakhir Donald Trump di Grand Rapids, Michigan, kedengaran slogan yang sudah pasti akan menghantui Presiden yang akan datang. Slogan paling bergema adalah “Penjarakan beliau!”

Tentunya, kombinasi kekeliruan tentang penggunaan akaun emel Hilary serta sumber dana Yayasan Clinton telah membangkitkan perasaan curiga terhadap integriti pasangan ini. Malah, kebanyakkan rakyat Amerika beranggapan bahawa pasangan ini tidak jujur dan/atau tidak mempercayai mereka. Justeru, sudah pasti mereka akan diburu oleh Trump sekiranya beliau menang, dan kalau Trump kalah, Clinton tetap perlu berhadapan dengan Kongres yang tidak akan berkerjasama dengan beliau.

Namun, bukankah Obama sendiri telah melalui senario yang sama?

Tidak. Senario sekarang jauh berbeza daripada slogan yang dilontarkan kepada Obama –seorang pemimpin yang berwibawa dan bersih – oleh musuh politik beliau yang berhaluan kanan. Malah, panggilan untuk pasangan Clinton dipenjarakan menunjukkan anasir keji dan jahat yang berbangkit daripada sorakan slogan tersebut. Bagi penyokong Trump, sebarang bukti tidak diperlukan lagi kerana bagi mereka, pasangan Clinton telah pun mengelakkan diri daripada proses siasatan secara terang-terang. Sifat sorakan ini menunjukkan bahawa Trump tidak mempedulikan proses undang-undang.
Warga AS beratur untuk mengundi di pusat pengundian di Ann Arbor, Michigan pada pagi 8 November. - Foto Karim Raslan

Contoh yang kedua yang sering disorak dengan lantang di perhimpunan ini adalah “Kosongkan Paya!”.

Sekali lagi, tuduhan Trump telah berjaya memenangi hati dan minda berjuta rakyat Amerika yang sekarang memegang persepsi yang Wahington merupakan bandar dimana rasuah dan amalan keji berleluasa, dan hanya berfungsi untuk menghancurkan kehidupan rakyat Amerika yang biasa, khususnya rakyat berkolar biru yang putih. Kalau kita mengambil kira bahawa Trump dan parti Republikan sudah pasti akan meraih undi popular sebanyak 40% secara selesa, bergerak ke hadapan, Amerika menghadapi pelbagai cabaran yang getir.

Kewujudan sentimen sebegini bermaksud bahawa sesiapa yang mendiami White House pada tahun hadapan akan menggalas tugas yang sangat sukar. Pastinya, Pilihanraya Presiden tahun 2016 merupakan pilihan raya yang paling berkontroversi – percayalah saya, saya sendiri menyaksikan pergerakan akar umbi di Michigan!

Pada ketika saya menulis rencana ini, pengundian baru saja bermula. Malam ini mungkin akan berlarutan panjang, atau, nauzubillah, kontroversi pilihan raya tahun 2000 akan berulang. Mungkin pilihanraya ini akan berakhir dengan pantas dengan kemenangan yang jelas untuk Trump atau Clinton. Apapun yang akan terjadi, Presiden Ke-45 Amerika Syarikat akan mewarisi negara yang jelas terbahagi dua.

Meskipun Presiden Barack Obama nekad untuk membawa “harapan dan perubahan” ke negaranya, beberapa faktor – termasuklah kedegilan wakil-wakil rakyat Republikan, jurang pendapatan yang bertambah besar, ancaman ekstremis keagamaan yang baru serta pergolakan budaya, teknologi dan ekonomi yang rancak – telah meluaskan jurang politik dalam kalangan masyarakat di negara superpower yang paling ulung ini.

Sentimen di Grand Rapids telah mencerminkan realiti ini. Golongan kulit putih berkolar biru marah dan kecewa kerana beranggapan bahawa pengaruh mereka untuk menentukan hala tuju negara kian terhakis. Golongan minoriti Amerika – khususnya masyarakat Hispanik – juga akan berasa resah sekiranya Trump menterbalikkan kejayaan yang diraih sejak tahun 2008.
Penyokong Donald Trump berkumpul di Sterling Heights, Michigan pada pusingan terakhir kempen. - Foto Karim Raslan

Jelas bahawa sesiapa yang dilantik menjadi Presiden perlu menenteramkan keadaan dan menyatu-padukan negara. Tetapi hal ini sangat mustahil oleh kerana persaingan pahit yang telah dikendalikan sepanjang kempen ini. Lebih-lebih lagi, kita dihadapkan dengan dua calon yang sangat luar biasa tetapi sangat jelas cacat-cela mereka: Trump yang sering meluahkan kata-kata rasis dan Clinton dengan kelemahannya sejak menjadi isteri kepada Presiden Bill Clinton.

Mampukah sesiapa antara mereka untuk menyatu-padukan warga Amerika Syarikat daripada segi politik dan moral?

Bagaimanakah pentadbiran dilaksanakan dengan lancar sekiranya Senat dan Kongres masih berpecah-belah antara wakil-wakil Demokrat dan Republikan?

Apakah implikasinya terhadap kita yang berada di Asia Tenggara?

Mengambil kira kesemua faktor ini, tidak kira siapa menang, saya berpendapat bahawa kita harus menyesuaikan diri dengan Amerika memandang kedalam. Polisi “Condong” ke Asia milik Obama akan kian dilupakan. Warga Asia Tenggara gemar untuk bersahabat karib dengan kedua-dua kuasa besar dunia. Kita mahu perdagangan dan pelaburan dati China, tetapi kita turut mahukan keselamatan yang dijamin dengan kehadiran tentera AS bagi mengimbangi pengaruh “Kuasa Tengah” itu.

Seseorang harus ingati bahawa Xi Jinping kini sedang menyatukan asas kuasanya di Beijing, manakala Washington kian berpecah-belah akibat isu perkauman, pentadbiran dan ekonomi; China kelihatan lebih megah dan nekad. Pada masa yang akan datang, kita mungkin akan terfikir kembali pada saat ini dan pekikan penyokong setianya di himpunan ini seolah-olah mengumumkan kemelesetan sebuah negara yang pernah hebat pada suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa