Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, May 7, 2014

Rupanya Mahathir Takutkan Islam!

Kata Dr M: ‘Jangan politikkan agama’. Kata PAS: ‘Hormati hak kami’ 
Alyaa Alhadjri
SEKILAS PANDANG: Sudah tentu ada suara-suara ekstremis di dalam semua kepercayaan atau agama, termasuk Islam, tetapi mereka tidak wajar diberi hak mendominasi perbincangan sehingga memporak-peranda perpaduan.
Definisi ‘ekstremis’ atau ‘pelampau’ agama masih diperdebatkan, tetapi di dalam konteks masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia, setiap pandangan yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan perlu dilihat secara teliti.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mei lalu menghadiri perbicaraan penulis kontroversi Kassim Ahmad di Putrajaya. Beliau dlaporkan amat risau kerana agama semakin kerap digunakan bagi meraih sokongan politik.
“Penggunaan agama dengan bermotifkan politik amat dikesali,” katanya yang dipetik portal berita The Malay Mail Online.
“Agama perlu bagi urusan pentadbiran undang-undang di kalangan umat Islam, tetapi apabila diguna bagi meraih undi, perkara ini amat dikesali,” tambahnya.
Anehnya, Mahathir merupakan pemimpin negara ketika Islam diberi lebih perhatian serta diselang-selikan di dalam struktur kerajaan.
Sementara itu, PAS dan Umno baru-baru ini bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal di peringkat kebangsaan berhubung perlaksanaan hukum hudud. Parti Islamis itu akan membawa dua usul bagi implementasi kanun jenayah Islam itu di negeri Kelantan.
Pada 1993, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS telah meluluskan Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan II. Sekiranya Parlimen meluluskan usul yang dibawa PAS tidak lama lagi,  ia akan memberi laluan bagi perlaksanaan undang-undang itu di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Mengulas penubuhan jawatankuasa berkenaan, Mahathir menegaskan bahawa ia perlu disertai pemimpin agama yang “bebas politik”. Ini bagi menghalang penyertaan pihak yang hanya ingin menggunakan hudud bagi meraih undi.
Sementara mantan PM itu membuat kenyataan yang wajar difikirkan berhubung sikap mempolitikkan agama, pemerhati berkata bahawa PAS sememangnya parti fundamentalis Islam dengan agenda melaksanakan ajaran agama tersebut secara total atau menyeluruh. Ini termasuk melaksanakan hudud.
Ini bermakna setiap percaturan politik kurang dititikberatkan berbanding memenuhi agenda utamanya berasaskan AL-Quran dan Hadith serta pandangan para fuqaha’.
Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, ketika mengulas kritikan terhadap hudud daripada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, menggesa semua pihak menghormati hak demokratik PAS bagi membawa usul tersebut ke Parlimen.
“Jika keputusan akhir melalui proses demokratik tidak menyebelahi PAS, kami akur dan bersedia menerima keputusan Parlimen,” kata Mahfuz pada 28 April.
Ketika ‘penghinaan terhadap Islam’ dilihat sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang Syariah di Malaysia, pandangan yang berbeza dengan versi Islam yang diiktiraf kerajaan selalunya dipendamkan.
Kassim didakwa di Mahkamah Syariah pada bulan Mac atas tuduhan menghina Islam dan ingkar terhadap badan penguasa agama di satu seminar yang dirasmikan Mahathir.
Cabaran bagi mengatasi suara-suara yang tidak mengizinkan toleransi di negara ini bukan sesuatu yang mengejutkan, dan usaha perlu dilakukan oleh pemimpin Islam serta para ilmuan bagi merungkai kemelut ini.
Di Indonesia, negara dengan jumlah penduduk Islam tertinggi, pengerusi Majlis Ulema Indonesia (MUI) Prof Dr Sirajuddin Syamsuddin mengulangi komitmen melindungi slogan “Perpaduan di dalam Perbezaan (Bhinneke Tunggal Ika)” yang menjadi asas penubuhan republik tersebut.
Sirajuddin mengakui kewujudan elemen yang tidak mengamalkan toleransi di Indonesia tetapi menegaskan bahawa kumpulan ini, seperti juga Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) di Malaysia, merupakan suara minoriti di kalangan 200 juta penganut agama Islam di Indonesia.
Selaku ketua umum pertubuhan NGO Muhammadiyah, Sirajuddin menggesa setiap umat Islam mengukuhkan keimanan bagi membolehkan keharmonian penduduk berbilang bangsa dikecapi.
“Keimanan yang kukuh merupakan benteng bagi menghadapi kumpulan yang mahu menggunakan agama sebagai alat politik atau alat mendominasi ekonomi.
“Inilah faktor yang menjadikan keadaan semakin buruk, membawa pergeseran di dalam masyarakat dan menjurus kepada perjuangan mencapai hegemoni,” jelasnya.
Suara minoriti di Indonesia bagaimanapun diberi pentas utama di seminar bertempat di kampus Universiti Teknologi Mara Shah Alam pada 6 Mei lalu.
Perkara ini wajar diberi pandang serius sekiranya Malaysia ingin muncul sebagai negara dengan imej Islam yang sederhana.
Sedang golongan ekstremis ini diketepikan negara jiran kita, mereka dibenarkan bercambah di Malaysia. Mungkin kita bakal menyaksikan sebuah negara yang kurang bersifat “moderat”  atau sederhana di hari muka.

3 comments:

  1. Tun ialah Tun....

    Islam untuk Tun cari makan lah....

    Mana nak sama...

    ReplyDelete
  2. Bagaimanakah dia menghayati ucapan dua kalimah syahadat? Umpama baca sajak 'Melayu mudah lupa' shj kut ...

    ReplyDelete
  3. Tun ni ka yg anak nye tokey San Miguel?tentu tun kata its ok.9/10 rezeki dari perniagaan.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa