Gerakan lebih “jantan” dari MCA
BN ketandusan calon muda sehingga meletakkan calon yang sudah kalah sebanyak dua kali
ANALYSIS
PETALING JAYA: Esok pada hari penamaan calon PRK Teluk Intan, BN mengemukakan calon kitar semula, Datuk Mah Siew Keong (Presiden Gerakan), 53 tahun, manakala DAP meletakkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud, 27 tahun.
Belum dipastikan esok pertandingan berapa penjuru di Teluk Intan walaupun ada khabar-khabar angni mengatakan Raja Bomoh akan bertanding sebagai calon Bebas.
Nampaknya parti Gerakan “lebih jantan” dari MCA kerana MCA tak berani bertanding di PRK Bukit Gelugor pada 25 Mei ini. Ini adalah kerana mendiang Karpal Singh menang dengan majoriti besar melebihi 41,000 undi pada tahun 2013.
Justru itu MCA kecut perut untuk berhadapan dengan DAP di Bukit Gelugor. Sebaliknya DAP menang dengan majoriti 7,313 undi sahaja di Teluk Intan pada tahun 2013. Ini bermakna peluang untuk BN mengalahkan DAP agak cerah walaupun ia adalah sesuatu yang mustahil.
Bekas penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan selama dua penggal, Mah Siew Keong, berjanji akan berkerja keras untuk merampas semula kerusi tersebut daripada DAP pada PRK kerusi itu, 31 Mei ini.
Presiden Gerakan itu berkata beliau telah memberi jaminan itu kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mah, ahli politik berusia 53 tahun itu, pernah menyandang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Pada Pilihan Raya Umum 2013, Mah tewas kepada calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.
“Saya harap dalam tempoh dua minggu semua jentera parti komponen BN dapat bekerjasama bagi memastikan kemenangan,” katanya pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera BN oleh Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri di Teluk Intan semalam.
Mah, anak jati Teluk Intan turut mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya itu.
Untuk menunjukkan bahawa DAP bukan parti rasis, peguam lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud diumumkan sebagai calon DAP dalam PRK Parlimen Teluk Intan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu di pusat gerakan pilihan raya kecil DAP di Bandar Baru Teluk Intan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi membuktikan kepelbagaian wajah DAP sebagai sebuah parti politik, parti yang berbilang bangsa serta memberi peluang kepada kaum wanita, dengan pemilihan Dyana sebagai calon.
Dalam ucapannya, Dyana menyentuh usaha meruntuhkan benteng perkauman dan agama, dan mencari ramuan yang sesuai umpama “teh tarik’ Malaysia yang digemari semua orang.
Katanya, teh tarik digemari semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama dan ramuan seumpama itulah yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Dyana berkata bahawa dia tidak bimbang dengan percubaan untuk mencemarkan reputasinya yang telah pun bermula di kalangan sesetengah blogger.
“Mereka fikir kerana saya seorang wanita, maka saya akan berhenti politik. Tetapi maaflah, saya tidak akan berganjak dari sini,” kata Dyana, yang mempunyai wajah seiras foto seorang wanita memakai bikini yang disiarkan dalam beberapa blog sebelum pengumuman calon.
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua akan bertindak sebagai pengarah pilihan raya DAP untuk pilihan raya kecil Teluk Intan.
Dyana Sofya merupakan setiausaha politik kepada Kit Siang. Sebelum ini, kebanyakan bekas setiausaha politik Kit Siang dipilih sebagai wakil rakyat.
Mereka termasuk ahli exco kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan ahli exco Ean Yong Hian Wah, exco Pulau Pinang Chow Kon Yeow, MP Seputeh Teresa Kok, dan MP Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.
Dyana menyertai parti itu pada tahun 2012 dan kemudian membantu kempen Kit Siang dalam pilihan raya umum ke-13 di Gelang Patah.
Beliau secara terbuka diperkenalkan oleh Kit Siang pada konvensyen DAP sebagai setiausaha politiknya yang baru selepas PRU13.
Menjadi ahli politik sepenuh masa, Dyana berasal dari Ipoh, tetapi kini bertugas di kawasan pilihan raya Kit Siang di Parlimen Gelang Patah.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas. Para pengundi akan memilih ahli parlimen baharu pada 31 Mei ini.
Mah pernah menjadi ahli parlimen selama dua penggal pada tahun 1999 dan 2004. Pada tahun 2004, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu (18,665 undi) menang dengan majoriti 9,836 undi mengalahkan calon DAP, Wu Him Wen (8,829 undi) dan calon PKR, N. Gobalakhrishan (6128 undi).
Pada tahun 2008, Mah (17,016 undi) kalah kepada calon DAP, M. Manogaran (18,486 undi) dengan majoriti 1,470 undi.
Pada tahun 2013, Mah (20,086 undi) kalah buat kali kedua kepada calon DAP, Seah Kong Peng (27,399 undi) dengan majoriti 7,313 undi manakala calon Bebas, K. Moralingam mendapat 279 undi.
Yang menjadi tanda tanya kenapa Gerakan sudah tiada calon baharu sehingga meletakkan calon yang sudah kalah dua kali? Apatah lagi untuk berhadapan dengan calon DAP yang muda lagi bertenaga walaupun beliau seorang wanita.
Pada tahun 2008, DAP meletakkan calon India manakala pada tahun 2013, DAP meletakkan calon Cina. Kali ini DAP meletakkan calon Melayu. Setelah berjaya menjadikan calon Indoia dan Cina sebagai ahli parlimen DAP, mampukah DAP meletakkan ahli parlimen Melayu kali ini di teluk Intan? Sejauh mana orang Melayu akan memberi undi kepada calon DAP? Ini yang menarik perhatian kita.
Bagi kepimpinan pusat parti itu, Dyana dilihat sebagai calon yang sesuai untuk membantu menembusi kawasan majoriti Melayu.
Walaupun Teluk Intan merupakan kerusi majoriti Cina, ia mempunyai ramai penduduk Melayu. Kawasan ini terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, Melayu (38 peratus) dan India (19 peratus).
Dyana juga dijangka dapat mengurangkan sebarang kemungkinan penentangan di kalangan pengundi Islam terhadap DAP yang kuat menentang undang-undang hudud.
Jika Dyana menang, beliau akan menjadi ahli Parlimen Melayu ketiga dari DAP, selepas MP Bayan Baru Zairil Khir Johari dan MP Raub Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz.
Dalam konteks politik serantau, Dyana dilihat sebagai calon kompromi kepada Hew, yang dikenali sebagai pesaing kuat kepada pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Kalau Presiden Gerakan kalah pd new comer, perempuan muda melayu lagi tambahan pula dlm PRK, mana nak taruh muka.
ReplyDelete